Saturday, November 21, 2009

Isi Penting Dari Huraian Syeikh Yusri Terhadap Al-Muwatto' dan Al-Syama`il al-Muhammadiyyah


Semalam saya diberikan lagi peluang untuk mendengar bait-bait hikmah daripada seorang ulama berdarah Rasulullah ini. Semoga isi-isi penting yang dapat saya petik daripada huraian Dr. Yusri al-Hasani ini dapat diambil manfaat buat para pembaca budiman.

Sungguh beliau telah menanamkan di dalam hati kami cinta Nabi.

_____________________________________

1. Maksud setiap nabi mempunyai doa khusus adalah doa tersebut diterima secara terus tanpa dilambatkan. Ini kerana semua doa para nabi selalunya adalah mustajab . Cuma tidak semestinya dikabulkan sejurus selepas doa diminta

2. Rasulullah begitu menyayangi umat baginda. Baginda tidak menggunakan doa khusus tersebut menghancurkan musuh sebaliknya Nabi menyimpannya untuk umatnya di akhirat nanti. Ini adalah bertepatan dengan firman Allah Taala dalam Surah al-Taubah ayat 128 yang berbunyi:

“Baginda terhadap orang-orang mukmin adalah seorang yang lembut dan penyayang”.

3. Seorang ayah akan menghalau anaknya apabila anaknya terus hidup sehingga mati dalam maksiat. Dia akan membenci anaknya dan putus asa kerana jahatnya seorang anak. Namun Rasulullah akan memberikan syafaat di akhirat kelak kepada umatnya yang hidup sehingga mati dalam maksiat.

4. Ilmu bukannya huruf-huruf di dalam buku sebaliknya ilmu adalah cahaya yang ada di sebalik huruf-huruf tersebut.

5. Berbicara dengan Allah mesti dengan penuh adab. Orang yang berdoa “Ya Allah. Ampunkanku sekiranya Engkau mahu” menunjukkan seakan-akan dia tidak berhajat kepada Allah. Jadilah seorang yang fakir dan berharap kepada tuhannya. Rasulullah mengajar umatnya agar beradab dengan Allah Taala.

6. Doa Nabi Isa di dalam Surah al-Ma`idah ayat 118 yang bermaksud:

"Sekiranya Engkau (Ya Allah) mengazab mereka (orang-orang Kristian), maka mereka adalah hamba-hambaMu. Sekiranya Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkau adalah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana.

menunjukkan bahawa baginda tidak redha dengan tindakan Kristian yang mentuhankannya. Baginda tidak menyatakan di hadapan Allah di akhirat kelak agar Allah mengampunkan dosa orang-orang Kristian yang mempertuhankan baginda. Ini sebagai satu bukti bahawa baginda tidak meredhai tindakan mereka.

7. Orang yang kenal tuhannya adalah orang yang tidak bersegera untuk doanya diterima. Orang yang jahil terhadap tuhannya akan gopoh dalam mengharap doanya dikabulkan. Berdoa kepada Allah pada hakikatnya adalah perbuatan Allah yang dizahirkan pada lidah sang hamba sebagai satu bukti bahawa Allah akan menerima doanya. Apabila Allah mengizinkan sang hamba untuk berdiri di pintuNya dengan mengharap agar suaranya didengar oleh Allah sebenarnya satu kemuliaan.

8. Nabi Isa digelar al-Masih kerana baginda tidak mempunyai rumah. Baginda berkelana di mayapada ini dari satu tempat ke satu tempat utk menyampaikan Islam. Di mana sahaja malam berlabuh, di situlah baginda akan tidur.

9. Yahudi, Kristian dan Muslim masing-masing menunggu al-Masih. Yahudi menunggu al-Masih al-Dajjal. Kristian menunggu Nabi Isa. Namun mereka adalah sesat kerana baginda bukanlah tuhan. Orang Islam menunggu al-Masih bin Maryam yang akan bersyariat dengan syariat Rasulullah.

10. Rasulullah hidup dengan al-Quran yang dibaca semasa solat. Apabila baginda membaca ayat rahmat, baginda akan berhenti dan berdoa memohon rahmat. Apabila baginda membaca ayat azab, baginda akan berhenti dan berdoa memohon dijauhkan daripada azab.

Oleh itu apabila Rasulullah disebut di dalam ayat al-Quran semasa solat, maka berselawatlah kepada Rasulullah.

11. Suara Rasulullah dapat didengar oleh orang yang paling jauh dalam sesuatu majlis. Syeikh Yusri menyedari perkara ini sekalipun tiada para ulama yang menyatakan perkara ini sebelum ini. Ini dibuktikan apabila tiada dinyatakan bahawa adanya Mustamli (Muballigh) dalam majlis Rasulullah. Seramai 124 ribu orang para sahabat yang bersama dengan baginda dalam Hajjat al-Wada’ tanpa ada sebarang Mustamli.

12. Rasulullah tidak meminta nikmat syurga di dunia sebelum umat baginda merasainya di syurga nanti. Bahkan di syurga nanti apabila sebahagian umat baginda telahpun masuk ke syurga, baginda masih lagi keluar dari syurga untuk memberikan syafaat kepada umatnya yang masih belum berada di syurga.

13. Rasulullah mencium tangan Sayyidatina Fatimah dan beliau mencium tangan baginda.


Selawat Dan Salam Buat Nabi Muhammad Dan Buat Ahli Keluarga Baginda Yang Mulia. Amin

1 comment:

MZP said...

Saya dapat tangkap ketika dijelaskan mengapa Nabi Isa a.s. digelar al-Masih. Tapi saya terlepas perhatian bila asy-Syeikh menjelaskan mengapa Dajjal digelar al-masih. Ustaz dapat tak? Boleh tak kongsikan? Terima kasih.