Saturday, October 31, 2009

Kenapa Kena Curi Tandatangan DESAK??!!

Bila En Jamil tetap lesu dan tak mahu bertemu dengan pelajar bagi menjelaskan isu pengharaman PMRAM daripada menggunakan ACC (Al-Azhar Conference Centre) semasa majlis Pembacaan Kutub Sittah, mahasiswa Malaysia di Mesir bangkit memprotes tindakan encik ini. Akhirnya lahir Jawatankuasa DESAK yang mengumpulkan tandatangan mahasiswa Malaysia sebagai tanda protes mereka terhadap encik ini.

Tandatangan yang diturunkan pada helaian-helaian kertas dan kain rentang yang dipasang di dataran Hayyu Asyir semestinya membingitkan lagi suasana mahasiswa dalam menuntut 3 TUNTUTAN:

1) Mendesak agar Encik Jamil meminta maaf kepada mahasiswa Malaysia di Mesir berkenaan dengan isu Kutub Sittah

2) Menghantar surat kepada pihak Syeikh al-Azhar bagi membersihkan kembali nama PMRAM yang diburukkan oleh Encik Jamil

3) Mengadakan dialog terbuka bersama mahasiswa bagi menjelaskan isu seputar Majlis Pembacaan Kutub Sittah

TIBA-TIBA kain rentang yang dilakarkan padanya tandatangan protes mahasiswa KENA CURI!!

Lebih aneh yang mencurinya adalah orang Arab Mesir yang bekerja di Premis Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

Lagi Aneh apabila mereka mencuri kain tersebut dan membawanya lari menggunakan kereta milik kedutaan Besar Malaysia Kaherah

Apabila pencuri-pencuri ini berjaya disekat di hadapan kedai makan Syubrawi (nama barunya ARABIATA), mereka telah ditahan oleh pihak polis dan dibawa ke balai.

TIBA-TIBA EN JAMIl pula yang MENJAMIN pencuri-pencuri itu.

Kenapa ya???

Aneh.

p/s: kain rentang yang dicuri oleh orang-orang Arab itu telah berjaya didapatkan semula di Balai Polis.

Insyaallah kain rentang itu akan diserahkan kepada Encik Jamil. So tak payah curilah. Memang nak bagipun.

Ini pula ulasan teman saya yang mengejar dan menangkap sendiri para pencuri itu:

http://kalimahtayyibah.blogspot.com/2009/10/terima-kasih-profesor-jamil.html

************

Gambar kain rentang sebelum dicuri:



Monday, October 26, 2009

Semakin Hari Semakin Baik

Banyak hari tak dapat update blog. 2 hari juga internet tak ada di rumah. Permintaan Syeikh Sayyid Syaltut yang meminta saya untuk download satu makhtutat (manuskrip) yang dimuatkan dalam web Universiti Malik Su`ud - http://makhtota.ksu.edu.sa/ sehingga sekarang tak dapat dilangsaikan. Belum lagi dengan kelas-kelas di Masjid al-Azhar yang riuh dengan majoriti anak-anak Melayu.

Sekali fikir, saya rasa bangga dengan pencapaian ilmu di kalangan mahasiswa Melayu khususnya anak-anak Malaysia. Kelas-kelas di Masjid al-Azhar akan dimajoritikan dengan kedatangan mahasiswa Melayu. Anak tempatan (Arab Mesir) sendiri adalah minoriti. Satu perubahan yang menarik. Semoga berkekalan.

Kalau ingin dibandingkan 6 atau 7 tahun yang lampau, rasanya suasana hari ini lebih baik. Kalau dulu, yang datang ke masjid al-Azhar menimba ilmu dari Syeikh Sayyid Syaltut hanya sekitar 10 orang sahaja. Hari ini, kelas beliau sahaja dipenuhi oleh anak-anak Melayu (orang Malaysia yang paling ramai) sekitar 80 ke 90 orang rasanya. Orang Arab Mesir rasanya hanya 10 orang.

Dari jauh saya tersenyum. Semangat cintakan ilmu semakin subur dalam atma para mahasiswa. Lekas bangkit ke kiblat ilmu kiranya anda masih lagi baru berniat dan belum bermula. Nanti anda pasti menyesal bila anda telah pulang ke Malaysia selama-lamanya.

Wednesday, October 21, 2009

Hampa. Orang Yang Sepatutnya Datang Tak Datang


Hampa, marah, sedih .... itulah mungkin perasaan kami semua. Program dialog dengan Encik Jamil yang telah mensabotaj program pembacaan Kutub Sittah tak dapat dijalankan malam ini. Beliau tidak mahu hadir dengan alasan sibuk dan macam-macam lagi.

Semua orang marah. Sakit hati dengan sikap encik ini yang tidak mahu bertanggungjawab atas tindakan lantungnya. Saya masih tak dapat melupakan bagaimana para ulama yang telah bersama dalam majlis pembacaan Sahih al-Bukhari baru-baru ini disusahkan. Masih terbayang bagaimana al-Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba`ith al-Kattani terpaksa dipapah naik ke tingkat 6 dalam usia tua beliau. Tak dapat lupa lagi bagaimana Syeikh Yusri terpaksa ambil cuti daripada kerja lantaran kerja jahat encik ini sampai waktu dan jadual asal yang diatur terpaksa diubah yang mengakibatkan masa para masyaikh ini terpaksa diubah dan disusun sekali lagi.

Tiba-tiba malam ini tak mahu datang pula.

Kalau kita sudah berani untuk buat jahat, saya kira kita juga sepatutnya berani bersemuka dengan mahasiswa yang benci dengan tindakan jahat kita.

Bagi saya, JPMK mesti DIBOIKOT selagi mana encik Jamil tidak meminta maaf secara terbuka kepada seluruh mahasiswa Malaysia di Mesir. Dia juga mesti menulis surat membersihkan kembali nama PMRAM di pandangan Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi.

Kalau tidak, saya menyeru kepada seluruh mahasiswa di Mesir untuk PROTES dan BOIKOT program anjuran JPMK dan Kedutaan. Mereka mesti bertanggungjawab.

Buktikan. BOIKOT KONVO KEDUTAAN sampai En Jamil mohon maaf secara terbuka dan membersihkan nama PMRAM.

Penutup Majlis Pembacaan Hadith Sahih Al-Bukhari, Satu Kenangan Seabadinya


Ya Allah. Syukur padaMu atas nikmat ini. Malam tadi satu malam yang cukup bermakna buat seluruh peserta Majlis Pembacaan Kutub Sittah Siri 1 (Sahih Al-Bukhari). Ucapan demi ucapan setiap ulama yang membacakan hadith Sahih al-Imam al-Bukhari pada kami cukup menyentuh atma dan jiwa halus kami.

Syeikh Usamah sebelum ini meminta saya bersungguh-sungguh untuk membawa dan menjemput Prof. Dr. Saad Saad Jawish al-Husaini untuk bersama-sama dalam majlis penutup malam tadi. Alhamdulillah, walaupun Syeikh Saad Saad Jawish tidak dapat menghadiri majlis ini dari hari pertama lantaran kesibukan beliau memunaqasyah tesis M.A dan PhD di Universiti al-Azhar, beliau akhirnya dapat meluangkan masa dalam majlis penutup sekitar jam 5.10 petang semalam sehingga majlis tamat.

Sementara menunggu ketibaan Syeikh Ali Jum`ah yang merupakan ulama besar di Mesir yang merupakan guru kepada para guru saya di Mesir (Syeikh Sayyid Syaltut, Syeikh Muhammad Sultan, Syeikh Usamah, Syeikh Yusri al-Hasani, Syeikh Amru al-Wirdani, Syeikh Ahmad Hajin dan lain-lain), kami terpaku dengan bilah-bilah ucapan para guru yang meminta kami agar tabah dalam menjunjung ilmu yang merupakan warisan dan harta pusaka dari al-Habib al-Mustafa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Saya lihat beberapa orang peserta sebak dan menangis apabila Syeikh Saad Saad Jawish berucap. Beliau membawa kepada kami satu hadith bahawa Rasulullah pada satu hari telah diperlihatkan oleh Allah dunia seluruhnya dari timur hingga ke barat. Beliau menyatakan bahawa berkemungkinan mata Rasulullah juga telah melihat Malaysia yang akhirnya menerbitkan semangat juang untuk mempertahankan Islam dan mencintai Rasulullah dalam jiwa anak-anak Muslim di Malaysia.

Subhanallah. Malam tadi air-air mata itu berguguran laju apabila hati-hati pemiliknya diketuk agar mencintai Rasulullah. Syeikh Usamah sendiri menangis apabila cinta Rasulullah dilahirkan.

Tuhan. Saya rindu pada Baginda.

Akhirnya selepas solat Isyak, Fadhilat al-Mufti Syeikh Ali Jum`ah tiba. Kami semua seperti tidak percaya bahawa beliau ada di hadapan mata kami. Semua yang hadir berdiri menghormati ulama besar ini yang telah melahirkan ramai para ulama Mesir yang pakar dalam bidang yang pelbagai.

Syeikh Ali dalam ucapan beliau menceritakan guru-guru beliau. Antaranya adalah Syeikh Yasin al-Fadani dan Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari. Saya sempat menoleh ke arah Syeikh Yusri al-Hasani. Saya dapati beliau menangis apabila Fadhilat al-Mufti menceritakan kepada kami kisah al-Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari. Saya dapat rasakan betapa Syeikh Yusri yang pernah belajar daripada Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari merindui guru beliau yang sudah tidak ada lagi hari ini.

Subhanallah. Malam tadi malam yang cukup mengharukan. Setiap bilah kalam para ulama yang hadir menggamit kami untuk mencintai Rasulullah serta mempertahankan pusaka Rasulullah. Subhanallah. Al-Azhar -demi tuhan Kaabah- telah memupuk jiwa kami untuk rindu dan cinta pada Rasulullah. Air mata ini mengalir lagi.

Ya Allah. Berkatilah para masyaikh kami. Lapangilah hidup mereka. Berkatilah mereka. Tanamkanlah dalam jiwa kamu cintakan Nabi dan cintakan para ulama. Jadikanlah kami orang yang bersungguh-sungguh menggali ilmuMu dari dada para ulama. Jadikanlah kami manusia yang akan meredah jahiliyyah lalu kami kotakan Islam dan kamu junjung serta kami mahkotakan Islam.

Ya Allah. Kami menjadikanMu, para malaikatMu dan makhluk seluruhnya bahawa kami mencintaiMu dan mencintai NabiMu.

Terimalah Ya Allah.

**************

Tahniah buat PMRAM dan seluruh individu yang telah bercekal dan berlelah dalam menjayakan program ini. Teringat dengan apa yang diucapkan oleh Syeikh Yusri pada kami sewaktu majlis berenti rehat "Kamu telah mula menghidupkan kembali sunnah pembacaan Kutub Sittah ini, maka kamu jangan menutupnya".

Semoga PMRAM akan terus tabah dan bersemangat untuk memimpin tangan-tangan anak-anak Melayu di Mesir ini agar serius dalam menuntut dan menjiwai ilmu. Tahniah buat semua.

Satu Fikrah Satu Amal,
Kita PMRAM.

Tuesday, October 20, 2009

Mufti Mesir Akan Bersama Dalam Majlis Penutup Pembacaan Kutub Sittah


Alhamdulillah. Majlis berjalan lancar. Syeikh Yusri sendiri gembira sangat dengan program ini. Beliau sebut pada kami "Bila kamu telah mula menghidupkan sunnah pembacaan kutub sittah ini, maka kamu jangan menutupnya".

Beliau sendiri telah berbincang dengan Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba`ith al-Husaini dan Syeikh Jamal Faruq untuk meneruskan pembacaan Sahih Bukhari sehingga tamat selepas daripada ini.

Alhamdulillah. Kalau diizinkan Allah, malam ini Fadhilat al-Mufti al-Syeikh Ali Jum`ah sendiri akan bersama dalam majlis penutup pembacaan Sahih al-Bukhari.

Alhamdulillah. Moga PMRAM dirahmati dan dijagai Allah. Moga PMRAM akan terus mara dalam usaha melahirkan generasi ulama masa hadapan.

Satu Fikrah Satu Amal,
Kita PMRAM.

Saturday, October 17, 2009

Kenyataan Rasmi MANHAL PMRAM Berkenaan Dengan Isu Pemakaian Niqab/Purdah


Banyak orang macam still nak salahkan al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi. Hasil temuramah majalah al-Musowwar dengan beliau menjelaskan mengapa beliau mengambil tindakan meminta pelajar wanita yang masih kecil itu untuk membuka purdah. Ini kerana beliau terperanjat ada pelajar perempuan yang memakai purdah di dalam bilik kelas yang hanya ada pelajar perempuan.

Suka untuk mendedahkan kepada para pembaca bahawa kelas di dalam sekolah rendah, menengah dan universiti al-Azhar tidak mencampurkan antara pelajar lelaki dan perempuan.

Maka diharap masyarakat Malaysia tidak terlalu cepat dalam membuat kesimpulan berbaur negatif terhadap al-Syeikh Muhammad Sayyid al-Tantawi.

Saya sertakan di bawah kenyataan rasmi MANHAL PMRAM.

Sumber: http://pmram.org/index.php?option=com_content&view=article&id=704:kenyataan-rasmi-manhal-pmram-isu-pemakaian-niqabpurdah&catid=8:isu-semasa&Itemid=70

*******************

Berikut adalah pendirian MANHAL PMRAM berhubung dengan isu niqab yang membabitkan al-Imam al-Akbar Prof. Dr. Muhammad Sayyid Muhammad Tantawi.

1. Permasalahan pemakaian niqab/purdah bagi wanita adalah merupakan perselisihan dalam perkara cabang (furu') di dalam perbahasan hukum. Berikut adalah kesimpulan pandangan para fuqaha terhadap masalah pemakaian niqab/purdah:

Mazhab Hanafi: Wajah dan pergelangan tangan bukanlah aurat tetapi diharamkan bagi lelaki ajnabi untuk melihatnya apabila disertai dengan syahwat.

Mazhab Maliki: Wajib bagi seorang wanita untuk menutup muka dan pergelangan tangan apabila berada bersama lelaki ajnabi

Mazhab Syafi`e: Tidak wajib menutup muka dan pergelangan tangan. Namun pandangan muktamad di sisi Mazhab Syafi`e adalah wajib menutup muka dan pergelangan tangan.

Mazhab Hambali: Wajib menutup muka dan pergelangan tangan.

2. Kenyataan Imam al-Akbar Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi yang telah disiarkan oleh media tempatan dan luar adalah tidak tepat dengan situasi sebenar bahkan telah diputarbelitkan.

3. Majlis Tertinggi al-Azhar al-Syarif yang bersidang pada 8/10/2009 telah membuat beberapa keputusan berkenaan isu pemakaian purdah seperti berikut:

a) Para pelajar perempuan dibenarkan untuk memasuki premis al-Azhar al-Syarif secara berniqab. Wanita yang berniqab tidak boleh dihalang daripada memasuki perkarangan al-Azhar al-Syarif

b) Para pelajar perempuan dibenarkan memakai niqab apabila ada orang lelaki bersama mereka di dalam premis al-Azhar

c) Para pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai niqab di dalam bilik-bilik kelas kerana semua pelajar adalah perempuan. Larangan ini berkuatkuasa apabila guru yang mengajar juga adalah perempuan

d) Para pelajar perempuan tidak dibenarkan untuk memakai niqab sewaktu peperiksaan berlangsung. Maka para pengawal semasa peperiksaan berlangsung hendaklah di kalangan wanita.

e) Majlis Tertinggi al-Azhar bukanlah menghalang wanita daripada memakai niqab dalam kehidupan seharian mereka sebaliknya Majlis tidak bersetuju niqab dipakai pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya yang akan memberikan kesan yang negatif pada pemikiran kanak-kanak lebih-lebih lagi pandangan yang mengatakan bahawa wajah wanita wajib untuk ditutup adalah pandangan minoriti fuqaha Islam.


4. Setelah meneliti dan mengkaji perkara di atas, Markaz Pengumpulan Kajian dan Hasilan Penyelidikan ( MANHAL ) PMRAM menegaskan beberapa perkara untuk diambil perhatian:

a) Memahami bahawa masalah khilaf tidak sepatutnya menjadi pertikaian dan perselisihan berdasarkan kaedah yang berbunyi:

" لا يُنْكَرُ الْمُخْتَلَفُ فِيْهِ ، وَإِنَّمَا يُنْكَرُ الْمُجْمَعُ عَلَيْهِ "

yang bermaksud:

"Perkara yang berlaku khilaf tidak perlu untuk dipertikaikan sebaliknya perkara yang perlu untuk dipertikaikan adalah apabila perkara tersebut merupakan perkara yang disepakati oleh para ulama secara Ijmak."

Oleh itu, umat Islam dibolehkan untuk mengambil mana-mana pandangan para fuqaha.

b) Menghormati al-Azhar al-Syarif sebagai satu institusi keilmuan Islam yang diiktiraf sejak dulu hingga sekarang kerana bermanhaj dengan manhaj ilmu yang sederhana (wasatiah)

c) Bersangka baik dengan para ulama sekiranya timbul usaha untuk melaga-lagakan antara mereka dalam sesuatu isu serta merujuk terus kepada sumber yang boleh dipercayai

d) Tidak melupakan isu utama yang disepakati oleh ulama iaitu wajib menutup aurat disebabkan terlalu membesarkan masalah furu'.

e) Semua pihak perlu menghormati ketetapan yang diluluskan oleh al-Azhar al-Syarif dan membenarkan pemakaian niqab/purdah di premis-premis dan rumah-rumah negeri.

Kenyataan ini telah disepakati melalui perbincangan pihak felo MANHAL PMRAM seperti berikut:

1. Mohd Juzaili b. Juhan
2. Mohd Khairi b. Abdullah
3. Hairul Nizam b.Mat Husain
4. Mohd Fakerei b. Mahyudin

Friday, October 16, 2009

Apa Pandangan Anda Dengan Contoh Bahrul Mazi Yang Sedang Diulas Oleh PMRAM?



Ini adalah beberapa contoh tajuk di dalam Bahrul Mazi karangan Syeikh Idris al-Marbawi yang sedang ditahqiq oleh MANHAL PMRAM. Apa pandangan kalian terhadap nota kaki dan ulasan yang kami sertakan terhadap teks Bahrul Mazi?

Moga dapat kritikan membina dari kalian.









Kronologi Isu Niqab (Purdah) Yang Membabitkan Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi


Al-Imam Al-Akbar sering dinista oleh akhbar dan berita. Banyak tindakan dan ucapan beliau dieksploitasi sehingga beliau sering diburukkan. Sebelum ini beliau dituduh dengan tuduhan menghalalkan riba sedangkan perkara tersebut tidak berlaku sama sekali.

Kali ini beliau dituduh pula dengan tuduhan ingin mengharamkan niqab (purdah).

Berikut adalah sedikit kronologi peristiwa yang berkait dengan isu niqab ini.


**************************

1. Isu bermula apabila al-Imam al-Akbar al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi melawat satu sekolah maahad al-Azhar khas untuk pelajar perempuan (Maahad Fatayat Ahmad Allibi) pada Sabtu bersamaan 4/10/2009. Beliau telah melawat satu kelas lalu melihat ada seorang pelajar perempuan bernama Alak ( آلاء ) memakai purdah. Alak berumur 13 tahun.

2. Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi telah meminta pelajar perempuan itu membuka purdah kerana kelas tersebut hanya untuk para pelajar perempuan sahaja. Beliau merasa hairan mengapa pelajar tersebut memakai purdah sedangkan kelas tersebut khusus untuk pelajar perempuan, guru yang mengajar adalah guru perempuan dan bilik kelas adalah tertutup. Alak pada awalnya tidak membuka niqab apabila Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi memintanya membuka niqab.

3. Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi selepas itu telah menegaskan bahawa beliau tidak akan membenarkan pelajar perempuan memakai purdah di dalam kelas-kelas mereka. Beliau juga menafikan kenyataan media yang menyatakan bahawa beliau bercakap dengan Alak dengan nada suara yang kasar.

4. Majlis Tertinggi Al-Azhar ( المجلس الأعلى للأزهر الشريف ) telah mengadakan mesyuarat tergempar yang dipengerusikan oleh Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi pada Khamis lalu bersamaan 8/10/2009 untuk membincangkan isu niqab ini. Majlis telah memutuskan bahawa:

• Para pelajar perempuan dibenarkan untuk memasuki premis al-Azhar al-Syarif secara berniqab. Wanita yang berniqab tidak boleh dihalang daripada memasuki perkarangan al-Azhar al-Syarif

• Para pelajar perempuan dibenarkan memakai niqab apabila ada orang lelaki bersama mereka di dalam premis al-Azhar

• Para pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai niqab di dalam bilik-bilik kelas kerana semua pelajar adalah perempuan. Larangan ini berkuatkuasa apabila guru yang mengajar juga adalah perempuan

• Para pelajar perempuan tidak dibenarkan untuk memakai niqab sewaktu peperiksaan berlangsung. Maka para pengawal semasa peperiksaan berlangsung hendaklah di kalangan wanita.

• Majlis Tertinggi al-Azhar bukanlah menghalang wanita daripada memakai niqab dalam kehidupan seharian mereka sebaliknya Majlis tidak bersetuju niqab dipakai pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya yang akan memberikan kesan yang negatif pada pemikiran kanak-kanak lebih-lebih lagi pandangan yang mengatakan bahawa wajah wanita wajib untuk ditutup adalah pandangan minoriti fuqaha Islam.

5. Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi menegaskan bahawa beliau menghormati wanita yang memakai niqab selagi mana tidak menyakiti orang lain dan tidak membawa kepada masalah keamanan.

Beliau menegaskan bahawa tujuan ketetapan Majlis Tertinggi Al-Azhar tersebut dibuat adalah kerana untuk menjaga kehormatan para pelajar perempuan. Ini kerana berlaku pencerobohan beberapa orang lelaki ke dalam premis al-Azhar yang khusus untuk pelajar perempuan.

Selain itu ketetapan ini juga dibuat demi untuk mengelakkan berlakunya penipuan di dalam peperiksaan. Beliau menegaskan bahawa tahun lepas menyaksikan 12 kes penipuan semasa peperiksaan apabila para pelajar wanita yang berniqab yang terbabit telah meletakkan alat rakaman di sebalik niqab yang dipakai.

Sumber:

1. Surat Khabar al-Liwa’al-Islami bertarikh 15 Oktober 2009, bilangan ke 1447, m/s 1
2. Majalah al-Musowwar bertarikh 14 Oktober 2009, bilangan ke 4436, m/s 15 - 16.
3. http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?c=ArticleA_C&cid=1254573447321&pagename=Zone-Arabic-News/NWALayout
4. http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?c=ArticleA_C&pagename=Zone-Arabic-News/NWALayout&cid=1254573332008
5. http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?c=ArticleA_C&pagename=Zone-Arabic-News/NWALayout&cid=1254573461106&utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=rss

Pertemuan PMRAM - JPMK, PMRAM Minta Penjelasan JPMK


Sumber: http://pmram.org/index.php?option=com_content&view=article&id=699:ccc&catid=1:pmram&Itemid=63

14 Oktober, Kaherah - Satu pertemuan antara wakil PMRAM dan BKAN dengan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) Prof. Dr. Jamil bin Hasyim telah diadakan di bilik tetamu bangunan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. Pertemuan yang bermula pada pukul 9.15 pagi tersebut dihadiri oleh beberapa Badan Pengurus PMRAM yang diketuai oleh Saudara Shahrizan bin Mohd. Hazime selaku Pemangku Presiden PMRAM. Beliau ditemani oleh Saudara Mohd. Azrul bin Ismail Naib Presiden 1, Saudara Muhamad Zuhaili bin Saiman Naib Presiden 3 dan Saudara Mohd. Yazid bin Pardi Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa.

Perjumpaan yang mengambil masa hampir 2 jam tersebut membincangkan tentang isu menggagalkan Majlis Pembacaan Kutub Sittah oleh JPMK. Beberapa orang Badan Pengurus serta YDP BKAN yang hadir meminta penjelasan tentang beberapa tuduhan yang tidak berasas oleh pihak JPMK terhadap majlis yang akan dijalankan.

Kata Saudara Mohd. Azrul bin Ismail selaku Timbalan Pengarah 1 bagi program tersebut, beliau mendapat makluman daripada pihak pengurus dewan ACC (Azhar Conference Centre) tentang satu faks yang dihantar oleh pihak JPMK kepada wakil Al-Azhar As-Syarif meminta supaya Majlis Pembacaan Kutub Sittah ini dibatalkan. Antara alasan yang diberikan adalah kerana PMRAM melaksanakan program tersebut tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pihak JPMK. Lebih mendukacitakan lagi apabila surat faks tersebut ditandatangani oleh Prof. Dr. Jamil bin Hasyim sendiri.

Dalam pertemuan tersebut beberapa tindakan dibincangkan dan dipersetujui oleh kesemua ahli mesyuarat yang hadir. Antara tindakan yang dipersetujui bersama ialah Prof. Dr. Jamil bin Hashim bersetuju untuk menghadiri satu sesi dialog terbuka di hadapan semua mahasiswa dan mahasiswi bagi menjelaskan keraguan dan kekeliruan di kalangan mahasiswa terutamanya peserta Majlis Pembacaan Kutub Sittah ini. Sesi dialog tersebut akan dimaklumkan kemudian oleh pihak PMRAM.

Selain isu Kutub Sittah ini, beberapa isu lain dibangkitkan untuk mendapatkan penjelasan yang terperinci. Antaranya ialah kebajikan mahasiswa baru yang terabai. Mereka dibiarkan tinggal sesama sendiri dan dilarang untuk bercampur dengan abang-abang lama disini. Hal tersebut telah menyebabkan mereka ditipu oleh orang arab dalam beberapa perkara. Isu ini dibangkitkan oleh Saudara Mohd. Ridhwan bin Abu Bakar YDP Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu dan Saudara Mohd. Hanafi bin Zulkapli YDP Majlis Kebajikan Keluarga Kedah.

Sebelum bersurai,Saudara Shahrizan selaku Pemangku Presiden mengharapkan agar pihak JPMK merujuk PMRAM terlebih dahulu sekiranya mendengar desas desus ahli terhadap program PMRAM yang akan dijalankan. Tindakan yang tidak professional akan menyebabkan jatuhnya mutu gerak kerja yang dijalankan. Lebih-lebih lagi apabila tindakan tersebut dilakukan oleh pihak yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Wednesday, October 14, 2009

PMRAM Optimis Menjayakan Majlis Pembacaan Kutub Sittah

Sumber:

http://pmram.org/index.php?option=com_content&view=article&id=696:pmram-optimis-menjayakan-majlis-pembacaan-kutub-sittah&catid=1:pmram&Itemid=54

Kaherah, 13 Oktober - PMRAM sekali lagi mengadakan pertemuan bersama Ketua Pengarah ACC , yang merupakan tindakan lanjutan daripada usaha pihak JPMK untuk menggagalkan program Majlis Pembacaan Kutub Sittah.

Pemangku Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime bersama Pengarah Program, Saudara Mohd Adlan Mokhtaruddin telah berkunjung ke dewan tersebut meminta penjelasan dari pihak pengurusan ACC. Ini merupakan kunjungan kali ketiga pihak PMRAM ke dewan ACC setelah mendapat makluman usaha membatalkan program ini oleh pihak JPMK. Usaha ini akan diteruskan oleh PMRAM sehingga terlaksananya Majlis Pembacaan Kutub Sittah ini dengan jayanya.

Di samping itu, pihak PMRAM sentiasa menghubungi pihak JPMK untuk meminta penjelasan dan mengatur pertemuan. Namun begitu maklum balas yang diterima sangat mendukacitakan.

Pihak PMRAM selaku penganjur sekali lagi memohon jasa baik semua pihak untuk terus berdoa supaya usaha untuk menggagalkan majlis ini tidak berjaya.

**************************

Saya memohon seluruh mahasiswa Islam Malaysia di Mesir untuk solat hajat dan berdoa kepada Allah agar program mulia ini yang cuba dibatalkan dan disabotaj oleh Pengarah JPMK, En Jamil akan dapat diteruskan dengan jayanya.

Kita mahu menghidupkan jiwa cintakan ulama dan ilmu di dalam sukma mahasiswa Islam di Mesir. Kita mahu mahasiswa serius dan cakna dalam segala isu berkaitan ilmu.

Moh ke masjid al-Azhar. Moh bertalaqqi dengan para ulama al-Azhar.

Monday, October 12, 2009

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah Yang Mengarut


Tak pasal-pasal program Pembacaan Kutub Sittah yang julung-julung kali akan dianjurkan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir telah cuba digagalkan oleh En Jamil selaku Pengarah JPMK.

Inilah akhlak Islam dan tarbiah sejati. PMRAM berhempas pulas nak anjurkan satu majlis mulia yang akan dimeriahkan dengan kedatangan ulama-ulama besar al-Azhar al-Syarif, tiba-tiba JPMK tak tentu pasal cuba untuk menggagalkan program pembacaan Sohih al-Bukhari tak lama lagi.

Anehkan. Program yang ada joget oleh budak-budak Indonesia boleh didiamkan oleh JPMK seribu bahasa. PMRAM nak anjurkan majlis pembacaan hadith Sohih al-Bukhari nak disabotaj pula.

Harap kawan-kawan semua dapat solat hajat khusus agar Allah merencatkan usaha tak bertamadun ini dan memberkati usaha PMRAM yang ingin menganjurkan Majlis Sama' Ahadith Rasulillah (Majlis Pembacaan Hadith-Hadith Rasulullah).

يا مولانا يا مجيب
من يرجوك لا يخيب
توسلنا بالحبيب
اقض حاجتنا قريب
هذا وقت الحاجات
يا حاضرا لا يغيب

Berita rasmi berkenaan sabotaj tidak bertamadun ini boleh didapati terus di:

http://pmram.org/index.php?option=com_content&view=article&id=694:makluman-majlis-pembacaan-kutub-sittah&catid=6:pengumuman&Itemid=68

atau

http://kutubsittah-pmram.blogspot.com/2009/10/makluman-rasmi-kutub-sittah.html

Terjemahan Fatwa Majlis Kebangsaan Mesir Berhubung Isu Purdah (Niqab)

Saya nyatakan di bawah terjemahan fatwa yang pernah diajukan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) kepada Majlis Fatwa Kebangsaan Mesir (Dar al-Ifta al-Misriyyah) pada tahun 2007 sebagai satu muqaddimah dalam memahami isu purdah ini. Saya akan cuba untuk mengkaji isu Syeikh al-Azhar Dr. Sayyid al-Tantawi agar isu ini akan semakin jelas buat para pembaca. Diharap para pembaca tidak terburu-buru untuk menghukum tindakan Syeikh al-Azhar semata-mata dengan paparan media baru-bari ini.


****************************

"Tanyalah orang yang mengetahui sekiranya kamu semua tidak mengetahui". (Surah al-Nahl ayat 43)

Segala puji bagi Allah satu-satunya. Selawat dan salam buat Nabi yang tiada lagi nabi sesudahnya, Nabi Muhammad utusan Allah. Selawat dan salam juga buat ahli keluarga Rasulullah, para sahabat baginda dan sesiapa yang mengikuti baginda secara baik sehingga hari Kiamat.

Kami telah menerima permohonan fatwa daripada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) bertarikh 29/5/2007 yang bernombor 826 bagi tahun 2007 yang berbunyi:

Kedutaan Besar Malaysia Kaherah telah menghalang para mahasiswi Malaysia yang menuntut di al-Azhar daripada memakai niqab (purdah) dengan alasan keselamatan dan takut daripada teroris, sedangkan kedutaan boleh untuk meminta mahasiswi tersebut untuk membuka niqab mereka sebelum mereka masuk ke premis kedutaan bagi mengenalpasti identiti mahasiswi berkenaan.

Persoalan di sini adalah: adakah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dibolehkan dari sudut Syarak untuk memaksa mahasiswi yang berniqab untuk berpegang dengan satu pandangan tertentu di dalam masalah yang berlaku perselisihan pandangan para fuqaha seperti masalah niqab? Apakah pendirian yang perlu diambil oleh para mahasiswi yang berniqab terhadap ketetapan yang diputuskan oleh pihak kedutaan?


Jawapan:

Sebagaimana yang dimaklumi bahawa masyarakat Malaysia secara umumnya bermazhab dengan mazhab Syafi`e Radhiallahu `Anhu. Di dalam mazgab Syafi`e, wanita yang merdeka yang telah baligh diwajibkan untuk menutup wajahnya daripada dilihat oleh lelaki ajnabi.

Di dalam kitab Hasyiah Jamal `Ala Syarh al-Manhaj sebagaimana yang juga tertera di dalam kitab Syarh al-Mahalli `Ala Minhaj al-Nawawi:

"Adapun aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi, maka seluruh badan".


Di dalam kitab Hawasyi al-Syarwani `Ala Tuhfat al-Muhtaj Libni Hajar `Ala Minhaj al-Nawawi dinyatakan:

"Dapat diketahui daripada kenyataan ini bahawa wanita yang merdeka mempunyai tiga aurat;

• Aurat di dalam solat iaitu apa yang telah dinyatakan sebelum ini
• Aurat apabila bersama dengan lelaki ajnabi iaitu seluruh badannya termasuklah wajahnya dan dua tapak tangannya berdasarkan pandangan yang muktamad (pandangan yang kuat)
• Aurat apabila dia berseorang diri atau ketika bersama dengan mahramnya iaitu sama seperti aurat lelaki."


Di dalam kitab Hasyiah Bijirmi `Ala al-Khatib dinyatakan:

"Adapun aurat wanita di luar solat apabila ada bersama dengan lelaki ajnabi, maka auratnya adalah seluruh badannya termasuklah muka dan dua tapak tangan sekalipun ketika aman daripada fitnah".

Maka berdasarkan soalan yang dikemukakan, dapatlah dinyatakan bahawa pihak berkuasa boleh untuk mengambil pendekatan dari sudut keselamatan, mengenal pasti identiti, kaji selidik dan siasatan bagi memastikan keamanan pihak berkuasa. Antaranya adalah meminta agar wanita yang berniqab menunjukkan wajahnya ketika mereka ingin masuk ke dalam premis kedutaan tanpa perlu untuk pihak kedutaan memaksa mereka untuk menanggalkan niqab mereka di dalam premis kedutaan kerana premis kedutaan adalah kawasan umum bagi setiap warganegara.

Wallahu Subhanahu Wataala A'lam.


Ditandatangani oleh tenaga fatwa,

Muhammad Wusam Abbas, Muhammad Syalabi dan Imad al-Din Ahmad `Iffat.

Tarikh: 30/5/2007.

Saturday, October 10, 2009

Syeikh al-Azhar Dan Niqab??

Bising pasal isu al-Imam al-Akbar Al-Syeikh Sayyid al-Tantawi berhubung larangan memakai niqab (purdah). Khutbah di Majid al-Walidayn, Hayyu Asyir Kaherah juga membincangkan isu ini dengan menekankan agar umat Islam tidak cepat menghukum al-Syeikh Sayyid al-Tantawi semata-mata kerana hebahan media memandangkan banyak putar belit media dalam sebarang isu berkenaan dengan ulama besar ini. Saya sendiri sedang mengumpul maklumat terperinci untuk dibuat satu pendirian MANHAL PMRAM dalam isu ini.

Saya paparkan kepada saudara pembaca berkenaan dengan pendirian Dar al-Ifta al-Misriyyah (Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir) berkenaan dengan isu Kedutaan Besar Malaysia Kaherah yang tidak membenarkan para mahasiswi Malaysia memakai purdah di dalam premis kedutaan.

Semoga bermanfaat.



Pencerahan:

Kelas Di Masjid Al-Azhar Rancak Kembali. Berita Baik Buat Mahasiswa Baru.

Lama juga tak ke masjid al-Azhar sepanjang Ramadhan. Sepanjang puasa, kelas talaqqi cuti. Memang sudah menjadi tradisi al-Azhar zaman berzaman, cuti bermula daripada 15 Syaaban hingga 15 Syawal.

Pagi tadi macam biasa saya ke Dar al-Ifta al-Misriyyah. Selepas habis bertalaqqi kitab Fath al-Rahman karangan Syihab al-Din al-Ramli, Syeikh Sayyid Syaltut bagi tahu kami bahawa kelas beliau di al-Azhar akan bermula hari ini.

Hari ini kami akan membaca Bab al-Umum daripada kitab Ghayat al-Ma'mul (kitab Usul Fiqh).

Syeikh Sayyid akan mengajar matan Minhaj al-Tolibin dari awal Kitab al-Toharah. Maknanya adik-adik baru yang baru tiba di Mesir dapat mempelajari matan utama dalam mazhab al-Imam al-Syafie ini daripada awal.

Harap kalian rebut peluang ini.

Jadual Kelas Syeikh Sayyid Syaltut:

Sabtu : 5.00 petang : Kitab Ghayat al-Ma'mul Syarh Waraqat al-Usul (Usul Fiqh)
Isnin : 5.00 petang : Kitab Minhaj al-Tolibin (Fiqh Syafie)
Selasa @ Khamis : 5.00 petang : Kitab Minhaj al-Tolibin (Fiqh Syafie).

** Syeikh Sayyid akan maklumkan kembali kelas Minhaj al-Talibin akan dibuat pada hari Isnin dan Selasa sahaja atau Isnin dan Khamis.

Monday, October 5, 2009

ISMA Di Rumah KL??!!


Wah. Dah lama tak jadi petugas dalam program-program BKAN khususnya BKAWM (Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir). Dulu saya pertama kali menjadi kepimpinan Badan Kebajikan Anak Kuala Lumpur Mesir (nama lama bagi BKAWM) pada tahun 2003, saya terus diangkat menjadi Timbalan Yang DiPertua. Selepas itu, saya diamanahkan untuk menjadi Badan Pengurus PMRAM (2003-2007).

Selama menjadi BP PMRAM, saya terlalu jarang dapat bersama dengan anak-anak Kuala Lumpur. Amanah menjadi Badan Pengurus PMRAM yang diletakkan di atas batu jemala saya melakarkan masa-masa saya yang lebih disalurkan buat PMRAM, BKAN dan DPM secara umum.

Hari ini, saya gembira kerana dapat duduk bersembang dan berbicara dengan adik-adik Wilayah Persekutuan. Sambil-sambil kami bertugas bak bawwab (pengawal) dalam memastikan ancaman-ancaman ITU tidak lolos dalam rumah Wilayah Persekutuan, dapat juga beramah mesra dan bergurau senda dengan adik-adik Wilayah Persekutuan.

Walaupun dengar-dengar dari jauh ada juga lolosan-lolosan orang-orang itu dalam rumah KL, Cuma tidaklah sedahsyat yang berlaku pada adik-adik baru dari Terengganu.

Hari ini saya berkawal lagi. Mana tahu ada tetamu kurang diundang akan bertamu di waktu dinihari.

Buat isteri tersayang yang sehingga saat ini sudah tidak dapat ketemu sekitar 48 jam, kekadang perpisahan kerana amal Islami itu indah. Masing-masing memendam rindu. Namun mewaqafkan diri buat Islam dan perjuangannya itulah yang terutama.

Kelak di Malaysia nanti, pasti berjauhan itu mainan biasa. Isteriku itu kecintaanku. Namun menjadikan roh dan jasad ini sebagai waqaf buat Islam itu lebih menjadi kecintaanku.

Rehat Di Syurga.

Friday, October 2, 2009

Cerita Pendek - Orang Jatuh Motor


Pagi tadi, lepas solat Subuh di Rumah KL, saya terus ke Masjid al-Asyraf di Muqattam. Macam biasa, nak dengar mutiara kalam Rasulullah yang dimuatkan di dalam Jami' Tirmidzi. Ramai juga yang datang pagi tadi. Yang ramai dari Terengganu. Adik-adik baru Terengganu pun ada. Cuma mereka bukan di bawah Yayasan sebab adik-adik Terengganu bawah Yayasan diseret ke Gunung Tursina. Mungkin pihak pegawai dan orang-orang itu nak sematkan dalam jiwa adik-adik tersebut semangat Nabi Musa dalam menuntut ilmu kot? Tu yang sampai dibawa nun jauh ke Gunung Tursina.

Dalam kelas, saya terperasan seorang pelajar perubatan dari Terengganu yang seakan-akan berdarah di bahagian mukanya. Tapi sebab kelas tengah berjalan, saya taklah bertanya.

Habis kelas, baru tahu. Rupa-rupanya pelajar perubatan tersebut dengan kawannya (Anas) jatuh motor dalam perjalanan ke Masjid Asyraf subuh tadi. Ada minyak di selekoh di kawasan perkuburan Muqattam yang menyebabkan kedua-dua mereka tergelincir akhirnya jatuh sehingga pemandu berdarah di bahagian mukanya. Dua-dua orang adik perubatan ini berdarah sedikit di bahagian lutut.

Yang menjentik hati saya adalah sikap dua orang adik perubatan ini yang dahagakan ilmu dari para ulama. Selepas subuh memecut motosikal dari Hayyu Asyir ke Muqattam, jatuh di pertengahan jalan seterusnya meneruskan perjalanan memburu ilmu dalam keadaan mengerang kesakitan.

Subhanallah. Adik perubatan bersungguh dalam menuntut ilmu. Jatuh sehingga berdarah wajah tidak menyebabkan alasan direka untuk mundur kembali ke Hayyu Asyir. Subhanallah.

Saya terfikir; ada orang jatuh di awal pagi sehingga berdarah wajah dan lutut semata-mata kerana ingin mendengar kalam Rasulullah. Ada juga orang yang jatuh di awal subuh dari katilnya kerana begitu asyik dalam dunia mimpinya.

Harap-harapnya adik-adik Terengganu yang diseret ke Sinai oleh orang-orang itu tidak terjatuh semasa berada di Gunung Tursina.

Saya pula tak nak terjatuh dalam UMNO ataupun ISMA. Saya nak tolong PAS dalam menegakkan Syariat Islam di Malaysia hingga saya jatuh lalu gugur sebagai syuhadak. Amin.

Sampai Bila Adik-Adik Terengganu akan Selesai Daripada Disusahkan??

Pagi ini, seusai kelas dengan Syeikh Yusri al-Hasani, saya dengar berita beberapa kawan-kawan Terengganu yang turut belajar dengan Syeikh Yusri. Mereka beri tahu pada kami bahawa adik-adik baru dari Terengganu yang telahpun diletihkan dengan permusafiran ke Sinai sampai sekarang masih tidak tiba di Hayyu Asyir.

Dengar-dengar mereka diseret pula ke Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA).

Inna Lillah. Kenapa pihak yang terlibat dalam upacara memenatkan dan menyusahkan adik-adik yang baru sangat tiba ke Mesir ini cukup takut untuk biarkan adik-adik ini selesa berehat di Rumah Terengganu Hayyu Asyir? Kenapa? Takut adik-adik ini akan rapat dengan teman-teman Terengganu di Hayyu Asyir lalu mereka akan tertarik dengan Keluarga Penuntut Terengganu (KPT) yang bernaung di bawah PMRAM?

Apalah tindakan tidak matang seperti ini! Sampai bila usaha untuk menjauhkan adik-adik baru ini akan terus berlaku?! Kenapa UMNO dan ISMA yang terlibat sama dalam tindakan tidak matang ini tidak memikir betapa adik-adik ini tertekan mental mereka seusai sahaja mereka tiba di Bumi Kinanah ini.

Adik-adik ini sepatutnya diberikan keselesaan ditambah dengan semangat untuk terus menggali ilmu, bukannya dikunci berjam-jam dari luar rumah lalu diheret ke selatan Sinai tanpa motif yang jelas! Sangat tidak wajar adik-adik Terengganu yang baru tiba di Mesir yang masih belum hilang lelah permusafiran mereka diheret dan dipaksa untuk ke Semenanjung Sinai berhari-hari semata-mata kerana orang-orang itu mahu mencengkan adik-adik ini!

Aneh. Nampaknya formula tarbiah ISMA apabila bersatu dan bekerjasama dengan UMNO (pastinya saudara Ezo sangat terkenal saat ini) akan menerbitkan tindakan-tindakan aneh yang begitu melelahkan teman-teman baru.

Kenapa adik-adik baru ini mesti dijauhkan dengan para mahasiswa lama dari Terengganu? Kenapa saudara Ezo yang bukan WARGANEGARA Terengganu boleh ditugaskan menyambut adik-adik baru Terengganu bersama dengan teman-teman ISMA yang lain SEDANGKAN Keluarga Penuntut Terengganu (KPT) yang merupakan badan rasmi bagi anak-anak Terengganu di Mesir tidak pula diizinkan untuk menyambut teman-teman baru dari tanah Terengganu?

Ini tarbiah jenis apa ya?

Saya sedang cuba mencari dan mengkaji teknik tarbiah baru gabungan ISMA dan UMNO yang begitu aneh ini.

tapi kalau anda baca http://syeikhubaidillah.blogspot.com/2009/10/sebuah-penantian.html, maka lagi aneh. Aneh.