Monday, October 12, 2009

Terjemahan Fatwa Majlis Kebangsaan Mesir Berhubung Isu Purdah (Niqab)

Saya nyatakan di bawah terjemahan fatwa yang pernah diajukan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) kepada Majlis Fatwa Kebangsaan Mesir (Dar al-Ifta al-Misriyyah) pada tahun 2007 sebagai satu muqaddimah dalam memahami isu purdah ini. Saya akan cuba untuk mengkaji isu Syeikh al-Azhar Dr. Sayyid al-Tantawi agar isu ini akan semakin jelas buat para pembaca. Diharap para pembaca tidak terburu-buru untuk menghukum tindakan Syeikh al-Azhar semata-mata dengan paparan media baru-bari ini.


****************************

"Tanyalah orang yang mengetahui sekiranya kamu semua tidak mengetahui". (Surah al-Nahl ayat 43)

Segala puji bagi Allah satu-satunya. Selawat dan salam buat Nabi yang tiada lagi nabi sesudahnya, Nabi Muhammad utusan Allah. Selawat dan salam juga buat ahli keluarga Rasulullah, para sahabat baginda dan sesiapa yang mengikuti baginda secara baik sehingga hari Kiamat.

Kami telah menerima permohonan fatwa daripada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) bertarikh 29/5/2007 yang bernombor 826 bagi tahun 2007 yang berbunyi:

Kedutaan Besar Malaysia Kaherah telah menghalang para mahasiswi Malaysia yang menuntut di al-Azhar daripada memakai niqab (purdah) dengan alasan keselamatan dan takut daripada teroris, sedangkan kedutaan boleh untuk meminta mahasiswi tersebut untuk membuka niqab mereka sebelum mereka masuk ke premis kedutaan bagi mengenalpasti identiti mahasiswi berkenaan.

Persoalan di sini adalah: adakah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dibolehkan dari sudut Syarak untuk memaksa mahasiswi yang berniqab untuk berpegang dengan satu pandangan tertentu di dalam masalah yang berlaku perselisihan pandangan para fuqaha seperti masalah niqab? Apakah pendirian yang perlu diambil oleh para mahasiswi yang berniqab terhadap ketetapan yang diputuskan oleh pihak kedutaan?


Jawapan:

Sebagaimana yang dimaklumi bahawa masyarakat Malaysia secara umumnya bermazhab dengan mazhab Syafi`e Radhiallahu `Anhu. Di dalam mazgab Syafi`e, wanita yang merdeka yang telah baligh diwajibkan untuk menutup wajahnya daripada dilihat oleh lelaki ajnabi.

Di dalam kitab Hasyiah Jamal `Ala Syarh al-Manhaj sebagaimana yang juga tertera di dalam kitab Syarh al-Mahalli `Ala Minhaj al-Nawawi:

"Adapun aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi, maka seluruh badan".


Di dalam kitab Hawasyi al-Syarwani `Ala Tuhfat al-Muhtaj Libni Hajar `Ala Minhaj al-Nawawi dinyatakan:

"Dapat diketahui daripada kenyataan ini bahawa wanita yang merdeka mempunyai tiga aurat;

• Aurat di dalam solat iaitu apa yang telah dinyatakan sebelum ini
• Aurat apabila bersama dengan lelaki ajnabi iaitu seluruh badannya termasuklah wajahnya dan dua tapak tangannya berdasarkan pandangan yang muktamad (pandangan yang kuat)
• Aurat apabila dia berseorang diri atau ketika bersama dengan mahramnya iaitu sama seperti aurat lelaki."


Di dalam kitab Hasyiah Bijirmi `Ala al-Khatib dinyatakan:

"Adapun aurat wanita di luar solat apabila ada bersama dengan lelaki ajnabi, maka auratnya adalah seluruh badannya termasuklah muka dan dua tapak tangan sekalipun ketika aman daripada fitnah".

Maka berdasarkan soalan yang dikemukakan, dapatlah dinyatakan bahawa pihak berkuasa boleh untuk mengambil pendekatan dari sudut keselamatan, mengenal pasti identiti, kaji selidik dan siasatan bagi memastikan keamanan pihak berkuasa. Antaranya adalah meminta agar wanita yang berniqab menunjukkan wajahnya ketika mereka ingin masuk ke dalam premis kedutaan tanpa perlu untuk pihak kedutaan memaksa mereka untuk menanggalkan niqab mereka di dalam premis kedutaan kerana premis kedutaan adalah kawasan umum bagi setiap warganegara.

Wallahu Subhanahu Wataala A'lam.


Ditandatangani oleh tenaga fatwa,

Muhammad Wusam Abbas, Muhammad Syalabi dan Imad al-Din Ahmad `Iffat.

Tarikh: 30/5/2007.

No comments: