Friday, October 16, 2009

Pertemuan PMRAM - JPMK, PMRAM Minta Penjelasan JPMK


Sumber: http://pmram.org/index.php?option=com_content&view=article&id=699:ccc&catid=1:pmram&Itemid=63

14 Oktober, Kaherah - Satu pertemuan antara wakil PMRAM dan BKAN dengan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) Prof. Dr. Jamil bin Hasyim telah diadakan di bilik tetamu bangunan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. Pertemuan yang bermula pada pukul 9.15 pagi tersebut dihadiri oleh beberapa Badan Pengurus PMRAM yang diketuai oleh Saudara Shahrizan bin Mohd. Hazime selaku Pemangku Presiden PMRAM. Beliau ditemani oleh Saudara Mohd. Azrul bin Ismail Naib Presiden 1, Saudara Muhamad Zuhaili bin Saiman Naib Presiden 3 dan Saudara Mohd. Yazid bin Pardi Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa.

Perjumpaan yang mengambil masa hampir 2 jam tersebut membincangkan tentang isu menggagalkan Majlis Pembacaan Kutub Sittah oleh JPMK. Beberapa orang Badan Pengurus serta YDP BKAN yang hadir meminta penjelasan tentang beberapa tuduhan yang tidak berasas oleh pihak JPMK terhadap majlis yang akan dijalankan.

Kata Saudara Mohd. Azrul bin Ismail selaku Timbalan Pengarah 1 bagi program tersebut, beliau mendapat makluman daripada pihak pengurus dewan ACC (Azhar Conference Centre) tentang satu faks yang dihantar oleh pihak JPMK kepada wakil Al-Azhar As-Syarif meminta supaya Majlis Pembacaan Kutub Sittah ini dibatalkan. Antara alasan yang diberikan adalah kerana PMRAM melaksanakan program tersebut tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pihak JPMK. Lebih mendukacitakan lagi apabila surat faks tersebut ditandatangani oleh Prof. Dr. Jamil bin Hasyim sendiri.

Dalam pertemuan tersebut beberapa tindakan dibincangkan dan dipersetujui oleh kesemua ahli mesyuarat yang hadir. Antara tindakan yang dipersetujui bersama ialah Prof. Dr. Jamil bin Hashim bersetuju untuk menghadiri satu sesi dialog terbuka di hadapan semua mahasiswa dan mahasiswi bagi menjelaskan keraguan dan kekeliruan di kalangan mahasiswa terutamanya peserta Majlis Pembacaan Kutub Sittah ini. Sesi dialog tersebut akan dimaklumkan kemudian oleh pihak PMRAM.

Selain isu Kutub Sittah ini, beberapa isu lain dibangkitkan untuk mendapatkan penjelasan yang terperinci. Antaranya ialah kebajikan mahasiswa baru yang terabai. Mereka dibiarkan tinggal sesama sendiri dan dilarang untuk bercampur dengan abang-abang lama disini. Hal tersebut telah menyebabkan mereka ditipu oleh orang arab dalam beberapa perkara. Isu ini dibangkitkan oleh Saudara Mohd. Ridhwan bin Abu Bakar YDP Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu dan Saudara Mohd. Hanafi bin Zulkapli YDP Majlis Kebajikan Keluarga Kedah.

Sebelum bersurai,Saudara Shahrizan selaku Pemangku Presiden mengharapkan agar pihak JPMK merujuk PMRAM terlebih dahulu sekiranya mendengar desas desus ahli terhadap program PMRAM yang akan dijalankan. Tindakan yang tidak professional akan menyebabkan jatuhnya mutu gerak kerja yang dijalankan. Lebih-lebih lagi apabila tindakan tersebut dilakukan oleh pihak yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

No comments: