Friday, October 2, 2009

Cerita Pendek - Orang Jatuh Motor


Pagi tadi, lepas solat Subuh di Rumah KL, saya terus ke Masjid al-Asyraf di Muqattam. Macam biasa, nak dengar mutiara kalam Rasulullah yang dimuatkan di dalam Jami' Tirmidzi. Ramai juga yang datang pagi tadi. Yang ramai dari Terengganu. Adik-adik baru Terengganu pun ada. Cuma mereka bukan di bawah Yayasan sebab adik-adik Terengganu bawah Yayasan diseret ke Gunung Tursina. Mungkin pihak pegawai dan orang-orang itu nak sematkan dalam jiwa adik-adik tersebut semangat Nabi Musa dalam menuntut ilmu kot? Tu yang sampai dibawa nun jauh ke Gunung Tursina.

Dalam kelas, saya terperasan seorang pelajar perubatan dari Terengganu yang seakan-akan berdarah di bahagian mukanya. Tapi sebab kelas tengah berjalan, saya taklah bertanya.

Habis kelas, baru tahu. Rupa-rupanya pelajar perubatan tersebut dengan kawannya (Anas) jatuh motor dalam perjalanan ke Masjid Asyraf subuh tadi. Ada minyak di selekoh di kawasan perkuburan Muqattam yang menyebabkan kedua-dua mereka tergelincir akhirnya jatuh sehingga pemandu berdarah di bahagian mukanya. Dua-dua orang adik perubatan ini berdarah sedikit di bahagian lutut.

Yang menjentik hati saya adalah sikap dua orang adik perubatan ini yang dahagakan ilmu dari para ulama. Selepas subuh memecut motosikal dari Hayyu Asyir ke Muqattam, jatuh di pertengahan jalan seterusnya meneruskan perjalanan memburu ilmu dalam keadaan mengerang kesakitan.

Subhanallah. Adik perubatan bersungguh dalam menuntut ilmu. Jatuh sehingga berdarah wajah tidak menyebabkan alasan direka untuk mundur kembali ke Hayyu Asyir. Subhanallah.

Saya terfikir; ada orang jatuh di awal pagi sehingga berdarah wajah dan lutut semata-mata kerana ingin mendengar kalam Rasulullah. Ada juga orang yang jatuh di awal subuh dari katilnya kerana begitu asyik dalam dunia mimpinya.

Harap-harapnya adik-adik Terengganu yang diseret ke Sinai oleh orang-orang itu tidak terjatuh semasa berada di Gunung Tursina.

Saya pula tak nak terjatuh dalam UMNO ataupun ISMA. Saya nak tolong PAS dalam menegakkan Syariat Islam di Malaysia hingga saya jatuh lalu gugur sebagai syuhadak. Amin.

1 comment:

Hamzah Marwan said...

moga tiada undur dlm brjuang.doakn kami terus thabat dlm perjuangan..