Wednesday, October 21, 2009
Penutup Majlis Pembacaan Hadith Sahih Al-Bukhari, Satu Kenangan Seabadinya
Ya Allah. Syukur padaMu atas nikmat ini. Malam tadi satu malam yang cukup bermakna buat seluruh peserta Majlis Pembacaan Kutub Sittah Siri 1 (Sahih Al-Bukhari). Ucapan demi ucapan setiap ulama yang membacakan hadith Sahih al-Imam al-Bukhari pada kami cukup menyentuh atma dan jiwa halus kami.
Syeikh Usamah sebelum ini meminta saya bersungguh-sungguh untuk membawa dan menjemput Prof. Dr. Saad Saad Jawish al-Husaini untuk bersama-sama dalam majlis penutup malam tadi. Alhamdulillah, walaupun Syeikh Saad Saad Jawish tidak dapat menghadiri majlis ini dari hari pertama lantaran kesibukan beliau memunaqasyah tesis M.A dan PhD di Universiti al-Azhar, beliau akhirnya dapat meluangkan masa dalam majlis penutup sekitar jam 5.10 petang semalam sehingga majlis tamat.
Sementara menunggu ketibaan Syeikh Ali Jum`ah yang merupakan ulama besar di Mesir yang merupakan guru kepada para guru saya di Mesir (Syeikh Sayyid Syaltut, Syeikh Muhammad Sultan, Syeikh Usamah, Syeikh Yusri al-Hasani, Syeikh Amru al-Wirdani, Syeikh Ahmad Hajin dan lain-lain), kami terpaku dengan bilah-bilah ucapan para guru yang meminta kami agar tabah dalam menjunjung ilmu yang merupakan warisan dan harta pusaka dari al-Habib al-Mustafa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Saya lihat beberapa orang peserta sebak dan menangis apabila Syeikh Saad Saad Jawish berucap. Beliau membawa kepada kami satu hadith bahawa Rasulullah pada satu hari telah diperlihatkan oleh Allah dunia seluruhnya dari timur hingga ke barat. Beliau menyatakan bahawa berkemungkinan mata Rasulullah juga telah melihat Malaysia yang akhirnya menerbitkan semangat juang untuk mempertahankan Islam dan mencintai Rasulullah dalam jiwa anak-anak Muslim di Malaysia.
Subhanallah. Malam tadi air-air mata itu berguguran laju apabila hati-hati pemiliknya diketuk agar mencintai Rasulullah. Syeikh Usamah sendiri menangis apabila cinta Rasulullah dilahirkan.
Tuhan. Saya rindu pada Baginda.
Akhirnya selepas solat Isyak, Fadhilat al-Mufti Syeikh Ali Jum`ah tiba. Kami semua seperti tidak percaya bahawa beliau ada di hadapan mata kami. Semua yang hadir berdiri menghormati ulama besar ini yang telah melahirkan ramai para ulama Mesir yang pakar dalam bidang yang pelbagai.
Syeikh Ali dalam ucapan beliau menceritakan guru-guru beliau. Antaranya adalah Syeikh Yasin al-Fadani dan Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari. Saya sempat menoleh ke arah Syeikh Yusri al-Hasani. Saya dapati beliau menangis apabila Fadhilat al-Mufti menceritakan kepada kami kisah al-Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari. Saya dapat rasakan betapa Syeikh Yusri yang pernah belajar daripada Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari merindui guru beliau yang sudah tidak ada lagi hari ini.
Subhanallah. Malam tadi malam yang cukup mengharukan. Setiap bilah kalam para ulama yang hadir menggamit kami untuk mencintai Rasulullah serta mempertahankan pusaka Rasulullah. Subhanallah. Al-Azhar -demi tuhan Kaabah- telah memupuk jiwa kami untuk rindu dan cinta pada Rasulullah. Air mata ini mengalir lagi.
Ya Allah. Berkatilah para masyaikh kami. Lapangilah hidup mereka. Berkatilah mereka. Tanamkanlah dalam jiwa kamu cintakan Nabi dan cintakan para ulama. Jadikanlah kami orang yang bersungguh-sungguh menggali ilmuMu dari dada para ulama. Jadikanlah kami manusia yang akan meredah jahiliyyah lalu kami kotakan Islam dan kamu junjung serta kami mahkotakan Islam.
Ya Allah. Kami menjadikanMu, para malaikatMu dan makhluk seluruhnya bahawa kami mencintaiMu dan mencintai NabiMu.
Terimalah Ya Allah.
**************
Tahniah buat PMRAM dan seluruh individu yang telah bercekal dan berlelah dalam menjayakan program ini. Teringat dengan apa yang diucapkan oleh Syeikh Yusri pada kami sewaktu majlis berenti rehat "Kamu telah mula menghidupkan kembali sunnah pembacaan Kutub Sittah ini, maka kamu jangan menutupnya".
Semoga PMRAM akan terus tabah dan bersemangat untuk memimpin tangan-tangan anak-anak Melayu di Mesir ini agar serius dalam menuntut dan menjiwai ilmu. Tahniah buat semua.
Satu Fikrah Satu Amal,
Kita PMRAM.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
MasyaAllah...Tangisilah dan terus menangis..
subnanallah, kalaulah boleh di bawa majlis ilmu sedemikian bagi kami di malaysia.
lagi sedih org yg ada di Mesir tp x berkelapangan untuk pergi :(
Post a Comment