Sunday, December 27, 2009

Hari `Asyura Yang Baik


Syukur pada Allah atas nikmat usia. Syukur pada Allah atas nikmat mempelajari ilmu daripada tangan mulia para ulama di Mesir.

Pagi ini, bersempena dengan hari Asyura 10 Muharram 1431 Hijriah, selepas daripada kami mempelajari kitab Tuhfat al-Ahwazi daripada Syeikh Yusri al-Hasani di Masjid al-Asyraf di al-Muqattom, beliau dan menantu beliau, Syeikh Usamah telah mengijazahkan kami hadith musalsal Asyura yang hanya akan diijazahkan setahun sekali iaitu pada tanggal 10 Muharram setiap tahun.

Maha suci Allah yang telah menghadiahkan kepada umat Islam ini rantaian-rantaian sanad yang bersambung bermula daripada Rasulullah sehinggalah kita pada hari ini. Rasanya tidak ada pada mana-mana umat lain selain umat Islam yang memiliki rantaian sanad yang bersambung dari satu generasi ke satu generasi yang lain.

Apapun, sanad hadith pada hari ini adalah untuk mengambil keberkatan. Menjadi satu kesilapan apabila seseorang itu hanya bersungguh untuk mengejar sanad-sanad hadith sedangkan dia tidak langsung mengambil berat dalam mendalami ilmu-ilmu Islam yang lain.

Ada orang tidak dilihat dalam majlis-majlis ilmu yang diadakan saban hari. Namun apabila ada majlis pengijazahan sanad hadith, dia akan kelihatan di sana.

Makanya, yang paling terbaik adalah orang yang menghimpunkan kedua-duanya sekali; bersungguh mendalami ilmu-ilmu Islam dan mengambil keberkatan sanad-sanad hadith Rasulullah yang mulia.

Kepada para teman yang berpuasa sunat pada hari ini, tahniah buat anda. Para teman yang tidak berkesempatan pula, ambil peluang pada 10 Muharram tahun hadapan.

No comments: