Monday, May 11, 2009

Prof Dr. Ali Jum`ah (Mufti Mesir) - Menolak Hadith Dhaif Adalah Bid`ah. AlBani Melakukan Kesilapan Dalam Manhaj Hadith.

Mungkin ramai tak berkesempatan untuk mendengar pengajian seorang tokoh yang cukup disegani keilmuannya. Beliau adalah Fadhilat al-Syaikh Dr. Ali Jum`ah. Saya mengajak para pendengar yang cukup tebal dengan pegangan "Hadith Dhaif adalah ditolak" mendengar ucapan ulama besar. Rasanya ilmu beliau semestinya jauh lebih dalam daripada MAZA atau mana-mana orang yang mendakwa mereka di atas manhaj salaf yang menjadi tokoh dan ikutan salafi hari ini.

Cuma maaf sebab pengajian ini dalam bahasa Arab tanpa alih bahasa. Tapi kawan-kawan yang terkesan dengan al-Wahhabiyyah insyaallah pandai berbahasa Arab kerana mereka mampu untuk terus mencari hukum daripada al-Quran dan al-Sunnah di samping untuk mengkaji darjat sesuatu hadith sebagaimana yang diceburi oleh para mujtahid sahaja satu ketika dahulu.

Maaf pada semua kalau tak bersetuju dengan tindakan saya yang banyak membincangkan kecelaruan Salafiah atau Wahabiah. Saya merasakan peri pentingnya kita membersihkan cara pemikiran muslim agar bertepatan dengan disiplin ilmu Islam yang murni.

Maaf sekiranya saya menyatakan satu kesimpulan bahawa:

masyarakat muslim terkesan dengan Wahabi adalah disebabkan mereka tidak mendalami manhaj ilmu Islam yang betul sebaliknya ingin mendalami Islam secara short term. Lalu jadilah mereka menyangka bahawa mereka adalah ilmuan Islam. Maaf. Mereka adalah ilmuan jadi-jadian.




************

Agar faedah ucapan Mufti Mesir ini dapat dinikmati oleh seluruh pembaca, saya telah membuat beberapa kesimpulan daripada kalam beliau.

Berikut adalah beberapa kesimpulan yang dapat saya paparkan para saudara pembaca hasil daripada syarahan Fadhilat al-Syaikh Prof. Dr. Ali Jum`ah (Mufti Kerajaan Mesir) di atas:

1) Meninggalkan seluruh hadith dhaif adalah BID`AH yang tidak pernah dibuat oleh umat Islam sebelum ini.

2) Hadith Dhaif boleh digunakan dengan beberapa syarat:

• Hadith tersebut tidaklah disandarkan kepada Rasulullah (kita tidak boleh menyatakan bahawa matan hadith tersebut adalah kalam Rasulullah secara yakin 100% kerana hadith tersebut tidak mencapat tahap hadith Sahih atau Hasan)
• Hadith Dhaif tersebut tidak boleh terlalu dhaif
• Tidak ada hadith lain yang membicarakan sesuatu bab melainkan hadith dhaif tersebut.
• Hadith Dhaif tersebut tidak bercanggah dengan perkara-perkara pokok dalam agama Islam
• Hadith Dhaif tersebut adalah digunakan hujah dalam Fadha`il A'mal

3) Fikrah yang dipegang oleh golongan Wahabi hasil daripada idea Syeikh Albani yang mahu agar hadith dhaif dibuang di dalam tong sampah adalah satu pandangan yang BID`AH.

4) Hujah bahawa tokoh ulama berikut menolak hadith dhaif adalah salah sama sekali. Tokoh-tokoh yang dimaksudkan adalah:

• al-Imam al-Bukhari: Beliau sendiri mengarang beberapa buku dan memuatkan hadith-hadith dhaif di dalam buku-buku tersebut seperti kitab al-Adab al-Mufrad.

• Abu Syamah al-Maqdisi: Beliau telahpun mengarang satu buku yang berjudul al-Bahis `Ala Inkar al-Bida' Wa al-Hawadith (الباعث على إنكار البدع والحوادث) telah menggunakan hadith dhaif ketika berhujah.

• Ibnu Hazm al-Zohiri: Kitab al-Muhalla yang dikarang oleh beliau penuh dengan hadith-hadith yang dhaif.

• Abu Bakr bin al-Arabi: Beliau telah berhujah dengan menggunakan hadith dhaif di dalam kitab beliau Ahkam al-Qur`an.

5) Golongan Wahabi berhujah bahawa al-Imam Muslim menyatakan di dalam muqaddimah kitab beliau iaitu Sahih Muslim bahawa hadith dhaif tidak boleh dipakai sama sekali.

Dr. Ali Jum`ah mempersoalkan golongan Salafi/Wahabi mengapa mereka hanya berpegang dengan kalam al-Imam Muslim ini sahaja dan menolak pandangan ribuan para ulama yang lain yang membenarkan berhujah dengan hadith Dhaif. Bagi Dr. Ali Jum`ah, ini tidak lain dan tidak bukan kerana pandangan al-Imam Muslim bertepatan dengan hawa nafsu mereka.

6) Hadith Dhaif adalah diperlukan dalam beberapa perkara yang berkaitan dengan akhlak dan peribadi yang mulia. Contohnya kita memerlukan:

• Hadith dhaif yang berbunyi:


yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mencintai seseorang di kalangan kamu apabila dia bekerja, dia bekerja dengan penuh tekun.

• Hadith dhaif yang berbunyi:


yang bermaksud: Bersihkanlah halaman rumah kamu semua.

7) Antara contoh hadith dhaif yang digunakan sebagai dalil dalam hukum sesuatu perbuatan adalah seperti:


yang bermaksud: Rasulullah Sallalahu `Alaihi Wasallam melarang daripada menjual hutang dengan bayaran hutang.


yang bermaksud: Setiap hutang yang menyebabkan terhasilnya sebarang keuntungan, maka ia adalah riba

8) Orang yang cuba untuk menyebarkan fahaman bahawa hadith dhaif adalah ditolak sama sekali adalah orang yang jahil.

9) Syeikh Albani telah melakukan pelbagai kesilapan dalam manhaj hadith. Berikut adalah kesilapan beliau:

• 86% daripada pandangan Syeikh Albani terhadap martabat hadith-hadith Rasulullah adalah berubah sama sekali daripada pandanganya yang awal. Sekejap beliau mengatakan bahawa hadith tertentu adalah dhaif kemudia beliau menyatakan bahawa hadith tersebut adalah sahih. Ada hadith yang pada awalnya beliau hukumkan sebagai hadith sahih namun akhirnya beliau menyatakan hadith tersebut adalah dhaif.

• Syeikh Albani telah mempertikaikan al-Bayhaqi, al-Tirmidzi, Ibn Majah, al-Bukhari dan al-Muslim. Namun akhirnya beliau sedar bahawa beliau telah tersilap.

• Syeikh Albani menyatakan bahawa hadith yang diriwayatkan oleh Abu al-Zubayr al-Makki daripada Sayyidina Jabir adalah hadith yang dhaif kerana Abu al-Zubayr adalah seorang Mudallis. Apabila orang mempertikaikan kenyataan Syeikh Albani dengan menyatakan hadith yang diriwayatkan oleh Abu al-Zubayr al-Makki daripada Sayyidina Jabir ada di dalam Sohih Muslim, Syeikh Albani menyatakan bahawa beliau tidak kisah dengan Rijal (orang-orang tertentu). Akan tetapi beliau menghukum pula hadith tersebut sebagai hadith yang sahih.

10) Al-Imam al-`Iraqi tidak langsung menyatakan bahawa kitab al-Ihya' yang dikarang oleh al-Imam al-Ghazali adalah haram. (Kitab Ihya' Ulum al-Din mengandungi hadith-hadith yang dhaif). Al-Imam al-`Iraqi hanya menyatakan darjat hadith-hadith di dalam Ihya' Ulum al-Din dengan menyatakan bahawa hadith ini Sahih, hadith ini Hasan, hadith ini Dhaif, hadith ini Kadzib. Al-Imam al-`Iraqi menamakan buku beliau ini dengan nama:


Al-Imam al-`Iraqi sama sekali tidak menyatakan kepada kita bahawa Jangan Membaca Kitab Ihya' Ulum al-Din.


******

Inilah beberapa kesimpulan yang saya dapat petik daripada kalam tokoh ulama al-Azhar yang disegani ini. Semoga bermanfaat buat seluruh pembaca.

Sunday, May 10, 2009

DEBAT AGAMA - Satu Cara Terbaik Buat PAS?


Setiap kali saya berangan-angan untuk membuat draf atau kajian ringkas berkenaan dengan cabaran pelaksanaan Islam di Malaysia, satu isu yang sering bermain di benak saya adalah bangkangan non Muslim terhadap pelaksanaan Islam sebagai dasar kerajaan yang bakal tiba. Mungkin kalau Islam dapat dipraktikkan di Mesir, isu bangkangan non Muslim mungkin tidak akan memberikan kesan yang banyak. Ini berikutan dengan bilangan masyarakat non Muslim di Mesir yang beragama Kristian hanya sekitar 10% sahaja (kalau saya tidak silap).

Namun situasi ini berbeza di Malaysia. Suara non Muslim yang sebahagian mereka tidak bersetuju dengan hadaf dan matlamat PAS untuk mentadbir Malaysia dengan aturan Islam ditambah pula dengan semangat nasionalisme sebahagian masyarakat Melayu yang ditipu oleh UMNO sehingga mereka tidak berkenan untuk menjadikan Islam sebagai pemutus dasar kerajaan menyebabkan bertambahnya peratus bangkangan terhadap hasrat murni PAS yang ingin merajakan Islam.

Kalau antara masalah pelaksanaan Islam di Malaysia adalah bangkangan non Muslim, mengapa secara ideanya kita tidak mengislamkan mereka? Secara idea yang mudah, sekiranya bilangan non Muslim dapat dikurangkan dengan pengislaman mereka, kita sudah semakin senang untuk menjayakan hasrat murni PAS untuk memahkotakan Islam di singgahsananya.

Terlalu idea? Saya hanya ingin mengeluarkan apa yang terpendam dalam benak saya.

Mungkin kita terpaksa menerima hakikat bahawa proses untuk memberikan penerangan kepada non Muslim terhadap Islam adalah kurang. Memang ada tetapi tidak terlalu memberangsangkan. Akhirnya peratus ke arah non Muslim di Malaysia berjumlah 50% daripada seluruh penduduk Malaysia adalah terlalu hampir. (Saya tidak tahu sekiranya hari ini peratus non Muslim sudah berjumlah 50%).

Bagi saya, golongan agamawan khususnya mesti mencuba satu proses yang boleh membawa kepada kesedaran terhadap Islam. Proses yang saya maksudkan adalah PERDEBATAN antara agama-agama di Malaysia secara akademik.

Saya yakin, dengan kebenaran yang dicanang dan didasari oleh Islam, Islam akan memenangi perdebatan tersebut kerana Islam adalah agama kebenaran, bukannya agama rahsia seperti yang berlaku dalam agama Kristian.

Mungkin juga satu cadangan yang molek sekiranya mahasiswa Islam mula dari sekarang untuk mengkaji berkenaan agama Kristian, Budha dan Hindu agar sekiranya ruang untuk perdebatan antara agama dapat dilaksanakan di Malaysia pada masa hadapan, kita ketika itu memang sangat sudah bersedia dan bukannya baru hendak terhegeh-hegeh membuka lembaran buku untuk mencari hujah dalam mempertahankan kebenaran.

Kebenaran adalah segala-galanya. Seluruh individu tidak akan rela untuk membiarkan manusia dihukum dengan kebatilan dan kesesatan. Cumanya setiap agama mendakwa bahawa mereka adalah kebenaran.

Sekiranya perdebatan ini dibuat dan Islam menjuarai kebenaran, maka non Muslim perlu menerima bahawa Islam perlu untuk menjadi pemutus MELAINKAN mereka dapat membuktikan bahawa kebenaran itu bukan pada ISLAM.

Pastinya mereka tidak akan dapat untuk menghalang hukuman riddah contohnya yang dikenakan kepada Muslim yang memeluk Kristian, Budha ataupun Hindu kerana seluruh individu tidak akan rela untuk membiarkan manusia dihukum dengan kebatilan dan kesesatan dan mereka tidak dapat untuk menolak bahawa kebenaran adalah bersama Islam.

Adakah ini satu idea yang baik? Saya budak mentah dalam perjuangan Islam.

Bid`ah-Bid`ah-Wahabi-Wahabi



Saya tak gemar sangat nak menumpukan tajuk ini. Tapi seakan-akan menjadi satu kefarduan semasa untuk menjelaskan kesilapan beberapa pihak dalam memahami disiplin ilmu Usul fiqh terhadap hukum-hakam fiqh. Ada orang membincangkan kesilapan golongan wahabi atau salafi dengan meneliti masalah-masalah fiqh yang ditimbulkan oleh golongan ini. Saya pula ingin mengajak para pembaca memahami metod ilmu usul fiqh secara ringkas berkenaan dengan manhaj ilmu Usul Fiqh berkenaan dengan masalah hukum-hakam.

Bolehkah kita terus merujuk al-Quran dan al-Hadith untuk mencari hukum sesuatu perbuatan. Adakah bila Rasulullah meninggalkan sesuatu perbuatan, maka ini adalah bukti bahawa perbuatan itu adalah haram dan bid`ah.

Saya menyedari tulisan ini bukanlah secara panjang lebar. Semoga dapat menjadi satu batu loncatan untuk para pembaca memahami manhaj dan metod ilmu Usul Fiqh di dalam memahami konsep ijtihad.

Moga bermanfaat.

http://hairulnizammathusain.blogspot.com/2008/05/kenapa-terlalu-mudah-membidahkan-amalan.html

Saturday, May 9, 2009

Membaca Sadaqallahul `Azim Selepas Membaca Al-Quran Adalah Bid`ah


Dulu saya pernah membaca al-Quran di dalam dewan kuliah di Tanta. Selepas selesai membaca, saya terus menyudahkan bacaan saya dengan Sadaqallahul Azim. Seorang teman warga Arab Mesir terus menegur saya dengan menyatakan "Membaca Sadaqallahul `azim adalah bid`ah kerana Rasulullah tidak melakukannya".

Ini adalah satu contoh situasi yang memperlihatkan kepada kita manusia-manusia mujtahid jadi-jadian. Mereka cukup mudah untuk berlagak bak seorang faqih dan begitu cepat menyatakan bahawa ini adalah bid`ah, haram dan sebagainya.

Dalam tiga empat hari lepas, kami sama-sama membaca surah Ali Imran di hadapan Syeikh Yusri. Bacaan kami akhirnya sampai pada ayat 95 surah berkenaan yang berbunyi:



yang bermaksud: Katakanlah "Sodaqallah" (Benarlah apa yang difirmankan oleh Allah). Maka ikutilah kamu akan agama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid) dan bukanlah dia dari orang-orang musyrik.

Ketika mengulas ayat ini, Syeikh Yusri menjelaskan bahawa Allah memerintahkan kita untuk mengucapkan 'Sodaqallah'. Beliau bertanya kepada kami "Bilakah waktu yang paling sesuai untuk kita mengucapkan Sodaqallah? Selepas ayah kita selesai berucap, selepas Husni Mubarak selesai memberikan ucapan ataupun yang paling munasabah dan sesuai adalah selepas ayat-ayat Allah dibacakan?"

Beliau menyatakan: "Semestinya waktu yang paling sesuai untuk kita menyatakan Sodaqallah adalah selepas ayat-ayat al-Quran dibacakan".

Saya tersenyum sendirian apabila memikirkan kisah saya yang ditegur apabila mengungkapkan Sodaqallah seusai saya menyudahkan bacaan al-Quran al-Karim.

Rupa-rupanya bukan hanya ada harimau jadian, atau serigala jadian. Ada lagi satu: Mujtahid Jadian.

Ya Allah. Jadikan saya seorang mujtahid yang didasari dengan ilmu bukannya mujtahid jadian. Amin.

Wahabi Dan Sekularisme

Setiap zaman mempunyai pelbagai cabaran yang khusus. Contohnya satu ketika dahulu para ulama Islam berdepan dengan isu Khalq al-Quran (satu pandangan golongan Mu'tazilah yang menyatakan bahawa al-Quran itu makhluk). Hari ini pula umat Islam dilanda dengan pelbagai isu yang membingitkan pemikiran umat Islam. Bagi saya ada dua isu besar yang perlu diselesaikan oleh para mahasiswa pengajian Islam:

Pertama: Isu Wahabi Atau Salafi
Kedua: Isu Mendaulatkan Islam Dalam Negara

Bagi saya ini adalah dua isu utama yang mengakibatkan kekeliruan dalam pemikiran umat Islam.

Kalau isu Wahabi atau Salafi, golongan ini pada hakikatnya ingin mengajak para muslim untuk menilai kebenaran dengan menjadikan pandangan Ibn Taimiah dan Ibn Qayyim sebagai neraca. Sekiranya pandangan ulama Islam bertepatan dengan pandangan dua orang ini, maka pandangan mereka adalah benar. Sekiranya sebaliknya, pandangan para ulama lain akan dianggap sebagai pandangan yang bercanggah dengan Sunnah Rasulullah. Akhirnya wujudnya para mujtahid jadi-jadian hari ini yang mula mempertikaikan pandangan dan ijtihad ulama silam dengan alasan pandangan tersebut bercanggah dengan hadith sahih. Ini satu masalah pemikiran di dalam manhaj dan disiplin fiqh. Habis semua masalah dibid`ahkan dan jadilah orang-orang yang hanya mendengar hadith-hadith Rasulullah sebulan sekali atau setahun sekali berubah menjadi tok faqih yang mengharamkan yang ini dan mengharamkan yang itu.

Masalah kedua pula berkaitan dengan isu mendaulatkan Islam dalam kerajaan. Kalau di Malaysia khususnya, ajaran dan doktrin Sekularisme yang mendodoikan lagu pemisahan agama daripada kehidupan nampaknya sudah lapuk dan tidak laku. Rata-rata masyarakat Malaysia hasil daripada usaha para ulama di Malaysia telah sedar bahawa Islam tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan. Golongan sekularisme yang bersimbulkan UMNO dan Barisan Nasional sendiri akhir-akhir ini terpaksa menggunakan simbul Islam. Lalu wujudlah istilah Islam Hadhari yang dijangka akan berkubur tidak lama lagi memandangkan Imamnya sudah tidak lagi menjadi Perdana Menteri Malaysia.


***********

Ini adalah masalah besar yang dihadapi oleh umat Islam hari ini secara umum. Apa yang perlu kita buat?

Perkara-perkara yang di bawah adalah beberapa garis asas yang saya fikir perlu dihadamkan oleh para penuntut ilmu agama khususnya mahasiswa al-Azhar. Namun ini tidaklah bermakna mahasiswa dalam bidang lain tidak boleh menguasainya. Sekurang-kurangnya masyarakat Islam secara umum perlu mengetahui perkara-perkara berikut secara kasar.

Pertama: Menguasai ilmu usul fiqh dengan baik. Dengan ilmu ini, seseorang itu akan mengetahui metod seseorang fuqaha dalam memutuskan sesuatu hukum. Apabila ilmu ini dikuasai, seseorang itu akan merasa malu untuk mengatakan "perbuatan ini adalah bid`ah kerana Rasulullah tidak melakukannya"

Kedua: Mendalami secara dalam beberapa isu fiqh yang diperbesar-besarkan oleh golongan wahabi atau salafi. Contohnya seperti isu sambutan maulid al-Rasul, isu menziarahi maqam Rasulullah, isu tawassul dengan para nabi dan para wali Allah, isu tabarruk dan pelbagai isu yang telah lama selesai tetapi dibangkitkan kembali oleh golongan ini. Mungkin para pembaca akan berpandangan bahawa cadangan kedua ini agak membuang masa. Namun saya berpandangan bahawa golongan al-Azhar perlu menguasainya kerana tanpa penelitian yang teliti dan dalam berkenaan isu ini, masyarakat akan dipupuk terus untuk mempertikaikan ijtihad para ulama silam sedangkan mereka tidak mengetahui konsep ijtihad di dalam Islam.

Ketiga: Para mahasiswa al-Azhar khususnya perlu untuk mendalami secara masak isu ayat-ayat mutasyabihat. Ini kerana golongan wahabi atau salafi sebahagiannya membawa fikrah-fikrah yang pelik sehingga akhirnya membawa kepada mentajsimkan Allah (menyatakan sama ada secara jelas atau kiasan bahawa Allah Taala adalah mempunyai tubuh badan dan anggota), menyatakan bahawa Allah Taala bertempat dan lain-lain isu lagi.

Keempat: Mahasiswa Islam perlu untuk mempersiapkan diri dengan cadangan dan penyelesaian yang membabitkan isu pelaksanaan Islam. Kita mahu dianugerahkan nikmat memerintah Islam dalam keadaan kita bersedia. Persedian itu semestinya membabitkan pandangan-pandangan Islam terhadap isu-isu pemerintahan Islam berdasarkan realiti dan suasana hari ini. Jadikanlah peluang keberadaan kita di timur tengah dan tenaga-tenaga pakar para ulama al-Azhar sebagai pemangkin kepada kajian-kajian ilmiah dalam menghadapi kemenangan akan datang.

**********************

Sebenarnya, sekiranya para mahasiswa mendambakan kejatuhan UMNO dan kebangkitan Islam sebagai pemerintah mutlak, kita sewajibnya menyedari tugas kita selaku mahasiswa pengajian Islam. Bagi saya satu perkara yang sangat malang sekiranya kita begitu bersemangat untuk mendirikan khilafah Islam dan pemerintahan Islam di Malaysia sedangkan kitalah orang yang paling malas dalam mendalami ilmu.

Mahukan kemenangan PAS dan Islam di Malaysia? Sila bertalaqqi dan mendalami ilmu daripada para ulama al-Azhar. Sekiranya anda tetap tidur dan gembira dengan agenda dan aktiviti membuang masa, anda memang cakap banyak dan sengal.

Thursday, May 7, 2009

Mengaghut Bebeno Le UMNO Ni. Ate Kome Pikior Le Sendighi





Memang UMNO Dah Gila

Cara-Cara Untuk Menampar Isteri?

"Apa ni. Gila ker nak ajar orang tampar isteri". "Tak der benda lain ke nak ajar".

Ini mungkin antara persepsi awal para pembaca bila membaca tajuk post kali ini. Sebenarnya saya ingin berkongsi dengan para pembaca apa yang saya timba daripada guru Fiqh al-Syafi`e dan Usul Fiqh saya, Fadhilat al-Syaikh Sayyid Syaltut di Dar al-Ifta' al-Misriyyah (Jabatan Fatwa Kerajaan Mesir) pagi tadi. Hampir 6 tahun saya mendamba ilmu dari sang guru yang cukup ikhlas ini tanpa sesenpun beliau minta dari saya.

Boleh ke menampar isteri?

*********

Pagi tadi selepas habis kelas dengan Syeikh Yusri al-Hasani, saya dan saudara Zahran terus ke Dar al-Ifta' al-Misriyyah untuk bertemu dengan Syeikh Sayyid Syaltut dan bertalaqqi kitab Ghayat al-Bayan yang merupakan salah satu karangan dalam fiqh mazhab al-Imam al-Syafi`i.



Tajuk yang dibincangkan seminggu ini adalah Bab al-Qasm Wa al-Nusyuz (Bab Pembahagian Hari Untuk Para Isteri Dan Nusyuz).

Hari ini kami membincangkan perihal pandangan Islam terhadap tindakan memukul isteri.

Di dalam kitab Ghayat al-Bayan yang ditulis oleh Syamsuddin al-Ramli (anak kepada Syihabuddin al-Ramli), beliau menyatakan bahawa seseorang isteri sama sekali tidak boleh dipukul dan disakiti melainkan apabila si isteri berlaku nusyuz (ingkar kepada arahan si suami)

Nusyuz di dalam fiqh mazhab al-Syafi`e hanya berlaku apabila si isteri melakukan dua perkara:

1) Keluar rumah tanpa izin si suami

2) Tidak ingin melakukan hubungan kelamin sedangkan si isteri tidak ada mempunyai sebarang keuzuran.

Ini bermakna apabila si isteri memukul si suami, bermasam muka dengannya, mencacinya dan sebagainya, wanita ini tidak dinamakan sebagai wanita yang nusyuz sekalipun dia berdosa kepada Allah Taala.


Apa Akan Berlaku Apabila Seseorang Isteri Menjadi Nusyuz?

Apabila si isteri telah melakukan salah satu atau kedua-dua perkara di atas, dia telah menjadi nusyuz lalu si suami berhak (bukan wajib) melakukan perkara-perkara di bawah:

1) Si suami dibenarkan oleh Islam untuk tidak bermalam di rumah isteri tersebut sekiranya si suami berpoligami

2) Si suami boleh untuk tidak memberikan nafkah kepada si isteri sehinggalah si isteri bertaubat dan tidak mengulangi 2 kesalahan tersebut

3) Si suami berhak untuk mengasingkan diri daripada tidur bersama dengan si isteri.

4) Suami juga boleh memukul si isteri.

****************

Saya ingin menarik perhatian pembaca kepada perkara keempat iaitu MEMUKUL SI ISTERI.

Berikut adalah beberapa kesimpulan daripada kitab Ghayat al-Bayan dan huraian daripada Fadhilat al-Syaikh Sayyid Syaltut al-Syafi`e berkenaan tajuk ini:

1) Si suami boleh memukul si isteri sekiranya wujud syarat-syarat berikut:

* si suami merasai dengan satu sangkaan yang kuat (dzan) bahawa si isteri akan berubah dan bertaubat daripada nusyuznya sekiranya dia dipukul. Sekiranya si suami menyedari dengan sangkaan yang kuat bahawa pukulan terhadap isterinya tidak akan menyebabkan si isteri kembali insaf, si suami DIHARAMKAN daripada memukul isteri yang nusyuz ini

* si suami DIHARAMKAN daripada memukul si isteri di wajah si isteri. Jelas sekali perbuatan menampar isteri adalah diHARAMKAN oleh Islam

* si suami tidak boleh memukul si isteri dengan pukulan yang mengakibatkan kesan seperti lebam, luka, patah dan sebagainya. Ini kerana tujuan Islam membenarkan si suami memukul isterinya adalah untuk mendidik bukannya untuk mencederakan ataupun membalas dendam dan melepaskan geram.

2) Sekiranya berlaku sebarang kecederaan pada tubuh si isteri hasil daripada pukulan suami, suami akan dihukum oleh Qadhi (pihak pemerintah) atas kecuaiannya dalam menggunakan pukulan terhadap si isteri.

3) Sekalipun Islam membenarkan si suami untuk menggunakan pukulan bagi mendidik si isteri, namun tindakan yang paling baik adalah TIDAK MEMUKUL ISTERI SAMA SEKALI. Ini adalah kerana Rasulullah Sallalahu `Alayhi Wa Alihi Wasallam sama sekali tidak pernah memukul isteri-isteri baginda. (Selawat dan Salam serta kerinduan buat manusia agung ini)

4) Sekiranya si isteri tidaklah menjadi nusyuz (dia tidak melakukan dua perkara di atas)tetapi dia sering menyakiti hati suaminya sama ada seperti memukul si suami(seperti yang berlaku di Mesir), bermasam muka dengan suaminya, sering mencaci dan memalukannya, maka dalam keadaan ini si suami DIHARAMKAN daripada memukul si isteri. Hak memukul hanya apabila si isteri melakukan salah satu atau kedua-dua perbuatan di atas. Si suami hanya perlu menasihati si isteri agar takutkan azab Allah kerana tindakannya yang mengguris hati si suami. Selepas itu suami hanya ada dua pilihan sekiranya si isteri tetap berdegil dan meneruskan tindakannya yang mengguris hati suami; sama ada si suami terus bersabar menerima ujian isteri yang berdosa ini atau si suami menceraikannya demi untuk kebaikan kedua-dua belah pihak.

******

Maha Suci Allah yang menurunkan Islam sebagai Rahmat Buat Seluruh Alam. Begitu sekali Islam menghormati wanita. Isteri adalah amanah, bukannya timpat singgahan amarah. Si isteri adalah tempat menghibur si suami. Maka kerana si isteri adalah lemah fizikalnya, Allah menjadikan suami sebagai dahan tempat dia bergantung.

Kalaulah para muslim menghayati keindahan ini... Kalaulah non muslim terdetik hatinya apabila melihat betapa agungnya Islam kami ini.. Kalaulah....Kalaulah...