Saturday, May 9, 2009

Wahabi Dan Sekularisme

Setiap zaman mempunyai pelbagai cabaran yang khusus. Contohnya satu ketika dahulu para ulama Islam berdepan dengan isu Khalq al-Quran (satu pandangan golongan Mu'tazilah yang menyatakan bahawa al-Quran itu makhluk). Hari ini pula umat Islam dilanda dengan pelbagai isu yang membingitkan pemikiran umat Islam. Bagi saya ada dua isu besar yang perlu diselesaikan oleh para mahasiswa pengajian Islam:

Pertama: Isu Wahabi Atau Salafi
Kedua: Isu Mendaulatkan Islam Dalam Negara

Bagi saya ini adalah dua isu utama yang mengakibatkan kekeliruan dalam pemikiran umat Islam.

Kalau isu Wahabi atau Salafi, golongan ini pada hakikatnya ingin mengajak para muslim untuk menilai kebenaran dengan menjadikan pandangan Ibn Taimiah dan Ibn Qayyim sebagai neraca. Sekiranya pandangan ulama Islam bertepatan dengan pandangan dua orang ini, maka pandangan mereka adalah benar. Sekiranya sebaliknya, pandangan para ulama lain akan dianggap sebagai pandangan yang bercanggah dengan Sunnah Rasulullah. Akhirnya wujudnya para mujtahid jadi-jadian hari ini yang mula mempertikaikan pandangan dan ijtihad ulama silam dengan alasan pandangan tersebut bercanggah dengan hadith sahih. Ini satu masalah pemikiran di dalam manhaj dan disiplin fiqh. Habis semua masalah dibid`ahkan dan jadilah orang-orang yang hanya mendengar hadith-hadith Rasulullah sebulan sekali atau setahun sekali berubah menjadi tok faqih yang mengharamkan yang ini dan mengharamkan yang itu.

Masalah kedua pula berkaitan dengan isu mendaulatkan Islam dalam kerajaan. Kalau di Malaysia khususnya, ajaran dan doktrin Sekularisme yang mendodoikan lagu pemisahan agama daripada kehidupan nampaknya sudah lapuk dan tidak laku. Rata-rata masyarakat Malaysia hasil daripada usaha para ulama di Malaysia telah sedar bahawa Islam tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan. Golongan sekularisme yang bersimbulkan UMNO dan Barisan Nasional sendiri akhir-akhir ini terpaksa menggunakan simbul Islam. Lalu wujudlah istilah Islam Hadhari yang dijangka akan berkubur tidak lama lagi memandangkan Imamnya sudah tidak lagi menjadi Perdana Menteri Malaysia.


***********

Ini adalah masalah besar yang dihadapi oleh umat Islam hari ini secara umum. Apa yang perlu kita buat?

Perkara-perkara yang di bawah adalah beberapa garis asas yang saya fikir perlu dihadamkan oleh para penuntut ilmu agama khususnya mahasiswa al-Azhar. Namun ini tidaklah bermakna mahasiswa dalam bidang lain tidak boleh menguasainya. Sekurang-kurangnya masyarakat Islam secara umum perlu mengetahui perkara-perkara berikut secara kasar.

Pertama: Menguasai ilmu usul fiqh dengan baik. Dengan ilmu ini, seseorang itu akan mengetahui metod seseorang fuqaha dalam memutuskan sesuatu hukum. Apabila ilmu ini dikuasai, seseorang itu akan merasa malu untuk mengatakan "perbuatan ini adalah bid`ah kerana Rasulullah tidak melakukannya"

Kedua: Mendalami secara dalam beberapa isu fiqh yang diperbesar-besarkan oleh golongan wahabi atau salafi. Contohnya seperti isu sambutan maulid al-Rasul, isu menziarahi maqam Rasulullah, isu tawassul dengan para nabi dan para wali Allah, isu tabarruk dan pelbagai isu yang telah lama selesai tetapi dibangkitkan kembali oleh golongan ini. Mungkin para pembaca akan berpandangan bahawa cadangan kedua ini agak membuang masa. Namun saya berpandangan bahawa golongan al-Azhar perlu menguasainya kerana tanpa penelitian yang teliti dan dalam berkenaan isu ini, masyarakat akan dipupuk terus untuk mempertikaikan ijtihad para ulama silam sedangkan mereka tidak mengetahui konsep ijtihad di dalam Islam.

Ketiga: Para mahasiswa al-Azhar khususnya perlu untuk mendalami secara masak isu ayat-ayat mutasyabihat. Ini kerana golongan wahabi atau salafi sebahagiannya membawa fikrah-fikrah yang pelik sehingga akhirnya membawa kepada mentajsimkan Allah (menyatakan sama ada secara jelas atau kiasan bahawa Allah Taala adalah mempunyai tubuh badan dan anggota), menyatakan bahawa Allah Taala bertempat dan lain-lain isu lagi.

Keempat: Mahasiswa Islam perlu untuk mempersiapkan diri dengan cadangan dan penyelesaian yang membabitkan isu pelaksanaan Islam. Kita mahu dianugerahkan nikmat memerintah Islam dalam keadaan kita bersedia. Persedian itu semestinya membabitkan pandangan-pandangan Islam terhadap isu-isu pemerintahan Islam berdasarkan realiti dan suasana hari ini. Jadikanlah peluang keberadaan kita di timur tengah dan tenaga-tenaga pakar para ulama al-Azhar sebagai pemangkin kepada kajian-kajian ilmiah dalam menghadapi kemenangan akan datang.

**********************

Sebenarnya, sekiranya para mahasiswa mendambakan kejatuhan UMNO dan kebangkitan Islam sebagai pemerintah mutlak, kita sewajibnya menyedari tugas kita selaku mahasiswa pengajian Islam. Bagi saya satu perkara yang sangat malang sekiranya kita begitu bersemangat untuk mendirikan khilafah Islam dan pemerintahan Islam di Malaysia sedangkan kitalah orang yang paling malas dalam mendalami ilmu.

Mahukan kemenangan PAS dan Islam di Malaysia? Sila bertalaqqi dan mendalami ilmu daripada para ulama al-Azhar. Sekiranya anda tetap tidur dan gembira dengan agenda dan aktiviti membuang masa, anda memang cakap banyak dan sengal.

8 comments:

Amermeftah said...

Wahabi dan Sekularisme macam dua benda yang sama. Memisahkan agama dari kehidupan bila hal-hal agam gemar mengatakan bidaah dan hal-hal berkaitan dunia gemar mengatakan maslahah.

Membenarkan siapa saja menjadi mujtahid, tafsir sendiri ikut nas kering seolah-olah agama menjadi sesuatu yang personal, isu peribadi, antara aku dgn tuhan.

Bohemian Virtuoso. said...

Hi amermeftah.
Lantang nampak...
Semoga berani bdepan jugak!

Kalau da buat fitnah tu, sile berani tanggung hari akhirat nanti.

Yg aku pnah blajar, kuliah hari jumaat, Masjid Rusila, Tok Guru Haji Hadi sendiri yg bgtau, wahabi tak sesat! Die pun pnah blajar dgn ulama wahabi. Samela dgn Tok Guru Nik Aziz.

Semoga amer akan terus berserban tebal seperti puak Qadiani.

Wahabi,salafi,kaum muda&gerakan tajdid lah yg menggalakkan gol. profesional mencukupkan ilmu agama supaya bleh berbakti utk agama jga.

Moga Amermeftah akan terus sekular, sbb die budak medic, die anti wahabi = die takleh timer gol. profesional blajar agama, die takleh timer gol. profesiona berdiskusi dlm hal agama.

Yg die boleh terime, menguap sampai meleleh air liur time bertalaqi sambel menghangguk2 kata2 syeikh satu perspektif.

Jgn maen api.

alqasam said...
This comment has been removed by the author.
alqasam said...

Kalau nak jelas proses perbincangan wahabi, salafi, alamadzhabiaah kena banyak-banyak baca kitab dan bertalaqqi dengan Ulama' muktabar. Belajar adab dan akhlak. Syeikh Sayyid Ramadhan Butti, Dr Ali Juma'ah, Syeikhul Hadith yang begitu ramai semua dah bincang bab ni i.e Syeikh Siddiq AlGhumari.

Bahkan guru Hadith MAZA sendiri di IIUM adalah guru Hadith saya dan kami pernah berbincang isu ini.

Mengambil atau cenderung apa yang Tok Guru Hadi etc kata, terpulang, namun masih ramai ulama' muktabar yang bincang isu ini. Bincang di fikrah dot net etc, tidak cukup.

Mengaji pun bukan sekejap untuk faham dan hadam isu ini. Sepuluh tahun belum tentu.

Manhaj mengaji itu yang paling penting. Agar dapat memahami agama dengan disiplin. Agama berdiri dengan dalil dan hujjah dan disiplin ilmu dalam memahami nas syara' juga untuk yang membina kebenaran dan akhlak.

Aduhai. Bawa banyak bersabar nah.

Bukan pengkhususan, professional etc yang penting. Semua pun boleh ngaji agama. Tapi perlu ikut manhaj ilmu i.e belajar usul feqh, ulum dan usul ahadith etc. Belajar disiplin ilmu agar dapat menguruskan pertembungan dalil dengan mengikut salaf dan tepat.

Kalau tak nak terima ustaz Hairul Nizam yang dah lama dalam bidang ini dan cuba yang lain sikit, cuba baca hembusan dot blogspot dot com. Saudara Tawel bukan ngaji pengkhususan agama, tetapi ada cerita banyak juga tentang ini. Atau saifulislam dot com dalam banyak entri beliau. Mungkin saudara dah tahu, namun berakhlaklah dalam kata-kata anda.

Wan Saifullah said...

Salam Saudara Bohemian;

Saya bukan ingin menambah suhu di sini, tetapi sekadar ingin menyapa. Saya tidak peduli samada saudara ambil medik or dirasah tetapi saya menaruh tanggapan bahawa cara saudara menulis kurang beradab.

Sekadar teguran. Apabila berbahasa, yang cantik dipandang adalah sopan santunnya. Jika begitu, isi tulisan bagi setiap pandangan mahupun idea walaupun baik tetapi framework ataupun cara menulis yang tidak berdisiplin akan merendahkan mutu karya.

Saya tahu saudara berminat dengan ilmu hadis. Wahabi, gelaran yang selalu diuar-uarkan. Saya tidak menyalahkan jalan yang saudara pilih, bahkan saya mengakui kedudukan ahli hadis. Tetapi seperti yang disebut, mereka ingin terjun dalam dunia hadis tetapi tidak melalui manhaj yang betul dalam disiplin ilmu akan membobrokkan lagi keadaan. Mereka inilah yang menghitamkan wajah putih salafiyyah.

Justeru, saya sarankan supaya saudara menulis tentang medik ataupun sesuatu yang sihat dan bermanfaat untuk dikongsi dengan orang lain. Bukan masuk mencabar di dalam blog orang lain yang memuatkan perbincangan ilmiah untuk dibahas.

Tulislah artikel yang separa ataupun ilmiah. Ada juga baiknya.
Setiap apa yang kita tulis sebenarnya sama dengan setiap apa yang kita katakan. Bahkan dengan kata lain, semua orang setuju bila dikatakan bahawa setiap perbuatan akan dipersoalkan kelak.

So, jangan main serbu je bila nak bersuara. Berdisiplin dan beradab adalah prinsip saya dalam menulis. Jadi saya sangat anti dengan golongan yang menjadikan bahasa sebagai kaca yang menyebabkan ramai orang terluka bila membacanya.

Hope orang lain pun sama…Sikapi setiap perkara secara ilmiah dan penuh etika. Kerana ianya akan dipertanggungjawabkan kelak di depan Penguasa.

Salam Ukhuwwah.

Asqalani said...

lawak rasanya bila masuk kandang harimau mengaum jugak...

lagi lawak kalau harimau A mengaum dikatakan tak berakhlak...tapi yang harimau B mengaum dikatakan baik..berilmu dll...

sekadar perkongsian...

oppss satu lagi...SaifulIslam.com motivator al-nida' dari fikrah perkasa jugak berakidah Salaf...wallahua'lam

alqasam said...

"lawak rasanya bila masuk kandang harimau mengaum jugak...

lagi lawak kalau harimau A mengaum dikatakan tak berakhlak...tapi yang harimau B mengaum dikatakan baik..berilmu dll...

sekadar perkongsian...

oppss satu lagi...SaifulIslam.com motivator al-nida' dari fikrah perkasa jugak berakidah Salaf...wallahua'lam"

qoute saudara Asqalani.

Semoga Allah merahmati kita semua. Afwan ana qoute komentar enta di blog Us Hairul Nizam.

Siapakah yang tidak/kurang beradab atau berakhlak sebenarnya?Pihak manapun andai tidak beradab atau berakhlak tetapi dikira su'ul adab. Namun kebiasaanya dapat dilihat. Tetapi bukan itu isunya disini. Semoga Allah mengampuni silap salah saudara-saudara kita besar atau kecil.

Tentang saifulislam itu bermanhaj Salafi dan beraqidah Salafi, ana tahu dan ramai tahu. Namun berapa ramaikah yang berakhlak, tahu awlawiyyat, uslub dakwah dan mahal khilaf seperti beliau?

An-Nida', ana pun pernah join juga, malah juga terkesan dan sangat cinta pada manhaj yang dikatakan Salafi ini(sedangkan Ibn Taimiyyah pada kurun Salaf ke?) Imam Syafie etc bukan pada marhalah Salaf? Malah mereka lebih Salaf daripada Ibnu Taimiyah. Imam Syafie: lahir sekitar 160 Hijarah sedang Ibnu Taimiyah sekitar 661Hijrah.

Jika dikatakan Ibnu Taimiyah yang membersihkan segala bidaah dan mengembalikan kembali manhaj Salaf, apakah Ulama-ulama sebelum itu tidak dikira Salaf?

Terlalu banyak perbincangan dan penolakan Ulama Salaf kepada Ibnu Taimiyah kerana beliau menyentuh soal aqidah. Namun kehebatan dan kelebihan beliau dalam bidang ilmu yang lain tidak dapat dinafikan. Allahua'lam.

Untuk memahami masalah ini, perlu sangat belajar dengan dalam, teliti bukan satu pihak sahaja. Ana sudah belajar, menadah kitab, berkawan dengan sekian mereka yang mendakwa dikalangan pemegang manhaj Salafi (apa yang mendakwa mereka mengaku sedemikian?) dan percayalah teruslah mencari kebenaran dengan tidak terikat dengan hanya ijtihad dan Aqwal dari mereka.


p/s: Segala puji bagi Allah. Lemah dari ana juga. Tidak berniat memanjangkan/berdebat. Kerana hati yang selalu dahagakan perdebatan membawa kepada kerasnya hati dan payah menemui kebenaran(untuk diri ana sendiri)

Ana rasa saifulislam banyak menulis tentang proses memahami akar masalah ini atau paling tidak pun jalan untuk mendepani masalah ini. Allahua'lam.

Colgate said...

salafi = salafussoleh ke??

ana slalu dgr org dok sebut2 wahabi. tp bingung..apa tu Wahabi?? kumpulan ke?? atau pemikiran?? atau tuduhan kpd mereka yg memperjuangkan sunnah?? confuse.. blh x sesiapa tlg terangkan!!..ana dah tgk kat wikipedia..(malas nak cari kat kitab psl lemah arab). tp masih lg bingung..

lg membingungkan..kenapa Yusuf al-Qardawi dikatakan BAPA WAHABI?? adakah sebab beliau memerangi bid'ah? kenapa Hassan al-Banna juga dikatakan Wahabi?? adakah sebab beliau menjauhi tawassul??

menghairankan..apa itu wahabi sebenarnya..tlg jelaskan!