Sunday, May 3, 2009

Selsema Babi - Bicara Allah Buat Kita


Saya memang dah lama ingin paparkan kepada para pembaca isi khutbah Jumaat lepas (1.5.2009) yang disampaikan oleh Dr. Yusri al-Hasani di masjid beliau. Isinya sangat menarik. Cuma kerana masalah internet yang tak dapat berfungsi dan saya tidak berada di rumah menyebabkan hasrat ini tergendalah. Alhamdulillah saya berkesempatan hari ini setelah internet di rumah saya dapat diperbaiki. Sungguh. Pelajar hari ini memerlukan dua perkara; internet dan laptop agar pelajar miskin seperti saya dapat meneliti dan membelek buku-buku serta manuskrip ulama silam yang sekiranya ingin dibeli, entah bila saya akan mampu untuk beli.

Berikut adalah beberapa isi khutbah Fadhilat al-Syaikh Dr. Yusri al-Hasani Jumaat lepas:

Pertama: Allah Taala Sedang Berbicara Dengan Kita.

Semasa zaman para nabi dan para rasul, Allah berbicara dengan mereka yang mulia ini melalui perantaraan wahyu. Namun apabila Nabi dan Rasul terakhir, Sayyidina Muhammad kembali ke hadrat Allah Taala, maka wahyu sudah tidak lagi menjengah bumi. Namun Allah tetap terus berbicara dengan manusia melalui peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kita perlu memandang setiap musibah dan ujian yang berlaku sebagai satu bentuk ucapan dari Allah yang ingin menyampaikan sesuatu kepada kita.

Kedua: Penyakit Yang Belum Pernah Berlaku Sebelum Ini Apabila Muncul Pada Zaman Ini...

Rasululllah pernah menyatakan bahawa apabila manusia semakin menjauhi Allah Taala, maka Allah akan menimpa mereka dengan pelbagai wabak dan penyakit yang belum pernah ditimpa kepada orang-orang terdahulu. (Saya akan paparkan kepada saudara hadith-hadith tersebut sedikit masa lagi). Ini adalah bukti kebenaran Nabi Muhammad Sallallahu Alayhi Wasallam.

Ketiga: Bala Yang Berlaku Adalah Natijah Jauhnya Manusia Daripada Mengikut Perintah Allah.

Apabila kemusnahan dan musibah itu berlaku kepada tanaman, maka Allah ingin berbicara dan menyatakan kepada kita bahawa manusia tidak menunaikan hak Allah yang ada pada tanam-tanaman. Lalu Allah membinasakan tanaman agar manusia kembali sedar bahawa mereka tidak menunaikan hak mereka terhadap golongan fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan.

Apabila kemusnahan itu berlaku pada binatang ternakan, maka itu adalah tanda bahawa kewajipan yang berkaitan dengan binatang ternak tidak dilunaskan oleh manusia. Berapa ramai pengusaha jualan daging ayam tidak menunaikan zakat perniagaan. Akhirnya Allah ingin menarik kembali orang Islam daripada terus lalai dengan cara menurunkan selsema burung yang menyerang binatang-binatang ternakan agar orang yang berfikir dapat memahami bicara Allah.

Hari ini kita diserang dengan satu wabak baru iaitu selsema babi. Babi adalah binatang yang Allah haramkan orang-orang Islam memakannya. Bagaimana binatang yang diharamkan ini boleh diternak dan dibiakkan di dalam negara-negara umat Islam?!! Ketua Paderi Mesir; Baba Syanoda sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa agama Kristian turut mengharamkan penganutnya memakan babi sebagaimana yang termaktub di dalam Old Testament.

Akhirnya bagi menyedarkan orang-orang Islam bahawa mereka wajib melunaskan suruhan Allah yang berkenaan dengan babi, Allah menurunkan selsema babi sebagai amaran dari Allah.

Keempat: Apabila Seseorang Muslim Itu Menjauhi Allah, Dia Akan Diuji Oleh Allah.

Ujian yang Allah timpakan kepadanya hanyalah agar dia kembali berfikir dan bertafakkur dalam menginsafi diri atas maksiat yang dilakukannya. Maka dia akan menyatakan dari jauh hati kecilnya bahawa Allah menimpanya dengan pelbagai masalah dan musibah hanya semata-mata kerana ingin dia kembali pada Khaliqnya.

Suasana ini sangat berbeza dengan orang yang bukan Islam. Semakin mereka menjauhi Allah, mereka akan diluaskan dengan pintu nikmat dan kemewahan kerana kemewahan yang mereka kecapi hanyalah di dunia ini semata-mata. Selepas mereka menemui Allah, mereka akan menanggung kemurkaan Allah selama-lamanya. Azab dan siksa yang tidak akan berlalu akan terus dirasai oleh mereka disebabkan kekufuran mereka kepada Allah Rabbul Jalil.

Kelima: Penyakit Taun Yang Dahsyat

Berlaku pada zaman Mamalik di Mesir satu musibah yang cukup mengerikan yang menyerang Mesir ratusan tahun yang lampau. Mesir pernah dilanda dengan wabak taun yang telah membunuh 20% penduduk Mesir ketika itu. Sejarawan menyatakan bahawa wabak yang dahsyat ini telah menyebabkan berlakunya satu fenomena iaitu: harta seseorang yang baru meninggal dunia kerana diserang taun ini akan berpindah milik pada hari kematian tersebut kepada golongan yang ketujuh yang berhak menerima harta pusaka. Ini kerana seusai matinya seseorang itu, anak-anaknya akan turut mati dan seterusnya dan seterusnya sehingga harta pusaka akan terus beralih kepada pihak yang ketujuh disebabkan pihak yang pertama hingga pihak yang keenam turut meninggal dunia pada hari yang sama.

Sekiranya diteliti kepada suasana yang berlaku sebelum taun yang menggila ini menyerang Mesir, kita akan mendapati bahawa jenayah LIWAT adalah tersebar luas di kalangan pemerintah Mesir ketika itu (golongan Mamalik) sehingga setiap seorang di kalangan mereka memiliki seorang kekasih lelaki yang akan diliwatnya.

Allah yang Maha Adil dan Maha Penyanyang akhirnya membersihkan Mesir daripada kekotoran ini dengan mengutuskan wabak Taun untuk dijadikan pengajaran kepada umat-umat yang mendatang.

Keenam: Teruskan Amalan Baik Anda.

Menjadi satu fitrah dan Sunnatullah bahawa seseorang yang sudah biasa dan melazimi satu perbuatan baik tertentu apabila dia meninggalkan kelaziman tersebut, Allah akan memberikan kepada dia ujian dan musibah agar dia kembali memikirkan kesilapannya. Ujian yang diberikan ini hanyalah kerana Allah inginkan perbuatan baik dan soleh itu diteruskan.

Berlaku pada diri Dr. Yusri sendiri apabila seorang wanita Mesir dalam lingkungan umur 60 tahun datang menemui Dr. Yusri yang turut merupakan seorang pakar bedah. Wanita tersebut mengadu bahawa dia mengalami kesakitan yang amat sangat di bahagian perutnya. Dr. Yusri dan para doktor yang lain kebingungan apabila segala penelitian dan ujikaji kedoktoran yang telah dibuat tidak menatijahkan sebab penyakit tersebut. Punca kesakitan itu tidak berjaya ditemui namun si sakit tetap merasai kesakitan yang amat sangat.

Wanita itu akhirnya menceritakan kepada Dr. Yusri al-Hasani bahawa beliau mempunyai satu sikap yang baik iaitu menyembelih kambing setiap tahun dan menyedekahkan daging kambing tersebut kepada fakir miskin di kampungnya. Namun sudah dua tahun dia tidak menyembelih kambing untuk disedekahkan kepada fakir miskin.

Sebaik sahaja Dr. Yusri mendengar kisah wanita tua ini, beliau terus menyatakan di dalam hatinya bahawa inilah punca wanita ini diuji Allah.

Beliau terus meminta wanita ini menelefon keluarganya agar membeli seekor kambing, menyembelihnya dan menghadiahkan daging tersebut kepada fakir miskin sebagaimana kebiasaan wanita ini sebelum ini.

Subhanallah. Selepas dua hati daging kambing disedekahkan kepada fakir miskin, penyakit wanita ini hilang serta merta. Maha Suci Allah yang menurunkan penyakit dan Maha Suci Allah yang menyembuhkan penyakit.


***********************

Begitulah beberapa fakta yang sempat saya kutip daripada khutbah Jumaat yang disampaikan oleh guru kami, Fadhilat al-Syeikh Dr. Yusri al-Hasani. Semoga Allah memberkati beliau di dunia dan di akhirat dengan barakah datuk beliau yang teragung, Nabi Muhammad Sallallahu Alayhi Wa Alihi Wasallam.

3 comments:

AKMALHAMDY said...

Allah sedang berbicara dengan kamu Fahri..Allah mengajarmu tentang sabar, ikhlas!
(kata Pakcik IM kepada Fahri dalam penjara)

shiroi said...

Allah tidak sayang kita?
bukan begitu.
Allah tidak adil pada kita?
bukan begitu.
terkadang hanya otak kita yang berfikir, tidak hati, bukan begitu?

yasir said...

sheikh ustaz hairul nizam tu doktor pakar bedah?
menarik tu..