Saturday, May 31, 2008

Duhai Azhari! Tinggalkan Masa Bual Kosongmu

بسم الله الرحمن الرحيم


Semua insan inginkan kejayaan. Bagi pelajar, kejayaan yang diingin-inginkan adalah kejayaan dalam pelajaran sehingga melayakkan dirinya untuk menggenggam segulung ijazah. Namun sering ditimbulkan persoalan:

“Adakah pelajar-pelajar Al-Azhar di bumi Mesir ini benar-benar berusaha semaksimum mungkn dalam meraih erti satu kejayaan?”

Saya ingin membawa sidang pembaca kepada persoalan: “Apakah tujuan kita dalam menuntut ilmu sebenarnya?”

Mungkin soalan mudah ini boleh dijawab dengan enteng. Contohnya “Saya belajar kerana Allah….saya belajar untuk menjadi generasi yang boleh memberikan sumbangan kepada masyarakat…saya belajar bersungguh-sungguh supaya saya dapat pekerjaan yang baik dan selesa.”

Walaupun contoh-contoh jawapan yang saya utarakan tadi adalah cebisan jawapan yang sering didengari namun saya ingin menyuarakan pandangan saya iaitu:

Kita perlu belajar bersungguh-sungguh kerana tugas untuk menguasai ilmu-ilmu Islam secara masak dan pakar adalah satu perkara yang paling penting dalam memastikan perjalanan masyarakat dan negara berlandaskan acuan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Al-Rasul yang diterjemahkan dalam ilmu-ilmu Islam yang Maha Luas.

Kita kadang-kadang sedih apabila pelajar Al-Azhar khasnya tidak menjadikan budaya ilmu sebagai budaya harian. Budaya membaca, budaya ulat buku di mana sahaja, budaya bertalaqqi dengan para ulama Al-Azhar, budaya mengkaji dan seribu satu budaya ilmu seakan-akan tidak mendapat tempat di dalam hati sebahagian golongan Azhari malahan berkemungkinan seandainya ada di kalangan masyarakat Azhari yang cukup berhati-hati dengan masanya dalam memastikan kehidupan hariannya adalah untuk ilmu, mungkin mereka dianggap asing dan pelik.

Masih terngiang-ngiang di telinga saya satu jawapan yang menyentak hati sanubari saya apabila saya bertanya kepada seorang teman yang saya sayangi dan saya kagumi yang mengambil jurusan perubatan di perlembahan Nil ini.

“Mengapa teman-teman daripada jurusan perubatan kebanyakannya tidak tinggal bersama dengan pelajar-pelajar Al-Azhar?”

lantas beliau menjawab:

"Kebanyakan pelajar perubatan tidak sanggup untuk tinggal bersama dengan pelajar Al-Azhar kerana pelajar Al-Azhar selalunya menghabiskan masa mereka dengan berbual-bual kosong sehingga menyebabkan kami terpaksa melayan karenah mereka sedangkan kami terpaksa menumpukan pelajaran kami yang memerlukan study yang terlalu maksimum. Atas sebab itulah kebanyakan pelajar perubatan lebih gemar untuk tinggal sesama mereka bagi memastikan masa yang ada betul-betul diisi dengan agenda ilmu bagi meraih kejayaan dalam bidang perubatan”

Pedih sungguh jawapan yang diberikan. Kata pepatah “berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.” Saya terasa tercabar dengan jawapan yang diberikan. Saya rasa bertanggungjawab untuk mengeluarkan segelintir masyarakat Al-Azhar daripada kepompong budaya yang tidak memberikan faedah kepada Islam ini lantas saya teringat pesanan guru saya Dr. Salim Abu `Asi yang mengajar kami kitab “Qanun Al-Fikri Al-Islami” di masjid Al-Azhar:

Yang bermaksud: “Pelajar itu tidak menziarahi dan tidak diziarahi” sebagai satu kiasan betapa mahalnya nilai waktu bagi seorang penuntut ilmu.

Di dalam hati kecil saya, saya meluahkan perasaan sementelah mendengar jawapan yang menyedihkan jiwa saya:

"Kalaulah kamu merasakan bahawa kamu terpaksa menumpukan seluruh waktu dan tenaga kamu dalam mencapai kecemerlangan dalam bidang perubatan yang kamu ceburi maka kami pelajar Al-Azhar lebih-lebih lagi sepatutnya berusaha dalam tahap yang paling maksima untuk menguasai bidang-bidang ilmu Islam yang terbentang luas di Al-Azhar kerana dunia dan masyarakat tidak akan mengecapi nikmat kehidupan yang paling hakiki melainkan apabila syariat Allah diterjemahkan di dalam kehidupan yang semestinya membutuhkan generasi para ulama Islam yang hebat dalam menguasai ilmu-ilmu Islam.”

Maaf seandainya lakaran pena ini mengguris hati pembaca yang budiman namun kalaulah hanya dengan mengoreskan hati teman-teman pembaca sahaja yang mampu untuk membangkitkan gergasi kesedaran dalam diri kalian yang sehingga ke hari ini masih lena diulit mimpi, maka saya tidak akan teragak-agak untuk membakar semangat teman-teman hanya semata-mata inginkan calon generasi ulama mendatang ini sedar dan jelas dengan peranan mereka yang sangat diidam-idamkan.

Azhari yang kusayangi.

Saya tidak bermaksud untuk mewujudkan jurang antara pelajar Al-Azhar dan pelajar perubatan di Mesir ini namun kita selaku pelajar Al-Azhar mesti memandang serius teguran membina daripada salah seorang teman di jurusan perubatan tadi.

Cukuplah kita buang masa dengan berborak-borak kosang, melayari mayapada chating yang tidak berkesudahan, menonton filem-filem yang tidak layak dilayari oleh seorang pewaris nubuwah para anbiak, berpesta dan berhibur dengan lagu-lagu yang tidak mengikut aturan syarak, layari AF dan gembira tengok orang malaysia melalak-lalak dalam Akademi Fantasia dan segala macam budaya negatif yang hanya akan menghakis kredibiliti kita selaku seorang penuntut ilmu Allah Rabbul Izzati.

Bangkitlah dan genggamlah azammu. Nyalakan obor semangat yang membara bagi mempertahankan kesucian Islam yang pastinya akan menjadi katalis dan pemangkin kepada semangat suci kalian untuk menjadi pewaris para nabi dan rasul.

Mari sama-sama kita mulai dari noktah ini untuk kita berjanji bahawa:

KAMI AKAN BERJAYA

KAMI BUKAN GENERASI YANG LEMAH JIWA

KESUNGGUHAN KITA DALAM ILMU DAN AKADEMIK ADALAH BUKTI BAHAWA KEJAYAAN UNTUK MERAIH WARISAN MURSALIN ADALAH MILIK KITA SEMUA

INSYAALLAH..

Teman anda,

HAIRUL NIZAM MAT HUSAIN
Presiden PMRAM dulu la

1 comment:

perokoksoleh said...

salam......
hahaha,lawak bila baca akhir kalam cik tuan besar erkk...
old priseden pmram....
betol2x...insyallah,
saya yg mangkuk ini akan berusaha lebih maju...
(nie bukan cakap jerkk,insyallah saya buat)...