Monday, July 7, 2008

Jamaluddin Al-Isnawi, ikhlasnya perjuanganmu

Sudah lama saya tidak bertandang ke Ruaq Al-Atrak, Masjid Al-Azhar Al-Syariff. Tempoh dua minggu dihujani kerisauan peperiksaan menyebabkan saya terpaksa menumpukan sepenuh perhatian saya kepada peperiksaan. Namun dalam tempoh itu jugalah guru saya, Fadhilat al-Syaikh Sayyid Syaltut tidak dapat mengadakan pengajian di Masjid al-Azhar. Satu kebetulan dan satu kelegaan khusus buat saya.

Semalam, saya bergegas ke al-Azhar dalam jam 4.00 petang dengan cuaca yang cukup panas untuk menimba ilmu yang diajarkan oleh beliau. Setiap hari Selasa dan Rabu, jam 5.00, kami akan bertalaqqi Minhaj al-Tolibin, salah satu matan utama dalam fiqh mazhab al-Imam al-Syafi`e.

Dalam tempoh sekitar dua jam pengajian bersama beliau yang hanya menghabiskan hanya setengah muka surat sahaja (pengajian bersama Syeikh Sayyid memang begitu. Panjang dan penuh dengan munaqasyah antara beliau dengan kami selaku anak-anak murid menyebabkan muka surat yang dibaca hanyalah sedikit tetapi padat dengan persoalan dan perbincangan), saya begitu tertarik apabila Syeikh Sayyid Syaltut menceritakan satu kisah yang berlaku kepada al-Imam al-Isnawi, seorang ulama terkemuka dalam bidang usul fiqh dan fiqh mazhab al-Imam al-Syafi`e.

Al-Imam al-Isnawi yang merupakan pengarang kitab Nihayat al-Sul (sukatan usul fiqh di Universiti al-Azhar) dan kitab al-Muhimmat (salah satu kitab dalam mazhab al-Imam al-Syafi`e, namun hingga kini masih dalam bentuk manuskrip) pernah pada satu hari mengkaji masalah ilmu bermula selepas Isyak hinggalah ke pagi. Beliau begitu bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan perbahasan ilmu yang berkaitan sehingga ulama ulung ini tidak menyedari waktu yang berlalu hinggalah panas matahari menerjah wajahnya.

Barulah beliau tersedar dari keasyikannya mengkaji ilmu bahawa waktu pagi telahpun menjelma dan beliau telahpun tertinggal SOLAT SUBUH.

Cerita yang disampaikan oleh guru saya ini sungguh berbekas di dalam atma saya. Bagaimana seorang individu itu boleh asyik di dalam membaca, berfikir dan mentelaah ilmu sepanjang malam tanpa tidur sehingga dia tidak menyedari kehadiran waktu sehingga tertinggal solat Subuh.

Hebat. Sunggu hebat. Ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah apabila ilmu itu telah mendarah daging dalam jiwa ulama ulung ini. Ada orang tertinggal subuh kerana terlena. Rupa-rupanya ada orang tertinggal subuh bukan kerana tidur tetapi asyik dalam mencari ilmu Allah sehingga seakan-akan dia tidak mampu untuk menyedari peredaran waktu di sekelilingnya.

Saya pasrah. Moga Allah memilih kita untuk mendalami ilmu dan ikhlas untuk mempertahankan Islam dengan anjakan ilmu dan amanah yang dikendong.

Bagaimana agaknya ada orang kehidupannya hanyalah makan, tidur, main bola, berborak, layan internet dan 1001 perkara sia-sia tanpa dia ingin mendalami ilmu Islam. Akhirnya bila semboyan pulang berbunyi, dia cuba-cuba untuk berlagak alim di mata masyarakat. Sedarlah kawan-kawan sebelum terlambat. Pintu masjid al-Azhar sangat terbuka untuk kalian. Cuma adakah kalian mampu untuk membunuh rasa malas di hati kalian dan duduk bersila di kamar Ruaq al-Atrak, Ruaq Magharibah, Zollah Fatimiyyah dan lokasi-lokasi seterusnya.

Mainlah banyak-banyak dan buang-buanglah masa. Jadilah seorang pelancong yang melancong di Mesir selama bertahun-tahun. Esok lusa padan muka.

1 comment:

sinarDCL said...

salam,
akhi hairul, ana hanif tanta.tahniah kepada anta yang nekad memburu phd.semoga jumpa lagi di malaysia 2010.
wassalam:)