Thursday, November 5, 2009

Kisah Mamak Bendahara Raja Melaka

Alkisah tersebutlah kisah Mamak Bendahara Kota Melaka. Senyumnya mampu sahaja menggugurkan hati hamba sahaya. Tentaranya sahaja derap tapak kakinya bak geroda membelah angkasa lalu azmat dan gegak gempita seluruh alam mayapada.

Arakian termaktublah di dalam pena bahawa Sultan Melaka menitah seluruh warga Istana dan Orang-Orang Kaya untuk datang menghadap menjunjung kasih merafak sembah buat baginda.

Peluh memercik, panas sungguh.
Murka Sultan murka berdaulat.
Pacal hina takut memucat
Mamak Bendahara tiada kelibat,
Ke mana menghilang, ke mana gerangan,
Adakah padah bakal menyusul,
Adakah sembah sembah derhaka?

"Mana gerangan Mamak Bendahara? Apakah beta ingin dipermain-mainkannya? Sehingga kini tiada kelibat. Apa ingin tulah raja berdaulat". Bak halilintar suara raja Melaka raja berdaulat membelah telinga para pacal yang hadir. Senyap membisu bahasa, tidak berani mengadap wajah baginda.

"Ampun Tuangku beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun", suara Mamak Bendahara tiba-tiba kedengaran dalam hawa panas murka sang sultan.

"Cis. Bedebah kau Mamak Bendahara. Membiarkan beta termanggu-manggu menunggu Mamak Bendahara. Apa sudah kepingin kepala meninggalkan tubuh bernyawa?" Bentak sultan bentak bahaya.

Terketar-ketar Mamak Bendahara mengangkat sembah.

"Ampun Tuanku. Patik lewat ada sebabnya. Ada 3 orang hamba Melaka mengamuk di hujung kampung. Bergegas patik untuk mengawal suasana. Mereka mahu berMuzoharat (demontrasi) di sana, Tuanku. Ampun Tuanku"

"Bermuzoharat?"

"Benar tuanku. Kabarnya mereka menuntut 3 tuntutan agar Tuanku tunaikan. Kiranya tidak, mahu diamuknya seluruh Melaka. Lalu atas itulah patik terlewat Tuanku. 3 orang bedebah itu telahpun ditangkap oleh orang-orang Datuk Laksamana. Lalu patik terlambat kerana ingin membebaskan mereka di balai polis Tuanku. Ampun Tuanku."

"Oh. Maknanya Mamak Bendahara lewat untuk ke Istana Sembilan ini atas kerana itulah?"

"Ya Benar Tuanku".

***********************

Dalam masa itu Datuk Laksamana hanya menggeleng kepala. "Kenapa mesti menipu?", desis suara hati Datuk laksamana. Datuk Laksamana sangat arif bahawa Bendahara bermain dusta. 3 orang itu orang-orang suruhan Mamak Bendahara sendiri. Ditangkap orang kerna mahu mencuri kain di hujung Melaka. Sudahlah mencuri, kuda tunggangan pencapok-pencapok suruhan Mamak Bendahara inipun kepunyaan Mamak Bendahara. Copnya pun tidak ditanggal lagi.

Dalam Datuk Laksamana Menggeleng kepala, kalam sukmanya berbunyi:

Siakap Senohong Gelama Ikan Duri,
Bercakap Bohong Lama-Lama Mencuri.

2 comments:

Tarbus Merah said...

Salam Tuan Hairul,

Karya satira ini amat menarik. Oleh sebab itu, biasanya karya satira (khusus menulis novel dan cerpen) tidak boleh disaman oleh mana-mana pihak.

Kita perlu banyakkan lagi karya satira ini agar semua pihak mengerti bahawa sastera itu banyak indahnya.

TENGKU KHAIRUL IDHAM said...

Sastera yg mengagumkan...

Kena pada tempat dan masanya...kui3x

P/S : Orang sastera jugak upernyer Ust Hairul nih...huhu