Ya. Lama sungguh saya tak ke kelas Ghayat al-Bayan (Syarah Matan Zubad Dalam Mazhab Imam Syafie). Hampir 4 hari rasanya saya tak ke Masjid al-Azhar untuk mendengar syarahan dan huraian kitab ini yang disampaikan oleh guru tercinta, Fadhilat al-Syeikh Sayyid Syaltut. Ini semua gara-gara demam yang menemani saya sehingga doktor menasihatkan untuk saya berehat selama 3 hari. Saya rasa saya berjangkit daripada Badan Pengurus PMRAM. Habis hampir satu pejabat PMRAM ditimpa demam. Biasalah, berubah cuaca ke musim sejuk.
Pagi ini saya nekad. Badan pun dah kebah sikit. Naik teksi jam 7.00 pagi. Sampai ke Masjid al-Azhar dalam jam 7.30 pagi. Le 20.00 (lebih kurang RM 15.00) saya hadiahkan kepada pemandu teksi. Sejuk gila kepit kitab untuk mengaji kitab al-fiqh.
Hari ini kami sama-sama bincang tajuk al-Walimah atau dalam bahasa Melayunya "Kenduri Kahwin". Elok juga kalau saya dapat kongsi dengan kawan-kawan beberapa kesimpulan hukum yang saya dapat hari ini yang telahpun lama disemadikan di dalam dada kitab Ghayat al-Bayan karangan Syams al-Din al-Ramli ini.
***********************
1) Megadakan kenduri kahwin adalah sunnat dan digalakkan manakala menghadiri jemputan kenduri kahwin pula adalah wajib berdasarkan pandangan yang terpilih. Kewajipan menghadiri majlis kenduri kahwin adalah apabila tiada sebarang keuzuran.
2) Apabila seseorang yang dijemput untuk menghadiri kenduri kahwin tersebut berpuasa dengan puasa sunat, maka sekiranya dengan sebab orang tersebut terus berpuasa akan menyebabkan kesedihan dan kekesalan pada hati tuan rumah yang mengadakan mejlis kenduri kahwin, maka orang yang berpuasa sunat tersebut disunatkan untuk berbuka puasa demi untuk meraikan tuan rumah yang mengadakan majlis kenduri kahwin. Namun sekiranya tuan rimah tidak kisah dan tidak merasa sedih sekiranya orang yang dijemput terus berpuasa, maka orang yang berpuasa itu lebih baik meneruskan puasanya.
3) Orang yang berpuasa wajib seperti puasa qadha ataupun puasa nazar diharamkan untuk berbuka puasa semata-mata erana ada majlis kenduri kahwin kerana puasanya adalah puasa wajib.
*********************************
Berikut pula adalah hukum-hukum yang berkenaan dengan tetamu sama ada dalam majlis kenduri kahwin ataupun bukan
1) Apabila tuan rumah telahpun menghidangkan makanan di hadapan tetamu yang berkunjung, tetamu boleh untuk memakan makanan yang dihidangkan sekalipun tuan rumah tidak mempelawanya untuk makan. Ini kerana hidangan makanan yang diletakan di hadapan tetamu adalah satu qarinah (tanda dan bukti) bahawa tuan rumah sebenarnya ingin menjemput tetamu untuk makan. Namun sekiranya ada sebarang tanda bahawa tuan rumah tidak membenarkan tetamu untuk makan selepas makanan dihidangkan seperti tuan rumah masih menunggu kedatangan beberapa orang tetamu lain yang masih belum sampai, maka makanan yang dihidangkan tidak boleh dimakan melainkan setelah diizinkan oleh tuan rumah ataupun setelah tetamu yang ditunggu telah tiba.
2)Seseorang tetamu yang dihidangkan makanan di hadapannya hanya boleh untuk makan sahaja. Dia diharamkan membungkus makanan tersebut untuk dibawa pulang, dia juga diharamkan untuk memberikan makanan tersebut kepada kucing ataupun kepada orang lain yang meminta makanan tersebut daripadanya. Namun sekiranya tuan rumah merestui, maka tetamu boleh untuk membungkus makanan tersebut untuk dibawa pulang dan boleh untuk memberikannya kepada binatang atau manusia lain.
3) Seseorang tetamu boleh untuk mengagihkan makanan yang dihidangkan kepadanya kepada tetamu yang lain dengan syarat tuan rumah tidak mengkhususkan makanan tertentu kepada tetamu tertentu sahaja. Sekiranya tuan rumah telahpun mengkhususkan bahawa makanan tertentu (contohnya udang) hanya untuk tetamu A, maka haram bagi tetamu A memberikan makanan tersebut kepada tetamu B melainkan dengan izin daripada tuan rumah.
4) Perbuatan tuan rumah yang membeza-bezakan makanan tertentu hanya untuk tetamu tertentu sahaja adalah makruh.
5) Seseorang itu diharamkan untuk pergi ke mana-mana majlis makan tanpa dijemput oleh tuan rumah melainkan sekiranya orang yang datang tanpa undangan tersebut tahu bahawa tuan rumah tidak akan marah dan terasa sekiranya dia datang ke majlis makan tersebut.
6) Tidak mengapa (al-Jawaz) sekiranya dalam majlis kenduri ada makanan, duit dan sebagainya dicampakkan kepada pengantin atau hadirin yang akan dikutip dan dimiliki oleh para hadirin. Ini kerana tindakan seperti ini hanyalah sebagai tanda tuan rumah ingin menghadiahkan benda yang dicampakkan tersebut kepada para hadirin.
## Saya bertanya kepada Syeikh Sayyid Syaltut berkenaan dengan adat orang-orang Melayu yang melemparkan beras kepada pengantin. Lalu beliau menjawab bahawa tindakan tersebut adalah haram kerana membawa kepada pembaziran. Ini kerana beras yang dilemparkan tidak akan diambil semula dan tidak akan dimakan sebaliknya dibiarkan ataupun dibuang. Islam mengharamkan sebarang tindakan yang merosakkan harta.
***********************
Subhanallah. Indahnya Islam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
istilah 'ngele' bagi org kelate, lagu mano pulok tu us.Hairul?
Post a Comment