Akhirnya siap. Puas rasa hati bila taklifan yang PMRAM pundakkan pada batu jemala saya akhirnya selesai dengan baik. Tugasan menyemak dan mengulas (tahqiq) kitab Bahrul Mazi karangan ulama tersohor Melayu Syeikh Idris al-Marbawi ahirnya selesai dengan baik pada dua hari yang lepas. Hampir sekitar 2 minggu saya berkurung di rumah bagi menyelesaikan proses terakhir semakan dan ulasan yang kami sertakan di bahagian nota kaki kitab ini. Syukur pada tuhan. Segalanya selesai.
Ya. Selesai untuk kali ini. Kitab asal Bahrul Mazi berjumlah 22 juzuk yang dicetak dalam 11 jilid. Kami baru menyemak dan mengulas terhadap 100 muka surat pertama daripada juzuk yang pertama daripada kitab ini. Ini bermakna masih banyak lagi proses semakan dan ulasan untuk jilid-jilid yang keseterusnya. Saya jangkakan kalaulah Allah mengizinkan, kitab Bahrul Mazi yang disertakan ulasan terbitan PMRAM akan berjumlah 44 JILID. Baru satu siap. ada lagi 43 JILID. Ya Allah. Mudahkanlah.
Usaha untuk mentahqiq (menyemak dan mengulas) kitab ini bermula dalam satu mensyuarat Badan Pengurus PMRAM tahun 2006. Idea ini bermula daripada ugutan untuk menyekat bantuan dan zakat dari beberapa buah negeri terhadap mahasiswa al-Azhar hanya kerana mereka membantu dan mendokong PMRAM. Akhirnya timbullah idea daripada Badan Pengurus PMRAM ketika itu untuk membiakkan dana khusus bagi dihabiskan untuk membantu pelajar-pelajar Melayu di Mesir yang mengalami masalah ekonomi. Lalu bermulalah usaha untuk mencetak semula kitab bahrul mazi dengan disertakan ulasan yang membantu pembaca dalam memahami kehendak pengarang.
Hasil jualan Bahrul Mazi akan dijadikan sebagai aset utama untuk dihabiskan bagi membantu meringankan masalah ekonomi pelajar yang kesempitan. Walau bagaimanapun, untuk setakat ini, penjualan kitab Bahrul Mazi akan ditumpukan dulu untuk mencapai misi Dana Apartmen PMRAM yang sehingga kini masih belum berjaya sepenuhnya.
Saya rasa puas kerana jilid pertama kitab ini catakan PMRAM akan diterbitkan tidak lama lagi. Masih perlu keringat yang lebih untuk menyiapkan sekitar 43 jilid lagi. Ya, saya dan rakan-rakan pentahqiq mesti kerja lebih kuat lagi. Lebih kuat lagi. Moga Allah berkati..Amin.
Friday, July 16, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment