Saturday, March 21, 2009

Haji Khir...Moga Allah merahmatimu

من المؤمنين رجال صدقوا ما عاهدوا الله عليه فمنهم من قضى نحبه ومنهم من ينتظر وما بدلوا تبديلا ليجزي الله الصادقين بصدقهم ويعذب المنافقين إن شاء أو يتوب عليهم إن الله كان غفوراً رحيما

Dalam perjalanan saya pulang dari Aswan selepas kami menziarahi maqam al-Imam Abu al-Hasan al-Syazuli, saya dikejutkan dengan mesej bahawa al-Ustaz Khairul Azhar Kamaruddin telahpun pulang ke hadrat Allah Taala. Saya disentak dan seakan tidak mempercayainya. Namun Allah menyayanginya.

Air mata akhirnya gugur juga dalam menitip bilah-bilah perkataan ini. Mungkin generasi baru kurang mengenali beliau. Namun saya begitu rapat dengan Allahyarham.

"Saya bukanlah orang yang pandai. Bukan seorang yang bijak. Namun saya ingin menjadi manusia terbaik untuk Islam". Itulah kalam beliau yang sering dilontarkan buat kami. Ya Allah. Saya sungguh sedih.

Beliau seorang yang tegas. Jarang dilihat untuk senyum. Namun beliau cukup mesra dengan kami. Semangatnya untuk menjadi wakaf buat perjuangan Islam tidak pernah luntur dalam hati tega beliau. Masih teringat lagi bila beliau berkata kepada kami agar kami tidak putus asa dan semangat dalam berjuang "Merajuk itu benda biasa. Tetapi melayan orang yang merajuk itu buang masa".

Pulang ke Malaysia dengan penuh semangat dan azam. Tidak kenal erti lelah dalam menyampaikan dakwah Islam. Ketua Pemuda PAS Tampin ini adalah orang yang tidak berduit tetapi tidak pernah cuba untuk menjauhi medan dakwah atas alasan kemiskinan. Ya tuhan. Air mata saya gugur lagi.

Kali terakhir saya bertemu dengn beliau sekitar dalam bulan 12 atau bulan 1 yang lepas. Ada mesyuarat Alumni al-azhar di SMIDU, Kedah. Beliau yang datang seorang diri dari Negeri Sembilan kelihatan ceria. Saya masih ingat lagi bila saya bertanya kepada beliau "Datang seorang sahaja Haji?" Beliau dengan penuh seloroh "Dari Negeri Sembilan tadi satu bas. Cuma ana sorangje lah yang datang ke sini".

Ingat lagi apabila ada seorang teman dari Tanta yang lemas di Siwa, Mesir dan akhirnya meninggal dunia. Saya call Haji Khir. Beliau yang masih dalam kepenatan selepas program terus sebut kepada kami untuk bersiap ke Siwa. Beliau pandu kereta dari Kaherah hingga ke Siwa. Kami bertolak dalam jam 9 malam dan sampai ke Siwa jam 12 tengah hari.

Haji Khir. Anda cukup membentuk jiwa saya agar menjadi wakaf buat Islam. Anda telah membuktikannya. Ya Allah. Air mata saya gugur lagi. Semoga Haji Khir tenang di sana.

Haji. Kami merindui anda. Al-Fatihah.

1 comment:

Abd Rahman Mohd Tharin said...

semoga ALLAH mencucuri rahmat keatas rohnya..