Saturday, August 8, 2009

Bulan Terbelah Dan Raja Malabar

Kita biasa dengar satu mukjizat Rasulullah yang berlaku satu ketika dahulu. BULAN TERBELAH. Saya pula kali ini ingin paparkan satu peristiwa yang dirakamkan oleh satu manuskrip hindu kuno yang menceritakan peristiwa bulan terbelah ini yang pastinya akan memberikan satu kekaguman yang bakal lahir dalam hati kita. Manuskrip tersebut masih tersimpan di India Office Library, London bernombor siri 2807/152-173.



Manusrip hindu kuno itu menceritakan kisah seorang raja Malabar (selatan India) yang bernama Chakrawati Farmas yang hidup sezaman dengan Rasulullah S.A.W. Raja ini telah menyaksikan peristiwa bulan terbelah dua di Malabar ketika mana Rasulullah yang berada di Mekah ketika itu telah membelah bulan di hadapan golongan Quraisy sebagai mukjizat yang membuktikan kerasulan baginda.

Chakrawati bingung dengan fenomena bulan terbelah yang disaksikannya. Akhirnya sekumpulan pedagang muslim yang ingin berdagang ke China yang singgah di Malabar telah menjelaskan kepada Raja Chakrawati bahawa seorang Rasul di Mekah yang bernama Nabi Muhammad telah dianugerahkan oleh Allah satu mukjizat iaitu BULAN TERBELAH.

Mendengar kisah ajaib ini, raja Malabar ini terus menitahkan anakanda baginda menggantikan dirinya untuk menjadi raja di Malabar. Baginda pula terus bersiap untuk menuju ke Mekah demi untuk menemui Rasulullah S.A.W.

Manuskrip ini menceritakan bahawa raja ini akhirnya berjaya menemui Rasulullah dan akhirnya memeluk Islam. Setelah mempelajari selok-belok agama suci ini, baginda bertolak semula ke Malabar untuk menyampaikan Islam kepada rakyat Malabar.

Namun takdir Allah mengatasi segalanya. Niat suci raja ini tidak dapat diteruskan apabila baginda mangkat semasa perjalanan pulang di satu tempat bernama Zafar, Yaman. Peristiwa pengislaman Raja Chakrawati ini telah membuka lembaran baru kepada pengislaman rakyat India di Malabar.

Sumber: Khawatir Fi Ma`iyyat Khatam al-Anbiya Wa al-Mursalin karangan Dr. Zaghlul Najjar muka surat 110-111 cetakan Nahdetmisr tahun 2004.

1 comment:

hadi_qm said...

erm.best citer ni..thanks kpd ustaz..semoga najah dlm imtihan..