Pagi ini selepas Subuh, dengan izin Allah, kami semua telah selesai belajar kitab Tuhfat Al-Ahwazi yang dikarang oleh Al-Imam Al-Mubarakfuri atau Mubarkafuri. Kitab ini adalah huraian kepada sebuah kitab hadith yang masyhur; Jami' Al-Tirmidzi.
Kitab Tuhfat Al-Ahwazi yang mempunyai 9 jilid ini telah dibaca secara konsisten oleh Fadhilat Al-Syeikh Dr. Yusri bin Rusydi Bin Jabr bin Al-Sayyid al-Hasani selama 4 tahun setiap hari selepas solat Subuh di masjid beliau, Masjid Al-Asyraf.
Ulama berdarah Sayyidina Hasan Ibni Sayyidah Fatimah binti Sayyidina Muhammad s.a.w ini telah mula membaca kitab tersebut pada 12 Februari 2006 dan berjaya mengkhatamkan seluruh hadith Rasulullah yang dihuraikan di dalam kitab tersebut pada hari Jumaat dua minggu lepas (22 Januari 2010). Keesokannya, beliau meneruskan pula membaca kitab Syifa' al-Ghalal Fi Syarh Kitab al-`Ilal dan akhirnya khatam pada hari ini bersamaan 4 Februari 2010.
Insyaallah, esok (5 Februari 2010), beliau akan mula membaca Sunan Abi Daud di masjid beliau seusai solat Subuh dan kelas akan berjalan setiap pagi.
Moga Allah memberkati guru kami yang mulia ini yang tidak lelah dalam mencari cinta di balik kalam-kalam mulia milik Sayyid al-Mursalin Sayyidina Muhammad bin Abdillah.
Teringat saya pada bait syair yang saya temui dalam salah satu manuskrip hadith yang berbunyi:
أَهْلُ الْحَدِيْثِ هُمُ أَهْلُ النَّبِيِّ وَإِنْ
لَمْ يَصْحَبُوْا نَفْسَهُ أَنْفَاسَهُ صَحبُوا
yang bermaksud:
"Ulama Hadith itu adalah ahli keluarga Nabi. Sekalipun mereka tidak bersahabat dengan batang tubuh Nabi, namun mereka bersahabat dengan nafas-nafas Nabi".
.........................
Syeikh Yusri sebelum ini telah membaca keseluruhan kitab Musnad Al-Imam Ahmad selama 11 tahun dan telah membaca keseluruhan kitab Syarh al-Nawawi `Ala Sohih Muslim.
Thursday, February 4, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)