Sunday, March 28, 2010

Selamat Datang Anak-Anak Luar Nikah Dari Mesir


Setelah lama tidak menulis, saya ingin mengucapkan: Ahlan Wasahlan.

Ahlan Wasahlan buat kalian yang bakal hadir kalau masalah gejala couple yang makin menakutkan di Mesir terus dipandang sepi.

Ahlan Wasahlan buat anak-anak gampang yang tidak berdosa kiranya pihak-pihak agen yang mengaut teman-teman pelajar dari Malaysia terus membutakan mata daripada keruntuhan akhlak yang berlaku di hadapan mata kepala mereka.

Welcome buat anak-anak yang bakal lahir kiranya seluruh pihak terus tidak mengambil perduli dengan hubungan lelaki dan wanita yang tidak dibatasi Syarak.

Welcome untuk bakal anak-anak itu kiranya kita yang mengetahui kesedudukan antara pria dan dara yang tengah mengelamun cinta gila tanpa takutkan murka Allah terus membiarkan mereka gila dirasuk syaitan yang sedang ketawa.

Ya. Seakan kita semua di Mesir sedang berlatih untuk mengucapkan ucapan selamat datang itu.

Sabtu lepas, saya hampir gila dalam mesyuarat Hisbah PMRAM Pusat apabila mendengar laporan hisbah setiap peringkat bermula sekitar jam 2 petang hingga 4 petang yang rata-ratanya melaporkan berita mual gelagat mahasiswa Islam Malaysia yang menuntut ilmu di Mesir. “Pelajar perubatan lelaki perempuan berdua-duaan di dalam bilik”, “Pelajar perempuan itu berpakaian menunjukkan lurahnya”, “Pelajar itu dan kekasihnya memasuki kelab malam”, “Pelajar lelaki itu di rumahnya ada pakaian wanita”, “Pelajar itu di rumahnya ada arak” dan ……………………………

Gila. Memang gila. Mana boleh kita biarkan maksiat demi maksiat terus melampau-lampau berlaku di Mesir.

“Woi bodoh! Kau nak tuduh budak-budak yang dating dan lepas satu rumah tu berzina ke? Mana saksi kau?!!”.

Saya jawab: Aku tak kata diorang berzina, tapi kalau kita masih selamba biarkan tindakan berpeleseran jantan betina tanpa dibatasi syarak itu terus berlaku tanpa sekatan, tindakan dari semua pihak, maka kita sebenarnya sedang menanti keputusan yang sama.

Semua pihak mesti bertanggungjawab. Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, agen-agen yang mengadakan program pengajian perubatan di Mesir, Hisbah PMRAM Pusat beserta hisbah-hisbah di setiap cawangan mesti buat satu tindakan segera sebelum semuanya terlambat.

Kalau budak buat maksiat tak rasa malu bahkan rasa berani untuk tekan budak-budak yang nak menegur, budak-budak hisbah PMRAM tak boleh rasa takut untuk membantu budak-budak ini agar kembali mentaati Allah yang Maha Perkasa.