Sunday, December 27, 2009

Makluman

Makluman daripada Syeikh Usamah; kepada sahabat2 di mesir selepas zuhur nanti akan diadakan majlis penyampaian sanad hadis musalsal hari asyura' di Masjid Al-Azhar Al-Syarif. Dijemput hadir.

Hari `Asyura Yang Baik


Syukur pada Allah atas nikmat usia. Syukur pada Allah atas nikmat mempelajari ilmu daripada tangan mulia para ulama di Mesir.

Pagi ini, bersempena dengan hari Asyura 10 Muharram 1431 Hijriah, selepas daripada kami mempelajari kitab Tuhfat al-Ahwazi daripada Syeikh Yusri al-Hasani di Masjid al-Asyraf di al-Muqattom, beliau dan menantu beliau, Syeikh Usamah telah mengijazahkan kami hadith musalsal Asyura yang hanya akan diijazahkan setahun sekali iaitu pada tanggal 10 Muharram setiap tahun.

Maha suci Allah yang telah menghadiahkan kepada umat Islam ini rantaian-rantaian sanad yang bersambung bermula daripada Rasulullah sehinggalah kita pada hari ini. Rasanya tidak ada pada mana-mana umat lain selain umat Islam yang memiliki rantaian sanad yang bersambung dari satu generasi ke satu generasi yang lain.

Apapun, sanad hadith pada hari ini adalah untuk mengambil keberkatan. Menjadi satu kesilapan apabila seseorang itu hanya bersungguh untuk mengejar sanad-sanad hadith sedangkan dia tidak langsung mengambil berat dalam mendalami ilmu-ilmu Islam yang lain.

Ada orang tidak dilihat dalam majlis-majlis ilmu yang diadakan saban hari. Namun apabila ada majlis pengijazahan sanad hadith, dia akan kelihatan di sana.

Makanya, yang paling terbaik adalah orang yang menghimpunkan kedua-duanya sekali; bersungguh mendalami ilmu-ilmu Islam dan mengambil keberkatan sanad-sanad hadith Rasulullah yang mulia.

Kepada para teman yang berpuasa sunat pada hari ini, tahniah buat anda. Para teman yang tidak berkesempatan pula, ambil peluang pada 10 Muharram tahun hadapan.

Wednesday, December 16, 2009

Masalah Sosial Di Mesir. Huh!

Lama betul saya tidak berblog. Internet tidak ada di rumah hampir dua minggu, urusan kuliah yang menyesakkan, pengajian di al-Azhar dan macam-macam lagi menyumbangkan lagi ketidakcukupan waktu saya untuk berblog.

Dalam minggu ini sahaja, macam-macam isu yang saya terlepas pandang.

Masalah akhlak.

Kalau dulu, rata-rata mahasiswa Islam Malaysia di Mesir adalah mahasiswa pengajian Islam. Hari ini suasana tersebut sudah berubah. Berkemungkinan majoriti mahasiswa di Mesir pada hari ini adalah mahasiswa perubatan.

Pastinya macam-macam suasana sudah berubah.

Isu sosial semakin bertambah. Couple, mendedahkan aurat, berpakaian mencolok mata, keluar malam secara bebas dan macam-macam lagi sudah mula naik angkanya di Mesir. Ada juga pelajar pengajian Islam yang ambil bahagian.

Saya tak nafikan, ada di kalangan mahasiswa perubatan yang bukan dari latar belakang agama, lalu masalah yang dinyatakan di atas adalah perkara biasa.

Rasanya, setiap kita perlu berperanan. Persatuan PERUBATAN sendiri secara khusus perlu duduk berbincang bagi mencari pendekatan terbaik dalam menyelesaikan masalah ini. Dakwah dan penerangan perlu disebarkan secara perkasa agar tuntutan agama dapat menyelit dan meresap dalam jiwa setiap pelajar hari ini.

Huh. Setiap hari semakin banyak peranan yang perlu dipertingkatkan.

Rehat di syurga.

Tuesday, December 1, 2009

Satu Hari 10 Jam

Peperiksaan semakin hampir. Teman-teman di Mesir hari ini sudah merasai kehangatan peperiksaan yang bakal menjelang bermula 16 Januari 2010 akan datang. Maknanya kira-kira sebulan setengah lagi peperiksaan akan mendatangi kalian. Saya pula sudah tidak ada lagi peperiksaan. Saya hanya akan menyiapkan tesis M.A saya yang akan dibuntuti pula dengan tesis PhD akan datang sekiranya direstui Allah.

SEBULAN SETENGAH.

Satu jangka masa yang panjang. Satu jangka masa yang sangat keemasaan bagi individu pelajar yang tahu erti mahal detik masa yang berlalu.

Saya sebelum ini di dalam majlis-majlis motivasi yang dianjurkan oleh pihak PMRAM atau (Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) pernah melaungkan kepada para pelajar sekalian satu slogan "Satu Hari 10 Jam Study". Selepas daripada slogan ini saya warwarkan,sempat juga saya bertanya kepada beberapa orang teman sama ada mereka dapat menyambut baik seruan ini atau tidak. Tapi nampak gayanya agak meleset.

"Satu Hari 10 Jam Study" adalah satu slogan yang retorik?

Saya sendiri terfikir, mengapa para pelajar agak payah untuk menyambut slogan ini?

Sepatutnya seorang pelajar hanya sepatutnya tidur dalam jangka masa 6 jam sehari. Baik, katakan mereka menyambut seruan ini untuk study sehari dalam masa 10 jam, ini bermakna ada 8 jam lagi buat mereka untuk dihabiskan pada aktiviti-aktiviti yang lain. Persoalannya mengapa masih tidak mahu serius dalam study. Takkan satu hari hanya mahu study sejam sahaja atau 2 jam atau 3 jam? Kalau hanya itu waktu untuk study, saya pasti kawan-kawan tak akan mampu untuk menggondol natijah Imtiyaz ataupun Jayyid Jiddan.

Kesimpulan:

Tidur : 6 Jam
Study : 10 Jam
Aktiviti lain: 8 Jam

Jumlah : 24 Jam


Adakah masih belum cukup 8 jam berbaki untuk kalian habiskan dengan aktiviti buang masa kalian? Takan masih mahu jadi seperti bayi yang tidur berjam-jam.

Kalau masih mahu study hanya 1 jam sehari atau kurang atau hanya 2 jam atau 3 jam atau ...., memang kalian adalah spesis manusia tidak bersungguh dalam Mengejar Pelangi.

Saya harap slogan ini disambut baik oleh kalian semua. satu bulan setengah, satu waktu yang cukup panjang untuk kalian isi dengan aktiviti mentelaah ilmu. Waktu itu terlalu panjang untuk kalian mereka satu status pencapaian ilmu yang baik untuk peperiksaan mendatang.

Semoga berjaya dan bersemangat.