Thursday, January 29, 2009

Maqam Al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani


(Maqam Ibn Hajar Al-`Asqalani)

Sebelum ini saya pernah menyiarkan dalam blog ini perihal cadangan untuk memperbaiki maqam al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani, pengarang kitab Fathul Bari. Rupa-rupanya coretan saya telah mendapat perhatian salah seorang pelajar Pahang di U.K yang merahsiakan namanya. Sejumlah wang ( LE 1400 , UERO 80 dan GBP 5) telah dikirim kepada saya untuk proses pembaikan makam ulama ulung ini. Terima kasih kepada teman yang sudi menginfaqkan wang untuk tujuan tersebut sekalipun jumlah tersebut masih belum mencukupi.

Pagi tadi, selepas kami menimba untaian hadith al-Imam al-Tirmidzi perihal pasar di syurga dan melihat Allah di syurga daripada Fadhilat al-Syaikh Dr. Yusri al-Hasani, saya mengajukan kepada beliau berkenaan dengan keadaan makam al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani yang cukuf dhaif. Beliau menyatakan kepada kami bahawa beliau akan cuba untuk membantu usaha ini.

Sekalipun duit di tangan masih kecil, saya akan cuba untuk menambah jumlah ini agar cita-cita kita semua untuk melihat maqam ulama ulung ini diperbaiki akan terealisasi.

Sesungguhnya para ulama dan para wali Allah adalah tempat jatuhnya rahmat Allah kepada seluruh manusia. Semoga usaha kecil kita ini akan menjadi bekalan kita dalam menuju cinta Allah. Amin.

Terima kasih kepada teman yang menjadi orang pertama yang menyumbang untuk usaha ini. Semoga Allah merahmati anda. Amin.

Wednesday, January 28, 2009

Lama betul saya menyepi

Cepat sungguh masa berlalu. Pulang ke Malaysia. Berumahtangga. Balik semula ke Mesir ambil peperiksaan Syafawi. Balik semula ke Malaysia. Lulus tahun satu M.A Bidang Usul Fiqh dengan keputusan yang cemerlang. Bantu dua orang masyarakat cina sehingga akhirnya bertukar nama kepada Muhammad Ah Way dan Aisyah Wu Yu Fang. Akhirnya pulang semula ke Mesir untuk meneruskan kembara ilmu.

Pagi-pagi seusai azan subuh, saya mula ikut pengajian Tuhfat al-Ahwazi di Masjid al-Asyraf di Muqattam yang disampaikan oleh Dr. Yusri al-Hasani. Alhamdulillah. Moga Allah kekalkan rasa cinta untuk menuntut ilmu ini dalam jiwa saya. Ya Allah. Terimalah.

Thursday, August 28, 2008

Beza Sungguh Cara Nabi Menyambut Kemerdekaan Dengan Jemaah Menteri UMNO Sambut Kemerdekaan

Semua orang marah. PAS marah. Ustaz Din Tantawi marah. GAMIS marah. NGO Islam marah. Semua marah walaupun Mufti Wilayah tak marah lagi. Pak Lah? Memang tak akan marah. Mereka marah dengan tindakan Jemaah Menteri yang benarkan konsert Avril. Kononnya untuk membuktikan kegembiraan menyambut kemerdekaan negara. Punca utama orang marah adalah kerana jemaah menteri membuntutkan agama. Agama dibelakangkan demi untuk melihat konsert tergedik-gedik penyanyi itu.

Saya terfikir sejenak bagaimana Rasulullah menyambut kemerdekaan dan betapa jauhnya sambutan kemerdekaan cara Rasulullah dengan kemerdekaan stile UMNO. Dalam peristiwa 'kemerdekaan bumi Makkah' daripada agama menyembah berhala atau dengan nama jolokannya "Fathu Makkah", Rasulullah menuruti kalam Ilahi yang diturunkan kepada baginda dengan mutiara ayat yang berbunyi:


إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (1) وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا (2) فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا (3)


dengan maksud:

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah);

Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai;

Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.


Sejarah melakarkan sifat pengabdian suci baginda Nabi melalui kemerdekaan kota Makkah ini. Baginda masuk ke dalam kota Makkah dengan mengucap syukur ke hadrat Allah di atas kemenangan tersebut dalam anyaman tasbih, tahmid dan memuci kehebatan dan kebesaran Allah.

Semasa baginda memasuki kota Makkah yang telahpun dimerdekakan oleh umat Islam, baginda yang ketika itu yang sedang menunggang kenderaan menunduk sebagai tanda syukur seorang hamba kepada tuhannya sehingga wajah mulia baginda hampir-hampir mengenai belakang binatang tunggangannya. Kemenangan itu adalah daripada Allah. Maka kepada Allah sahajalah erti kesyukuran dan kepujian seabadinya.

Generasi dahulu di tanah Melayu berhempas pulas menentang penjajah semata-mata ingin membebaskan bumi umat Islam daripada tangan penjajah. Tiupan nafiri perang yang dilancarkan oleh para ulama dalam membangkitkan kesedaran ummah untuk berjihad akhirnya berjaya menghalau penjajah dari Tanah Melayu. Saya kira tokoh ulama silam yang berjuang penuh ikhlas seperti Tok Janggut, Tuan Guru Abdul Rahman Limbong dan insan-insan lain bahkan datuk Pak Lah sendiri, Tuan Guru Syeikh Abdullah Fahim semestinya tidak menginginkan agar kemerdekaan yang dicapai akan dihiasi dengan upacara mencari kemurkaan Allah seperti konsert Avril yang digilai oleh Jemaah Menteri.

Apa pemimpin acuan UMNO sudah hilang ingatan sehingga sanggup untuk menjaja konsert-konsert bercirikan kelucahan itu untuk ditatap dengan keghairahan dan kekejian oleh para muda dan mudi? Apa Jemaah Menteri UMNO begitu gatal untuk mengajak muda mudi berpesta kononnya tanda syukur atas kemerdekaan Malaysia?

Susah untuk Islam bernafas kalau orang-orang macam Jemaah Menteri itu menjadi kepala umat Islam. Mereka mana terfikir untuk bertanya kepada Allah dan Rasul adakah tindakan mereka direstui oleh Allah dan RasulNya.

Akhirnya saya kembali terfikir betapa jauhnya sambutan kemerdekaan Makkah ala Rasulullah dengan sambutan kemerdekaan Malaysia ala UMNO. Mungkin ajaran Islam Hadhari yang diimani oleh UMNO membolehkan agaknya konsert Avril dan para penyanyi simbul seks yang lain.

Akhir kalam: Tahniah buat Dewan Pemuda PAS Pusat, GAMIS, HELWANI GAMIS dan NGO-NGO yang lain.

Anda nak Sokong UMNO lagi? Sengal.

Tuesday, August 26, 2008

Bila Menteri Tak Reti Nak Jaga Hukum Allah.. Hancur BN

Dewan Pemuda PAS Pusat mengutuk sekeras – kerasnya tindakan jemaah menteri meluluskan semula konsert Avril Lavigne walaupun sebelumnya Kementerian Kesenian dan Warisan serta PUSPAL telah membatalkan konsert yang akan diadakan pada 29 Ogos ini, malang ia diluluskan kembali apabila diangkat kepada mesyuarat jemaah menteri .


Konsert ini adalah suatu penghinaan kepada negara Malaysia dan umat Islam yang akan menyambut bulan Ramadhan al Mubarak pada bulan september ini.


Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi mengutuk sekeras-kerasnya jemaah menteri yang membuat keputusan ini. Dimana ia adalah suatu tindakan yang kurang ajar dan biadab terhadap ummat Islam , walaupun Shafie Afdal menyatakan bahawa penganjur hiburan diminta menghormati prosedur permohonan permit selepas ini.


Ini menunjukkan tidak ada sedikit pun rasa hormat dan sensitif jemaah menteri kepada perasaan majoriti umat Islam dan warga pribumi di negara ini. Tarikh 29 Ogos 2008 sekurang – kurang berhadapan dengan suasana penting bagi negara ini khasnya ummat Islam .


Pertama ummat Islam bakal menghadapi bulan ibadah yang penuh kemuliaan dan keberkatan . Sepatutnya ia tidak dicemari oleh konsert seperti ini yang membawa masuk seorang artis simbol seks Avril Lavigne . Pastinya konsert ini akan membawa ummat leka dan lalai malah merosakkan moral dan akhlak mereka .


Kedua , berhadapan pula dengan ulangtahun kemerdekaan negara pada 31 ogos . Lazimnya pihak kerajaan menganjurkan majlis tahlil di seluruh negara dan forum untuk motivasi rakyat khasnya anak – anak muda supaya mewarisi semangat patriotisme . Konsert seperti ini sekali lagi tidak akan membantu motivasi rakyat untuk menjadi rakyat yang baik , bermoral dan berdaya saing , sebaliknya hanya melemahkan moral dan mental mereka sekaligus mengheret mereka tenggelam dibawah gelora nafsu.


Pembatalan konsert sebelum ini, rupanya bukanlah kerana menghormati hari kemerdekaan ke-51 tetapi hanya kerana kelewatan memohon permit. Maruah umat Islam dan rakyat Malaysia seperti dipijak-pijak dan dipermain oleh para jemaah menteri, semata-mata untuk menjaga hati Avril Lavigne.


Dewan Pemuda PAS Pusat mempersoalkan Kerajaan UMNO dan BN , di mana pemimpin-pemimpin UMNO yang kononnya hendak memperjuangkan nasib umat Melayu dan Islam di negara ini. Mana perginya konsep AL-Falah laungan Najib dan Islam Hadhari yang di banggakan oleh Pak Lah?. Apa yang Shafie Afdal buat dalam KEKKWA untuk mempertahankan hak kesenian dan warisan bangsa, atau Shafie telah menyenaraikan budaya kebebasan barat sebagai salah satu budaya warisan bangsa?


Dewan Pemuda PAS Pusat tegas menyatakan sikap bahawa konsert seperti ini mesti dibatalkan segera dan ini adalah amaran keras kepada pihak penganjur agar tidak mencabar sensitiviti ummat Islam . Andai mereka tidak peduli amaran ini , Dewan Pemuda PAS Pusat tidak teragak – agak akan mengerahkan seluruh pemuda Islam agar turun membantah Konsert tersebut daripada terus berlangsung .


Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyeru dan mengajak NGO-NGO Islam seperti GPMS, PPIM, PEKIDA, ABIM, JIM, TERAS dan GAMIS turut bersama-sama membantah konsert tersebut. Ini bukan untuk kepentingan politik tetapi melibatkan maruah dan harga diri ummat Islam . Jika begini terus menerus sikap kerajaan UMNO dan BN , mereka bukan sahaja jauh dari rahmat dan berkat Ilahi tetapi insyaallah akan terus dibuang dan dihumban oleh rakyat yang semakin hari semakin jelak dan muak dengan sikap berpura – pura Islam mereka .


Dewan Pemuda PAS Pusat turut menggesa agar seluruh mufti menunjuk sikap dan menyuarakan bantahan mereka terhadap kerajaan yang membenarkan penganjuran pesta maksiat ini agar mereka tidak hanya responsif terhadap isu seperti sumpah saiful bahri tetapi diharap turut menunjuk sikap bagi membersihkan bumi ini dari maksiat dan mungkar .


Yang Menjalankan Tugas
Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Tuesday, August 12, 2008

Ekspo GEMPAK PMRAM

Saya dapat satu mesej dalam Yahoo Massenger. Elok juga untuk dipanjang-panjangkan. Begini bunyinya:

Sahabat-sahabat yang disayangi, kunjungilah gerai jualan PROSMA '08 di Dataran Kompleks Hayyu Asyir pada 16-19 Ogos ini, bersempena Expo GEMPAK PMRAM (EGP). Antara yang menarik ADALAH: Jualan barang-barang sumbangan, jualan produk Prosma '08, bida harga barangan dan lain-lain. Hasil jualan akan disumbangkan sepenuhnya kepada umat Islam di Palestin.. "Membelilah Sambil Menderma".

Tesis Phd Berkenaan Dengan Yahudi Dalam Tafsir al-Tabari

Ada satu tesis Phd yang boleh dimanfaatkan oleh kawan-kawan dalam menghayati gaya bahasa al-Quran terhadap golongan Yahudi. Tesis dalam bahasa Arab ini yang bertajuk:

الآثار الواردة عن السلف في اليهود في تفسير الطبري جمعاً ودراسة عقدية

diharapkan dapat dikongsi oleh teman-teman di pengajian Islam. Saya sangat menganjurkan ada di kalangan para teman yang boleh membuat ringkasan dalam bahasa Melayu ataupun Inggeris agar dapat dikongsi oleh semua kawan-kawan mahasiswa dan masyarakat umum. Kalau ada yang telah menterjemah atau membuat ringkasan tesis ini dalam bahasa Melayu@Inggeris, boleh kirim kepada saya untuk dipaparkan di sini. Bagi yang ingin mendownload tesis ini, sila layari: http://saaid.net/book/10/3330.rar

Monday, August 11, 2008

Bila Benda Buruk Untuk Palestin..


Sakit hati saya bila barang-barang sumbangan kawan-kawan yang akan dijual untuk didermakan kepada Palestin tiba di pejabat PMRAM pada jam 11.00 malam, 11 Ogos. Ada ke patut ada orang yang sanggup berikan raga yang kotor untuk disumbangkan bagi membantu dana Palestin?

Pengumpulan barang-barang PROSMA adalah untuk dijual semula yang mana hasil jualannya akan diserahkan kepada rakyat Palestin. PROSMA bukan ruang untuk kita kemaskan rumah daripada barang-barang buruk kepunyaan kita. Allah itu baik dan hanya akan terima barang-barang yang baik.

Walau bagaimanapun saya ucapkan terima kasih kepada para dermawan sehingga ada yang sudi menyumbangkan printer untuk dijual demi membantu meringankan keperitan rakyat Palestin. Untuk si tuan punya 'raga', terima kasih atas raga anda.