Monday, May 4, 2009

Bila Orang Tua Itu Kanak-Kanak....


"Orang yang hanya bergantung harap kepada Asbab (sebab-sebab iaitu makhluk) sedangkan dia langsung terlupa kepada tuhan yang mencipta Asbab adalah seumpama kanak-kanak yang leka dan terkesan dengan boneka yang bergerak-gerak sedangkan kanak-kanak itu langsung tidak mengendahkan kepada orang yang menggerakkan boneka tersebut. Alangkah kebudak-budakannya seorang yang tua yang hanya bergantung harap kepada Asbab sedangkan dia terlupa bahawa Asbab itu ada tuhannya. Maka jadilah orang yang melihat setiap yang berlaku bahawa itu adalah perbuatan Allah dan aturanNya. Adapun Asbab, itu hanyalah makhluk Allah yang telah ditetapkan perjalanannya oleh Allah" - adabtasi dari kalam Fadhilat al-Syaikh Yusri al-Hasani -Hafizhahullah-.

*********

Para teman, bergantung haraplah kepada Allah. Bersyukurkan terhadap apa yang Allah tetapkan buat kamu sama ada ia adalah nikmat atau malapetaka kerana setiap yang berlaku ke atas kamu adalah ketetapan daripada Allah dan Allah sama sekali tidak menzalimi hambanya.

*********

Kata guru kami Fadilat al-Syeikh Yusri al-Hasani:

"Apabila anda diberikan nikmat, maka bersyukurlah kepada Allah. Apabila anda ditimpa musibah, maka bersabarlah. Apabila anda berada di dalam ketaatan, maka bersyukurlah kepada Allah dan jangan kamu melihat dirimu. Apabila kamu berada di dalam maksiat, maka bertaubatlah kepada Allah."

Kenapa Kemaruk Inginkan Kepimpinan?



Bising. Semua orang bising. Kawan-kawan di Mesir pun mula tak keruan. Gamat dan resah menanti upacara yang jarang berlaku dalam tradisi PAS. Upacara bersaing dalam merebut jawatan dalam perjuangan. Ramai kawan-kawan di Mesir khususnya minta saya ulas isu kegamatan dalam meraih jawatan dalam kepimpinan PAS akan datang. Wah. Satu permintaan yang cukup mengerikan.

*********************

Saya bukanlah dikatagorikan sebagai orang yang banyak terlibat dalam PAS. Waktu remaja saya yang habis dalam permusafiran ilmu di Mesir menyebabkan saya kurang bernasib baik dalam mewaqafkan diri dalam perjuangan Islam di Malaysia dari awal. Cuba bila pulang bercuti ke Malaysia sekitar dua atau tiga purnama, sahaya akan cuba bertatih-tatih memberikan sumbangan tenaga dan idea yang hanya sekelumit cuma.

Saya agak cenderung untuk terlibat di dalam PAS melalui sayap Dewan Ulama. Kalau pulang bercuti pun, dewan inilah yang menjadi sasaran kerja saya. Tapi apa sangatlah sumbangan kerdil yang boleh saya sumbang hanya dalam masa sesingkat dua bulan atau tiga bulan.

Sekarang ini, Dewan Ulama PAS Pusat sedang dijadikan lokasi tujahan. Macam-macam orang kata pada Dewan Ulama. Lembab,lembik, tidak berperanan secara maksimum, berfikiran sempit, tidak inovatif dan macam-macam lagi kritikan yang akan disuapkan pada rahang sang ulama.

Saya kurang berminat untuk mengulas kritikan ini. Cuma kritikan yang ditujukan kepada Dewan Ulama PAS Pusat ini semestinya disambut baik oleh para mahasiswa pengajian Islam. Maksud saya kita perlu merasa tercabar dengan kritikan ini. Alhamdulillah di bawah Dewan Ulama PAS Pusat, sudah ada sayap baru untuk mahasiswa Pengajian Islam bertatih dalam memberikan sumbangan kepada Dewan Ulama. Saya maksudkan adalah Ulama Pelapis.

Orang menghentam ulama. Ulama seakan-akan tak ubah seperti terompah kayu. Namun adakah mahasiswa dari al-Azhar, Jordan, Syria, Yaman, Arab Saudi dan mana-mana sahaja tempat yang lain tidak terfikir untuk membentengi dewan ini? Saya sangat berpendirian bahawa tenaga muda dari timur tengah dan pengajian Islam di Malaysia seyogianya terlibat di Dewan Ulama, bukannya Dewan Pemuda.

Memang. Ada orang tidak bersetuju dengan idea saya ini. Masa muda hanya sekali. Maka habisilah ia di Dewan Pemuda. Pandangan ini tiada celanya. Beradalah di mana-mana. Yang penting anda terlibat dan mengikat diri dengan PAS.

Tapi mengapa kita tidak mahu membanjiri Dewan Ulama. Dewan ini sekarang ini jadi bahan ketawa. Bahan sinis dan bahan lelucu. Nah. Adakah ia akan terus ditertawakan? Saya rasa kita dari mahasiswea Pengajian Islamlah yang sepatutnya memperkasakan dewan ini sehingga dewan ulung ini akan tampak peranannya dalam mendepani perjuangan Islam di Malaysia. Moga idea ini disambut oleh para teman. Jangan tak terlibat dengan PAS sebaliknya menyertai UMNO atau pasukan-pasukan pelambat kemenangan sudahlah.

Habis satu isu.

******************

Kenapa bingit sangat suasana pemilihan kepimpinan PAS di Malaysia hari ini? Saya risau dengan situasi ini. Moga-moga ianya sebagaimana yang dinyatakan oleh kekanda Us Din Tantawi hanya di dalam sangkar 'Fastabiqul Khayrat'.

Jawatan itu amanah. Ia adalah penyesalam di hari Qiamah. Teringat saya pada sepotong hadith Rasulullah yang sering meniti di bibir saya dalam meujuk hati hina ini agar tabah dan sabar menanggung amanah:



yang bermaksud:

Sesiapa yang meminta jawatan dan dia berusaha untuk meraih jawatan, maka jawatan akan diwakilkan kepadanya (tanpa ada bantuan daripada Allah Taala). Sedangkan sesiapa yang tidak meminta jawatan dan dia tidak pula berusaha untuk meraih jawatan (tetapi manusia mengamanahkan kepadanya untuk menjadi kepimpinan), maka Allah akan mengutuskan malaikat untuk membenarkannya (mengilhamkan keputusan yang paling terbaik buatnya). (riwayat Abu Daud)

Saya tidak tahu apakah sebenarnya situasi di Malaysia saat ini. Adakah ada di kalangan para aktivis PAS mula ingin kekayaan atau keglamouran? Adakah sudah ada yang bakal menangis sekiranya tidak diberikan jawatan atau tidak dicalonkan? Dalam jauh saya resah melihat suasana yang berlaku.

Saya tidak kisah sama ada kepimpinan itu dari golongan ulama ataupun profesional. Saya diajar untuk memberikan ketaatan kepada siapa sahaja kepimpinan yang dilantik sekalipun dia adalah hamba berkulit hitam yang hodoh rupanya. Walak kita adalah walak atas dasar kefahaman, atas dasar ingin menegakkan Islam di Malaysia.

Walak kita bukan kerana peribadi pimpinan ataupun dengan sebab kesian ataupun dengan sebab ada udang yang ingin ditangguk di sebalik jawatan yang dicita-citakan. Pohon dilindungi Allah daripada gilakan jawatan kerana habuan dunia.

Sekalipun begitu, saya lebih gemar sekiranya Presiden PAS akan datang tetap Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Saya sangat bersetuju dengan kepimpinan ulama. Kalau dibelek kitab politik silam, kebanyakan para ulama dulu telahpun menyatakan bahawa seorang khalifah itu mestilah seorang ulama yang sampai ke tahap ijtihad. Adapun ulama Hanafiyyah, mereka tidaklah mensyaratkan bahawa khalifah itu mesti dari golongan ulama mujtahid.

Alangkah moleknya pucuk tertinggi itu adalah seorang lelaki yang tahu selok-belok agama dengan dalam kerana perjuangan PAS adalah perjuangan agama. Alangkah moleknya sang ulama terus memimpin. Moga ilmu dan ketakwaannya mengiringi kemenangan Islam.

Itu pandangan saya. Ini juga bukanlah isu pokok. Ini adalah isu yang boleh kita berkhilaf.

Cuma sekiranya isu mempertikaikan kredibiliti kepimpinan ulama hanyalah topeng yang digunakan agar orang-orang yang mempunyai niat yang lain dapat menjadi kepimpinan PAS, maka saya bertawasul dengan baginda Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam, Ya Rasulullah, saya menjadikanmu duhai Rasul sebagai wasilahku agar dirimu duhai Rasul memohon kepada Allah agar Allah menggagalkan segala niat buruk dan jahat yang ingin dicapai dalam menggonggong jawatan ini. Ya Rasulullah. Kami merayu padamu agar dikau memohon kepada Allah moga Allah menyelamatkan perjuangan PAS yang kami sayangi ini daripada tangan-tangan makar yang hanya menjadikan PAS sebagai wasilah untuk niat busuk mereka.

Moga Allah memberkati perjuangan PAS dalam menegakkan Islam. PAS ini ada tuhannya. Maka Biarlah tuhan kepada PAS ini yang menjaganya. Amin.

Sunday, May 3, 2009

Selsema Babi - Bicara Allah Buat Kita


Saya memang dah lama ingin paparkan kepada para pembaca isi khutbah Jumaat lepas (1.5.2009) yang disampaikan oleh Dr. Yusri al-Hasani di masjid beliau. Isinya sangat menarik. Cuma kerana masalah internet yang tak dapat berfungsi dan saya tidak berada di rumah menyebabkan hasrat ini tergendalah. Alhamdulillah saya berkesempatan hari ini setelah internet di rumah saya dapat diperbaiki. Sungguh. Pelajar hari ini memerlukan dua perkara; internet dan laptop agar pelajar miskin seperti saya dapat meneliti dan membelek buku-buku serta manuskrip ulama silam yang sekiranya ingin dibeli, entah bila saya akan mampu untuk beli.

Berikut adalah beberapa isi khutbah Fadhilat al-Syaikh Dr. Yusri al-Hasani Jumaat lepas:

Pertama: Allah Taala Sedang Berbicara Dengan Kita.

Semasa zaman para nabi dan para rasul, Allah berbicara dengan mereka yang mulia ini melalui perantaraan wahyu. Namun apabila Nabi dan Rasul terakhir, Sayyidina Muhammad kembali ke hadrat Allah Taala, maka wahyu sudah tidak lagi menjengah bumi. Namun Allah tetap terus berbicara dengan manusia melalui peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kita perlu memandang setiap musibah dan ujian yang berlaku sebagai satu bentuk ucapan dari Allah yang ingin menyampaikan sesuatu kepada kita.

Kedua: Penyakit Yang Belum Pernah Berlaku Sebelum Ini Apabila Muncul Pada Zaman Ini...

Rasululllah pernah menyatakan bahawa apabila manusia semakin menjauhi Allah Taala, maka Allah akan menimpa mereka dengan pelbagai wabak dan penyakit yang belum pernah ditimpa kepada orang-orang terdahulu. (Saya akan paparkan kepada saudara hadith-hadith tersebut sedikit masa lagi). Ini adalah bukti kebenaran Nabi Muhammad Sallallahu Alayhi Wasallam.

Ketiga: Bala Yang Berlaku Adalah Natijah Jauhnya Manusia Daripada Mengikut Perintah Allah.

Apabila kemusnahan dan musibah itu berlaku kepada tanaman, maka Allah ingin berbicara dan menyatakan kepada kita bahawa manusia tidak menunaikan hak Allah yang ada pada tanam-tanaman. Lalu Allah membinasakan tanaman agar manusia kembali sedar bahawa mereka tidak menunaikan hak mereka terhadap golongan fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan.

Apabila kemusnahan itu berlaku pada binatang ternakan, maka itu adalah tanda bahawa kewajipan yang berkaitan dengan binatang ternak tidak dilunaskan oleh manusia. Berapa ramai pengusaha jualan daging ayam tidak menunaikan zakat perniagaan. Akhirnya Allah ingin menarik kembali orang Islam daripada terus lalai dengan cara menurunkan selsema burung yang menyerang binatang-binatang ternakan agar orang yang berfikir dapat memahami bicara Allah.

Hari ini kita diserang dengan satu wabak baru iaitu selsema babi. Babi adalah binatang yang Allah haramkan orang-orang Islam memakannya. Bagaimana binatang yang diharamkan ini boleh diternak dan dibiakkan di dalam negara-negara umat Islam?!! Ketua Paderi Mesir; Baba Syanoda sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa agama Kristian turut mengharamkan penganutnya memakan babi sebagaimana yang termaktub di dalam Old Testament.

Akhirnya bagi menyedarkan orang-orang Islam bahawa mereka wajib melunaskan suruhan Allah yang berkenaan dengan babi, Allah menurunkan selsema babi sebagai amaran dari Allah.

Keempat: Apabila Seseorang Muslim Itu Menjauhi Allah, Dia Akan Diuji Oleh Allah.

Ujian yang Allah timpakan kepadanya hanyalah agar dia kembali berfikir dan bertafakkur dalam menginsafi diri atas maksiat yang dilakukannya. Maka dia akan menyatakan dari jauh hati kecilnya bahawa Allah menimpanya dengan pelbagai masalah dan musibah hanya semata-mata kerana ingin dia kembali pada Khaliqnya.

Suasana ini sangat berbeza dengan orang yang bukan Islam. Semakin mereka menjauhi Allah, mereka akan diluaskan dengan pintu nikmat dan kemewahan kerana kemewahan yang mereka kecapi hanyalah di dunia ini semata-mata. Selepas mereka menemui Allah, mereka akan menanggung kemurkaan Allah selama-lamanya. Azab dan siksa yang tidak akan berlalu akan terus dirasai oleh mereka disebabkan kekufuran mereka kepada Allah Rabbul Jalil.

Kelima: Penyakit Taun Yang Dahsyat

Berlaku pada zaman Mamalik di Mesir satu musibah yang cukup mengerikan yang menyerang Mesir ratusan tahun yang lampau. Mesir pernah dilanda dengan wabak taun yang telah membunuh 20% penduduk Mesir ketika itu. Sejarawan menyatakan bahawa wabak yang dahsyat ini telah menyebabkan berlakunya satu fenomena iaitu: harta seseorang yang baru meninggal dunia kerana diserang taun ini akan berpindah milik pada hari kematian tersebut kepada golongan yang ketujuh yang berhak menerima harta pusaka. Ini kerana seusai matinya seseorang itu, anak-anaknya akan turut mati dan seterusnya dan seterusnya sehingga harta pusaka akan terus beralih kepada pihak yang ketujuh disebabkan pihak yang pertama hingga pihak yang keenam turut meninggal dunia pada hari yang sama.

Sekiranya diteliti kepada suasana yang berlaku sebelum taun yang menggila ini menyerang Mesir, kita akan mendapati bahawa jenayah LIWAT adalah tersebar luas di kalangan pemerintah Mesir ketika itu (golongan Mamalik) sehingga setiap seorang di kalangan mereka memiliki seorang kekasih lelaki yang akan diliwatnya.

Allah yang Maha Adil dan Maha Penyanyang akhirnya membersihkan Mesir daripada kekotoran ini dengan mengutuskan wabak Taun untuk dijadikan pengajaran kepada umat-umat yang mendatang.

Keenam: Teruskan Amalan Baik Anda.

Menjadi satu fitrah dan Sunnatullah bahawa seseorang yang sudah biasa dan melazimi satu perbuatan baik tertentu apabila dia meninggalkan kelaziman tersebut, Allah akan memberikan kepada dia ujian dan musibah agar dia kembali memikirkan kesilapannya. Ujian yang diberikan ini hanyalah kerana Allah inginkan perbuatan baik dan soleh itu diteruskan.

Berlaku pada diri Dr. Yusri sendiri apabila seorang wanita Mesir dalam lingkungan umur 60 tahun datang menemui Dr. Yusri yang turut merupakan seorang pakar bedah. Wanita tersebut mengadu bahawa dia mengalami kesakitan yang amat sangat di bahagian perutnya. Dr. Yusri dan para doktor yang lain kebingungan apabila segala penelitian dan ujikaji kedoktoran yang telah dibuat tidak menatijahkan sebab penyakit tersebut. Punca kesakitan itu tidak berjaya ditemui namun si sakit tetap merasai kesakitan yang amat sangat.

Wanita itu akhirnya menceritakan kepada Dr. Yusri al-Hasani bahawa beliau mempunyai satu sikap yang baik iaitu menyembelih kambing setiap tahun dan menyedekahkan daging kambing tersebut kepada fakir miskin di kampungnya. Namun sudah dua tahun dia tidak menyembelih kambing untuk disedekahkan kepada fakir miskin.

Sebaik sahaja Dr. Yusri mendengar kisah wanita tua ini, beliau terus menyatakan di dalam hatinya bahawa inilah punca wanita ini diuji Allah.

Beliau terus meminta wanita ini menelefon keluarganya agar membeli seekor kambing, menyembelihnya dan menghadiahkan daging tersebut kepada fakir miskin sebagaimana kebiasaan wanita ini sebelum ini.

Subhanallah. Selepas dua hati daging kambing disedekahkan kepada fakir miskin, penyakit wanita ini hilang serta merta. Maha Suci Allah yang menurunkan penyakit dan Maha Suci Allah yang menyembuhkan penyakit.


***********************

Begitulah beberapa fakta yang sempat saya kutip daripada khutbah Jumaat yang disampaikan oleh guru kami, Fadhilat al-Syeikh Dr. Yusri al-Hasani. Semoga Allah memberkati beliau di dunia dan di akhirat dengan barakah datuk beliau yang teragung, Nabi Muhammad Sallallahu Alayhi Wa Alihi Wasallam.

Friday, May 1, 2009

Nabi Allah Sulaiman Alaihissalam, Raja Yang Mensyukuri Allah



Seusai kelas di Jabal Muqattom bersama-sama al-Syaikh Yusri al-Hasani, saya meneruskan perjalanan saya ke Sayyidah Zainab untuk menziarahi para teman di sana. Hari ini kami sama-sama menghayati Surah al-Naml bermula dari ayat 1 hingga ayat 33. Banyak faedah yang saya dapat kongsi daripada para teman. Moga-moga catatan ini bermanfaat buat kalian.

*******

Ayat yang kami baca ini mengisahkan sekelumit sejarah hidup dua orang Nabi Allah iaitu Nabi Allah Musa dan Nabi Allah Sulaiman. Antara yang saya tertarik untuk berkongsi dengan para pembaca adalah sikap Nabi Allah Sulaiman yang dianugerahkan oleh Allah kekuasaan, kerajaan, kekayaan, bala tentera yang ramai daripada kalangan manusia, jin, binatang dan makhluk-makhluk Allah Taala yang lain.

Walaupun baginda dalam masa yang sama memikul amanah seorang Rasul dan amanah seorang raja, keistimewaan dan kegagahan yang dimiliki oleh baginda sama sekali tidak memberi kesan ke atas jiwa baginda untuk menjadi seorang hamba Allah yang bongkak dan sombong di hadapan Allah.



Kisah Nabi Allah Sulaiman dan bala tenteranya yang melalui lembah semut cukup menunjukkan betapa merendah dirinya baginda kepada Allah. Suara seekor semut yang berteriak meminta semut-semut yang lain masuk ke dalam sarang masing-masing agar tidak diinjak dan dipijak oleh Nabi Allah Sulaiman dan bala tentera baginda rupa-rupanya difahami dan didengari oleh Nabi Allah Sulaiman yang diberikan kurnian oleh Allah sehingga dapat memahami bahasa binatang. Baginda sambil tersenyum dan ketawa mengucapkan syukur pada Allah dengan kata-kata baginda yang diabadikan oleh Allah Taala:



yang bermaksud:

Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Maha Suci Allah yang memilih para nabi dan para rasul agar kami dapat mencontohi insan-insan pilihan ini.

Kelebihan dunia, pangkat, kemewahan, sokongan makhluk Allah seluruhnya yang Allah kurniakan kepada Nabi Sulaiman sama sekali tidak menyebabkan baginda menjadi seorang yang angkuh bahkan yang berlaku adalah doa seorang hamba yang dituturkan tanda bahawa baginda hanyalah seorang hamba kepada Khaliqnya.

Betullah. Dunia itu sepatutnya berada di tangan yang kita boleh lempar bila-bila masa sahaja yang kita inginkan. Dunia tidak sepatutnya berada di dalam hati sang hamba sehingga dia begitu payah untuk menjadikan Allah segala-galanya lantaran dunia sudah berbekas di dalam atmanya.

Begitulah para nabi dan rasul. Kesenangan dan kesusahan mereka sama sekali tidak menjauhkan mereka daripada tunduk, patuh dan menyembah Allah. Nabi Musa dengan masalah dalaman Bani Israil yang beriman kepada baginda namun cukup kurang ajar terhadap Rasul mulia ini. Nabi Sulaiman dengan kegagahan dan kerajaan yang cukup besar. Nabi Ayyub dengan kesengsaraan baginda menanggung penyakit yang lama. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang mengikut perut dengan batu kerikil kerana bersabar atas kelaparan dan kemiskinan sedangkan baginda adalah kekasih tuhan.

Ya Allah. Saya belum pernah menanggung kemiskinan dan kelaparan sedemikian rupa bahkan saya menjangkakan para pembaca tidak pernah lagi menanggung keperitan lapar sehingga batu-batu kerikil menjadi pengikat perut kita. Tapi kekasih Allah, Sayyidina Muhammad redha atas kemiskinan dan kefakiran kerana baginda ingin mencari kasih tuhanNya.

Adakah wajar bagi saya untuk beralasan di hadapan Allah untuk tidak menginfaqkan jiwa ini buat Allah, RasulNya dan ummat baginda hanya semata-mata alasan dangkal bahawa saya ini orang miskin atau saya ini terlalu kaya sehingga sibuk menguruskan harta atau saya ini ditimpa kesulitan berupa penyakit lalu saya tidak sempat untuk berjuang di jalan Allah. Adakah saya masih punya alasan bila Allah menghadapkan insan-insan agung ini, Nabi Ayyub, Nabi Sulaiman dan Nabi Muhammad -Alaihim Afdhal al-Solatu wa Atamm al-Taslim-.

Ya Allah. Saya insan celaka kerana terlalu jauh dariMu.

Ya Tuhan. Ampunkan insan celaka ini agar dia diberikan cintaMu dan cinta RasulMu. Amin.

Jawatan : Antara Rebutan di dunia ...

Pagi ini selepas kami mempelajari hadith-hadith Rasulullah yang dimuatkan dalam Jami' al-Imam al-Tarmidzi daripada al-Syaikh Dr. Yusri al-Hasani, saya dan saudara Juzaili sempat duduk sebentar membincangkan isu perebutan jawatan dalam kepimpinan. Kami berdua saling mempunyai pandangan yang sama bahawa seseorang itu tidak boleh menginginkan jawatan apabila dia ingin menjadikan jawatannya sebagai wasilah untuk dia menjadi masyhur dan dapat mengaut keduniaan. Namun sekiranya seseorang itu inginkan jawatan hanya semata-mata dia ingin menjadikan jawatannya itu sebagai wasilah dalam menegakkan agama Allah dan mempertahankan Syariat Islam, maka itu tidaklah menjadi satu perbuatan yang dicela sebagaimana yang dilakukan oleh Sayyidina Abu Dzarr al-Ghifari yang memohon sebarang jawatan daripada baginda Rasulullah agar beliau dapat menyumbangkan sumbangan yang mulia buat Islam.

Singgah di pejabat sebelum saya ke Sayyidah Zainab, sempat saya membelek blog ustaz Din Tantawi. Subhanallah. Apa yang saya dan ustaz Juzaili bincangkan turut dibincangkan oleh beliau. Berikut saya paparkan kepada saudara tulisan beliau agar barakah minda Tuan Guru Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengharumi blog saya yang faqir ini.

**************************************************************************************

Sumber: http://episodeperjuangan.blogspot.com/2009/05/jawatan-antara-rebutan-di-dunia.html

Jawatan : Antara Rebutan di Dunia
dan Bebanan di Akhirat

Assalamu'alaikum wm wb,

Sahabat-sahabat pimpinan jama'ah yang dikasihi,

Kita hendaklah sentiasa memuhasabahkan diri agar kita sentiasa berada di jalan yang benar dan diredhai ALlah.

Sebentar tadi(jam 2.30pm) Ustaz Tuan Ibrahim bin Tuan Man menghubungi saya. Antaranya memohon agar saya memasukkan tulisannya ini dalam blog saya untuk renungan kita semua khususnya pimpinan di peringkat kawasan, negeri, pusat dan dewan-dewan.

Tulisan beliau adalah seperti di bawah;Sewaktu Nabi mengiklankan satu jawatan untuk diisi oleh para sahabat, lalu datanglah Abu Zar al-Ghifari memohon jawatan tersebut, melihat yang memohon itu Abu Zar, lalu nabi menyatakan

« Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau lemah, sedangkan jawatan ini satu amanah, kelak nanti di hari akhirat engkau akan akan dukacita dan menyesal ; melainkan engkau ambil dengan selayaknya dan engkau tunai pula amanahnya’.

Hadis ini seharusnya menjadi dasar pegangan setiap kita agar tidak terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan, kerana beratnya bebanan yang terpaksa ditanggung nanti. Muawiyah bin Abu Sufyan disaat kematiannya menungkapkan kata-kata masyhur ‘Alangkah sedikitnya bekalan, alangkah jauhnya perjalanan dan alangkah beratnya bebanan’.

Rasulullah juga pernah memberi amaran antara lain mafhumnya ‘ jangan kamu mendesak untuk mendapatkan jawatan, kerana sesiapa yang mendapatkannya sedang orang ramai tidak meredhainya, maka Allah tidak akan membantunya’. AlHamdulillah, semangat keimanan tersebut telah tersemat kukuh dalam jamaah kita, sehingga setiap kita merasa berat untuk menerima jawatan tersebut.

Tetapi kita juga sedar dengan apa yang diucapkan oleh Presiden, menerima jawatan dalam jamaah adalah perlumbaan untuk membuat kebaikan dan memperjuangkan Islam. Kita rasa seronok bilamana kita boleh menyumbangkan sesuatu kepada jamaah, walaupun kita tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti.

Betapa ramainya golongan yang ikhlas dalam perjuangan ini sanggup korbankan harta, masa dan tenaga untuk kemenangan Islam, walau mereka tidak memegang apa-apa jawatan dan jauh dari dipilih sebagai calon dalam pilihanraya.

Jamaah kita didokongi oleh ahli yang ikhlas, kepimpinan yang wibawa dan kemantapan jamaah yang hebat. Kita sedar musuh amat cemburu dengan muafakat jamaah yang kita ada.
Mereka cuba memecahkan perpaduan kita, mereka cuba laga-lagakan antara kita, kerana itu kita harus sedar agar tidak jadi jurucakap bagi pihak musuh. Dalam kebimbangan dan ketakutan untuk menerima amanah ini, kita juga diberi amaran oleh Rasulullah antara lain Baginda mengingatkan sesiapa yang ummah/orang ramai mengharapkan kepadanya untuk menjaga maslahah mereka, lalu dia melarikan diri ( enggan menerima) maka aku tak ingin berjumpa dengannya nanti di padang mahsyar.

( Nauzubillah). Oleh itu pertimbangan yang wajar ialah berada di antara takut dan harap. Takut Rasulullah murka, dan harap Allah bantu dengan amanah ini.oleh itu menjadi tanggungjawab perwakilan yang menerima amanah ahli bawahan meneliti dengan keilmuan, menolak sentimen dan emosi, meletakkan kepentingan jamaah di hadapan agar membuat pilihan yang sebaik-baiknya bagi menerajui kepimpinan jamaah kita.

Namun kemungkinan pilihan kita bertepatan dengan pilihan ramai, lalu yang kita cadang menerima amanah; atau mungkin juga berlaku sebaliknya. Kita harus sedar, setelah diputus oleh jamaah maka kita mesti wala’ kepada kepimpinan yang dipilih. Perlantikan sebagai pimpinan menuntut kita taat dan wala’ kepadanya ‘ walaupun dari hamba berkulit hitam, berbangsa Habashi sekalipun’.

Ini lebih penting dari pemilihan, kerana soal pemilihan boleh selesai dalam sehari, tetapi soal wala’ akan berpanjangan sehingga muktamar akan datang. Kepada yang terpilih menerajui kepimpinan kawasan, dewan dan akan terpilih dalam muktamar pusat, ingatlah akan doa saidina Umar alKhattab

“ Ya Allah, engkau telah bebankan aku dengan bebanan yang berat di dunia, maka janganlah engkau bebankan pula aku dengan bebanan yang berat diakhirat”.

Ingatlah kita sebenarnya belum diuji oleh Allah dengan kemenangan besar yang menanti kita- Semoga Allah tidak menguji kita sebagaimana Allah menguji umat sebelum kita, Wassalam.

Mau'izah untuk ana dan para sahabat;

Tuan Ibrahim Tuan Man,

Posted by Ustaz Nasrudin Tantawi at 10:18

Beramallah Kerana Allah

Syukur pada Allah kerana pagi ini saya dapat pergi mendamba ilmu daripada Fadhilat al-Syaikh Dr. Yusri al-Hasani di masjid beliau di Muqattam selepas solat Subuh. Sudah hampir dua minggu saya tidak mendengar mutiara-mutiara ilmu daripada beliau disebabkan masalah pengangkutan dari Hayyu Asyir ke Muqattam selepas solat Subuh.

Sudilah saya ingin berkongsi dengan para pembaca beberapa kesimpulan ilmu yang saya dan para teman yang lain ambil daripada ulama besar ini.

Pertama: Beramallah Hanya Kerana Allah.

Beliau menuturkan kepada kami:

من عمل عملا من أجل نفسه .. متكبر . ومن عمل عملا من أجل الناس .. مُراءٍ . والمتكبر أشدُّ

yang bermaksud:

Sesiapa yang beramal kerana dirinya maka dia adalah seorang yang takabbur. Sesiapa yang beramal kerana untuk memperlihatkannya kepada manusia, maka dia adalah seorang yang riyak. Orang yang takabbur adalah lebih teruk daripada orang yang riyak.

Kedua: Rasulullah Tidak Akan Tidur Melainkan Baginda Membaca Surah Al-Isra Dan Surah Al-Zummar.

Ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmidzi dalam Jamiknya di dalam Kitab Fadhail al-Quran.

Ketiga: Sesiapa Yang Tidak Mempunyai Guru, Maka Syaitan Adalah Gurunya.

Fadhilat al-Syaikh Yusri menyatakan kepada kami bahawa maksud 'Syaitan' dalam petikan ini adalah akal dan hawa nafsu seseorang. Ini kerana sesiapa yang membaca buku-buku karangan ulama Islam sedangkan dia tidak mempunyai guru yang ahli di dalam ilmu Islam, maka orang ini akan membaca buku-buku tersebut semata-mata hanya berpandukan kefahaman dirinya dan hawa nafsunya. Akhirnya dia akan tersilap dalam memahami teks yang ingin disampaikan oleh ulama silam. Namun sekiranya dia mempunyai guru di kalangan para ulama yang muktabar, dia akan dapat membaca buku-buku karangan para ulama dengan berpandukan kefahamannya di samping pengetahuan sang guru yang beliau warisi dari para ulama yang lepas.

Keempat: Qadha' dan Qadar Allah Ada Dua Jenis; Qadha' Mubram Dan Qadha' Mu`allaq.

Qadha' Mubram adalah ketentuan Allah yang telahpun Allah putuskan semenjak azal tanpa ada sebarang perubahan walau apa cara sekalipun. Qadha' Mu`allaq pula adalah ketentuan yang Allah gantungkan keputusannya. Contohnya seperti Allah menentukan: "Sekiranya seorang hamba tertentu memberikan sedekah pada hari tententu, dia akan diselamatkan daripada kemalangan jalanraya. Sekiranya dia tidak bersedekah pada hari tersebut, dia akan ditimpa dengan kemalangan jalanraya.

وصلى الله على سيدنا وحبيبنا وقدوتنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم والحمد لله رب العالمين

Thursday, April 30, 2009

Gerakan Islam Perlu Bersatu



Sumber: http://malaysianchronicle.blogspot.com/2009/04/gerakan-islam-perlu-waspada-musuh.html

PAS sangat mengimpikan kerajaan Islam di Malaysia. Sejarah parti itu juga dilakar sebagai cabang dari pelopor gerakan dakwah terbesar di dunia, Ikhwan Muslimin di Mesir, yang diasaskan oleh Assyahid Imam Hasan Albana.

PAS meletakkan dasar perjuangan parti bersandarkan hujah-hujah Islam iaitu Quran, Sunnah, ijmak Ulama dan Qias.

PAS percaya, dengan mengamalkan hukum-hukum Islam dalam negara, bahkan seantero dunia, boleh menyelamatkan manusia dan alam dari segala kerosakan dan kezaliman.

Ini berikutan, Islam bukan sekadar amalan ritual semata-mata tetapi mencakupi segala aspek dalam kehidupan dari bab ibadah sehinggalah kepada siasah.

Malah segala persoalan dalam kehidupan mampu dijawab dengan hujah-hujah Islam.

Pada zaman ketamadunan Islam pula, semua asas keilmuan dihasilkan oleh tokoh-tokoh Islam.

Antaranya ahli matematik terkenal-Abu Abdullah Mohammad Ibn Musa al-Khawarizmi, ahli astronomi-Abul Wafa Muhammad Al-Buzjani, ahli saintis- Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina dan Abu Bakar Muhammad bin Zakaria al-Razi, pakar perubatan- Ibnu Sina, ahli falsafah, Fakhruddin al-Razi, sasterawan-Khojeh Shamsuddin Muhammad Hafez Shirazi dan Hamzah Fansuri.

Bukan sahaja PAS, tetapi seluruh gerakan Islam di dunia mengimpikan perkara yang sama, iaitu menghidupkan semula pemerintahan berasaskan khalifah yang telah hilang, terakhirnya di Turki di bawah Daulah Uthmaniyyah.

Kuasa imperial dan kolonial Anglo Amerika sangat risau jika impian seluruh umat Islam ini tercapai. Mereka mendakwa kehidupan akan lebih mundur di bawah pemerintahan Islam, bersifat teokrasi semata-mata, tiada kebebasan dan menyekat kebebasan beragama dan gender.

Justeru, impian mereka untuk melaksanakan agenda 'new world' akan tersekat dek kuasa baru dari timur tengah ini.

Para kapitalis adalah golongan yang amat risau sekali. Di bawah pemerintahan Islam, ekonomi berasaskan riba gawat justeru menyekat kuasa monopoli yang sebelum ini amat menguntungkan.

Malah, kebergantungan sesuatu perniagaan adalah bersandarkan kepada dinar emas sebagai komoditi. Instrumen ini dijadikan perantara dalam penentuan kadar/nilai perdagangan bersama negara-negara lain.

Lalu bertambah risaulah para pencipta wang kertas, tambahan hasil bumi yang banyak hanya terdapat dalam negara-negara Islam sahaja. Maka sumber alam itu dianggap sebagai talian hayat bagi membolehkan sesebuah negara bernafas sampai masa akan datang.

Maka tercetuslah peperangan. Berperang untuk merebut asas kehidupan iaitu punca-punca ekonomi seperti petroleum, gas, bijih timah, perladangan dan sebagainya.

Kapitalisma dan peperangan mempunyai hubungan yang sangat rapat.

Kapitalisma baru ini telah mengembangkan sebuah perlumbaan senjata sejak ia bermula selepas hujung Perang Dingin.

Negara-negara Islam juga, malah diperbataskan melalui persempadanan geografi. Dari sebuah tanah Islam yang besar, hinggalah pecah kepada beberapa negara seperti Mesir, Jordan, Syria, Iraq dan Arab Saudi.

Akibatnya, pemimpin-pemimpin negara timur tengah itu hanya menjaga negara dan rakyat mereka sahaja.

Dengan dakyah koloni iaitu pecah dan perintah, umat Islam diajak berebutkan pemerintahan atas nama manjanya, demokrasi.

Kuasa memerintah hanya diserahkan kepada pemimpin tempatan yang boleh menjaga kepentingan penjajah sahaja. Kuasa memilihnya adalah rakyat. Biarpun raja atas carta tertinggi namun kuasa imuniti dihilangkan sebagai menghalang kuasa pemutus.

Bagi rakyat kebanyakan, media dikawal selia oleh pemerintah. Kehendak sosial seperti hiburan, sukan, program realiti dipersembahkan bagi melalaikan mereka dari isu yang paling utama.

Wartawan dan pembuat dokumentari, John Pilger, seorang penerbit rancangan television (The New Rulers of The World) mendakwa 'pemerintah baru dunia' ialah sebuah junta ekonomi yang terdiri daripada perusahaan-perusahaan multinasional dan kuasa-kuasa imperial, khususnya Amerika Syarikat.

"Walaupun projek ini memang lama, bermula lebih 500 tahun dahulu, keadaan era moden telah berubah dengan pesat sekali. Perusahaan-perusahaan multinasional bukan sahaja telah mengambil-alih, malah kerajaan Amerika Syarikat tidak pernah lebih berkuasa daripada sekarang.

Tetapi ia merupakan sebuah gabungan, sebuah integrasi di antara kuasa kerajaan dengan perusahaan multinasional yang merupai badan diktator," tegasnya.

Antara kekuatan dan kekuasaan kolonial adalah melalui bahasa. Ya, bahasa melambangkan bangsa.

Di Malaysia sendiri, bahasa Melayu sukar bernafas berbanding bahasa Inggeris yang disanjung tinggi. Malahan, bagi rakyat yang tidak tahu berbahasa Inggeris akan berasa rendah diri.

Para pelajar pula terpaksa mempelajari bahasa Inggeris bagi mencapai keperluan antarabangsa. Ini kerana, setiap ilmu kepada asas kehidupan yang pada asalnya dipelopori oleh tokoh-tokoh Islam sudah beralih kepada barat.

Maka, keperluan memahami dan mempelajari bahasa tersebut adalah penting bagi memiliki semula khazanah yang telah dirampas dahulu.

Mahu tidak mahu, bagi menewaskan penjajahan bentuk baru itu, gerakan-gerakan Islam yang tumbuh dalam negara, yang berhadapan serangan halus berupa era demokrasi moden, perlu bertanding dalam pilihan raya sebagai pra syarat memerintah negara.

Walaupun boleh memilih jalan yang paling singkat iaitu peperangan, namun ia bukanlah jalan terbaik mengikut hak asasi manusia. Tambahan melanggar undang-undang antarabangsa, pencerobohan tersebut hanya memburukkan imej Islam di persada global.

Lalu, memilih gerakan Islam sebagai wadah perjuangan adalah kewajipan kepada penganut beragama Islam sendiri, bagi menghidupkan semula ketamadunan Islam yang telah hilang dahulu.

Apapun masalah yang berlaku kepada pimpinan dalam gerakan Islam, ia adalah masalah individu itu sendiri. Sedikitpun kecacatan tersebut bukan disebabkan oleh peraturan yang selalu digunakan oleh pejuang-pejuang agama, dahulukala.

Bergabung di bawah satu panji adalah penting untuk mempercepatkan kemenangan Islam. Apakah masalahnya untuk tidak menyatakan sedemikian justeru mewujudkan pelbagai kumpulan tetapi atas matlamat yang sama?

Sekiranya hal tersebut berterusan, secara tidak sedar, umat Islam yang mendakwa dirinya sebagai pejuang agama, sudah terpedaya dengan penjajahan bentuk baru yang diamalkan penjajah; iaitu memecah-belahkan sesama umat kepada beberapa kumpulan.

Akibatnya, mereka berselisih dalam perkara cabang agama, mereka bergaduh hanya disebabkan perbezaan uslub dakwah, mereka juga menyalahkan antara satu sama lain, tanpa menyedari musuh yang sebenar sedang ketawa memerhatikan mereka dan menunggu masa untuk menikam mereka dari belakang!