Thursday, May 22, 2008

Mahasiswa Islam Dan Tanggungjawab Terhadap Masa Depan Islam.

Suluhan wahyu pertama adalah satu bentakan yang menggesa agar ilmu dijadikan sebagai agenda untuk mencari ketuhanan hakiki. Suluhan "Iqrak" telah menobatkan Islam sebagai agama yang tidak takut untuk berhadapan dengan hujah dan ilmu. Mengapa Islam perlu takut sedangkan Allah memerintahkan dalam wahyu pertama agar manusia membaca Al-Quran yang mengandungi bukti dan hujah bahawa kebenaran itu hanyalah Islam.

Allah memuliakan golongan pencinta ilmu. Dengan ilmu yang digalas, seseorang cendekiawan Islam itu akan mampu untuk menerjah ke dalam lubuk sanubari manusia agar tunduk dan menyerah diri di hadapan keagungan Allah dan Islam. Dengan hujah yang dilancarkan ditambah dengan keikhlasan si alim untuk mengharap cinta Allah semata-mata, hati sang pendengar akan diketuk untuk menerima Islam. Tidak hairanlah apabila usaha untuk mencari ilmu dinobatkan sebagai jihad yang paling besar di sisi ulama.

Al-Imam Al-Qadhi Nasiruddin Al-Baidhawi berkata di dalam kitab terakhirnya[i]:

فأمروا أن ينفر من كل فرقة طائفة إلى الجهاد ويبقى أعقابهم يتفقهون حتى لا ينقطع التفقه الذي هو الجهاد الأكبر لأن الجدال بالحجة هو الأصل والمقصود من البعثة

bermaksud:

Lantas mereka (para sahabat Rasulullah) diperintah untuk memastikan setiap daripada kumpulan itu ada beberapa individu yang keluar berperang manakala individu yang berbaki hendaklah kekal (bersama Rasulullah) untuk menuntut ilmu agar tidak terputusnya proses menuntut ilmu yang merupakan jihad yang paling besar. Ini kerana berdebat dengan hujah adalah perkara pokok dan tujuan kebangkitan (para rasul).

Semestinya para pemunggah ilmu patut untuk berasa bangga apabila golongan yang menuntut ilmu diberikan penghormatan oleh Islam. Golongan ini didewa-dewakan di dalam Al-Quran dan mutiara kata Rasul tercinta. Namun penghormatan yang diberikan oleh Islam kepada golongan ini hanyalah akan bermakna sekiranya tanggungjawab untuk menyebarkan Islam digalas dan diperjuangkan oleh golongan ini. Sekiranya para alim hanya mencari gah untuk disebut-sebut kehebatannya sedangkan dia umpama mayat bisu yang termanggu-manggu melihat kebejatan umat, maka golongan alim sudah tidak mempunyai erti.

Al-Quran telah menerangkan bahawa hakikat kemulian golongan para ulama hanyalah apabila mereka sanggup untuk menyatakan kebenaran sekalipun ia adalah satu perkara yang bakal membawa kepada kecundangnya mereka daripada terus melihat sang mentari untuk hari esok.

Firman Allah Taala di dalam Surah Al-Taubah Ayat 122:


وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَآئِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِى الدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُواْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Untaian wahyu ( لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ ) adalah bukti bahawa syarat untuk menobatkan seseorang alim itu menjadi mulia atau hina adalah kesanggupannya untuk berusaha mencorakkan masyarakat daripada satu masyarakat yang melanggari arahan tuhan kepada satu masyarakat yang mendambakan kasih tuhan.

Para penuntut ilmu pada hari ini sekalipun masih belum layak untuk digelar ulama, namun ulama bil quwwah (generasi yang berpotensi untuk menjadi ulama masa hadapan) ini perlu sedar bahawa tugasan sebagai ulama yang bakal disandang bukanlah satu tugas untuk menjadikan pencarian sesuap rezeki sebagai tujuan utama. Bidang ini bukan bidang untuk menjadi terkenal, disanjung dan dipuja. Bahkan bidang menggalas nubuwwah peninggalan para rasul terdahulu ini adalah untuk memastikan Islam dijadikan sebagai raja yang memutuskan segala perkara dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar urusan.

Para mahasiswa Islam perlu sedar bahawa tugasan para Rasul dan Nabi terdahulu adalah untuk menyampaikan aqidah Islam yang mentauhidkan Allah dan menjadikan syariat Islam sebagai penguasa dunia. Islam adalah diturunkan untuk menjernihkan hati manusia dengan aqidah suci dan untuk menjadi raja yang bakal mempersembahkan keadilan kepada manusia sejagat.

Pencetus ilmu sains kemasyarakatan, Ibnu Khaldun telah menjelaskan peri pentingnya agama Islam untuk memastikan perjalanan sesebuah tamadun kemanusiaan akan dapat terus berada dalam di puncak kegemilangan yang hakiki.

Beliau berkata:

وأحكام السياسة إنما تطلع على مصالح الدنيا فقط يعلمون ظاهرا من حياة الدنيا ومقصود الشارع بالناس صلاح آخرتهم فوجب بمقتضى الشرائع حمل الكافة على الأحكام الشرعية في أحوال دنياهم وآخرتهم وكان هذا الحكم لأهل الشريعة وهم الأنبياء ومن قام فيه مقامهم وهم الخلفاء


فقد تبين لك من ذلك معنى الخلافة وأن الملك الطبيعي هو حمل الكافة على مقتضى الغرض والشهوة والسياسي هو حمل الكافة على مقتضى النظر العقلي في جلب المصالح الدنيوية ودفع المضار والخلافة هي حمل الكافة على مقتضى النظر الشرعي في مصالحهم الأخروية والدنيوية الراجعة إليها إذ أحوال الدنيا ترجع كلها عند الشارع إلى اعتبارها بمصالح الآخرة فهي في الحقيقة خلافة عن صاحب الشرع في حراسة الدين وسياسة الدنيا به[ii]

yang bermaksud:

Undang-undang politik hanya memerhatikan manfaat keduniaan semata-mata. Mereka (iaitu orang-orang yang terlibat dengan politik keduniaan) hanya mengetahui perkara yang zahir di dunia semata-mata.


Tujuan Allah terhadap manusia adalah kemanfaatan mereka yang bersifat ukhrawi. Maka menjadi satu kewajipan berdasarkan tuntutan-tuntutan syariat Islam untuk membawa semua manusia keseluruhannya menerima hukum-hukum syarak dalam hal-hal manusia yang bersifat duniawi dan ukhrawi.


Hukum ini (iaitu arahan untuk menjadikan Islam sebagai pemutus) adalah ditujukan kepada golongan yang memahami syariat iaitu para nabi dan individu yang membawa tugasan mereka iaitu para pemerintah.


Maka jelaslah buat kamu:


· makna khilafah


· sesungguhnya kerajaan yang bersifat tabi`e (iaitu kerajaan yang bertunjangkan hawa nafsu) adalah bertujuan untuk membawa seluruh manusia kepada kehendak peribadi dan syahwat


· Kerajaan yang bersifat politik adalah bertujuan untuk membawa semua manusia kepada menerima keputusan-keputusan yang dikeluarkan oleh pandangan akal untuk mendapat manfaat-manfaat keduniaan dan mengelakkan daripada menerima kecelakaan


Khilafah (yang hakiki pula) adalah bertujuan untuk membawa seluruh manusia bagi menerima keputusan yang telah ditetapkan oleh pandangan syarak yang telah melihat manfaat-manfaat manusia yang bersifat ukhrawi dan manfaat-manfaat yang bersifat duniawi yang akan kembali kepada manfaat-manfaat ukhrawi. Ini kerana di sisi Allah, hal-hal keduniaan kesemuanya akan kembali kepada pengiktibaran hal-hal keduniaan tersebut dengan manfaat-manfaat yang bersifat akhirat[iii].


Maka pemerintahan pada hakikatnya adalah tindakan para pemerintah yang menggantikan pemilik syarak (iaitu Allah) dalam tugas memelihara agama (Islam) dan mentadbir dunia dengan agama.


Atas dasar kefahaman yang jelas bahawa Islam adalah agama yang memandu manusia ke arah keredhaan Allah dari sudut individu, keluarga dan negara, maka para pengganti tanggungjawab para Rasul perlu untuk bersedia dengan kemantapan ilmu yang paling maksima bagi menjernihkan kembali masyarakat Islam Malaysia yang semakin leka diulit dunia.

Sekadar seronok belajar dan menadah kitab dengan kawan-kawan Malaysia (yang juga sama-sama belajar di al-Azhar) sahaja tak cukup. Mereka tetap pelajar dan bukannya para ulama. Satu perkara yang cukup-cukup rugi dan sangat tidak patut apabila para pelajar al-Azhar yang datang jauh-jauh dari Malaysia ke lembah ilmu ini hanya berguru dengan pelajar-pelajar Malaysia di sini sedangkan pengajian para ulama di al-Azhar sepi tanpa kehadiran mereka. Lebih baik kita pulang ke Malaysia dan masuk pondok.

Tugasan kita bukan sekadar berpencak di gelanggang pidato dan syarahan semata-mata, bahkan tugasan kita adalah:

  • menyampaikan aqidah Islam yang Maha Suci kepada masyarakat bukan Islam yang terus menganut agama-agama canaian tangan-tangan manusia
  • menjernihkan kembali aqidah masyarakat muslim yang sebahagian daripada mereka sudah mula sangsi dengan aqidah Islam akibat kealpaan golongan alim dalam memberikan penekanan yang lebih kepada ilmu aqidah kepada masyarakat muslim
  • bersama-sama membasmi gejala murtad yang semakin berleluasa di Malaysia dengan cara menjelaskan kepada masyarakat Islam bahawa Islam adalah agama yang tidak mengandungi sedikitpun cacat crla dari semua segi disamping mendekati golongan yang telah murtad untuk membawa mereka kembali kepada agama Islam
  • bersama-sama memerangi gejala sosial yang telah menghancurkan peribadi muda-mudi Islam khususnya sehingga menyebabkan mereka semakin jauh dari aturan Islam
  • berusaha menghapuskan segala agensi-agensi penaja dan pembiak kepada kemungkaran sama ada dari sudut elektronik, internet, makalah dan sebagainya.
  • berusaha untuk menjadikan Islam bukan sekadar agama yang bersifat ritual ibadat semata-mata bahkan berusaha untuk menjadikan Islam sebagai kuasa dan undang-undang yang merajai negara.
  • Menyedarkan masyarakat bahawa mengundi parti UMNO yang tidak menjadikan Islam sebagai tunjang pergerakan dan aktiviti kerajaan hanya akan melumpuhkan dan merugikan setiap usaha murni yang ingin mendaulatkan Islam ke mercunya dan memurnikan akhlak masyarakat Malaysia yang tersasar jauh daripada kehendak Allah dan RasulNya.

Tugasan yang dinyatakan di atas adalah besar dan memerlukan upaya dan tenaga yang bersungguh-sungguh daripada para mahasiswa. Adakah anda sudah bersedia untuk menggalas tugasan ini?

Saya rasa anda wajib menjawabnya.



[i] تفسير البيضاوي ج3/ص180

[ii] مقدمة ابن خلدون ج1/ص190

[iii] Sebagaimana yang sedia maklum, segala tindakan manusia di dunia ini bukanlah semata-mata bertujuan untuk mendapatkan keduniaan semata-mata. Akan tetapi segala tindak-tanduk manusia akan dinilai adakah ia membawa manfaat di akhirat kelak atau tidak. Sekiranya manfaat yang bersifat keduniaan tersebut memberikan manfaat di akhirat kelak seperti melakukan kebaikan sesama manusia dan makhluk Allah yang lain di dunia, maka perbuatan tersebut pasti akan dibenarkan oleh syarak kerana manfaat keduniaan tersebut membawa kepada manfaat ukhrawi. Namun sekiranya manfaat tersebut hanyalaj semata-mata mengisi kebejatan nafsu syahwat semata-mata, pasti perkara tersebut akan dilarang oleh Allah Taala.

No comments: