Tuesday, September 29, 2009

Walau Apa Keadaan Sekalipun, Kita Tetap Menitip Ukhuwwah


(sekadar hiasan)

Malam itu, bicara siswa yang dianjurkan oleh SPR MKKK menarik minat ramai di kalangan mahasiswa Islam dan Perubatan di Mesir. Ramai betul yang datang. Majlis yang pada asalnya ingin juga menampilkan wakil dari ISMA dan UMNO telah mencuit hati para mahasiswa untuk melihat sayembara minda ini. Walaupun ISMA dan UMNO tidak dapat menghantar wakil ke majlis tersebut, saya mengharapkan para hadirin yang datang malam itu dapat mengkaji bait-bait hujah yang para panel utarakan.

Benar. Saya tidak bersetuju dengan ISMA. Apatah lagi dengan UMNO. Saya juga telah nyatakan secara terbuka malam itu agar dapat diamati dan dihalusi oleh para ilmuan bahawa sangat wajar hari ini untuk seluruh gerakan-gerakan Islam di Malaysia bersatu dan bekerjasama.

Saya sering tidak bersetuju dengan teori-teori berbunyi "Kita mesti bersatu atas dasar Islam. Ketepikan fahaman politik. Tanamkanlah sikap berkasih sayang sesama muslim" dan macam-macam slogan lagi yang menyanyi-nyanyi di "JAPUIK BAKECEK" saya.

Itu semua ada teori asas sebelum dipraktikkan di alam sebenar. Memang. Kita perlu bersatu di atas dasar ISLAM. Memang. Kita perlu mengetepikan fahaman politik. Memang kita perlu menjaga ukhuwah Islamiah. Ini semua adalah sikap dan konsep asal sebelum kita melihat realiti.

KITA PERLU BERSATU DI ATAS DASAR ISLAM.

Kalau kita melihat realiti dan kanvas perjuangan Islam di Malaysia, bukankah jamaah Islam yang begitu lama ingin menyatukan umat Islam yang bengong fikirannya agar kembali kepada dasar Islam adalah PAS? Maka wajar umat Islam bersatu untuk menegakkan Islam di Malaysia dengan wadah PAS. Sekiranya anda merasakan bahawa "tidak mengapa sekiranya kita tidak membantu PAS dan mendokong PAS, yang penting bersatu di atas dasar ISLAM", bukankah kenyataan ini adalah kenyataan kosong tanpa usaha? Bagaimana cara yang paling ideal dalam menobatkan Islam di Malaysia?

Saya kira para pembaca yang berfikrah Islam akan menyatakan secara jujur bahawa medan perjuangan ISLAM di Malaysia adalah PAS. Saya kita figur-figur Cream of the Cream juga akan memangkah PAS dalam pilihanraya.

Soalan saya: adakah satu tindakan yang wajar untuk kita mahu PAS kuat dan berjaya di dalam pilihanraya sedangkan kita tidak menyalurkan tenaga untuk membantu harakah Islamiah ini. Kita mahu dia menang tapi tak nak bantu dan dokong. Bahkan kita membazirkan tenaga dengan menubuhkan gerakan-gerakan dakwah yang lain.

Saya boleh bersetuju dengan ISMA, JIM, ALAMI dan lain-lain untuk bergerak cergas dalam kumpulan-kumpulan mereka sekiranya tenaga yang diperlukan oleh PAS untuk bergerak cergas sudah melebihi daripada kuantiti yang diperlukan. Katakan PAS memerlukan 500 ribu penggerak dan kita sudah memiliki 700 ribu tenaga yang boleh menggerakkan PAS. Saya boleh bersetuju untuk pertubuhan-pertubuhan ini bergerak kerana kuantiti tenaga yang diperlukan oleh PAS melebihi tahap yang diperlukan.

Realitinya adakah teori itu berlaku. Hasil pengalaman saya menyatakan bahawa PAS memang tak cukup tenaga. Para pimpinan PAS memegang jawatan-jawatan yang perbagai hasil daripada ketidakcukupan tenaga.

Maka adakah relevan untuk teman-teman ISMA bergiat bersungguh-sungguh untuk mencari cream of the cream yang saya kira mereka akan ditarbiah untuk membantu ISMA dan tidak diasuh untuk menjadi tenaga belakang kepada PAS?

Malam itu saya menyatakan kepada para hadirin bahawa "melihat kepada realiti perjuangan PAS di Malaysia, ISMA, JIM dan lain-lain memang MELAMBATKAN KEMENANGAN ISLAM. KEMENANGAN YANG BOLEH DICAPAI DALAM TEMPOH SEPULUH TAHUN AKAN TERLAMBAT 100 TAHUN."

KETEPIKAN FAHAMAN POLITIK.

Bagaimana ISLAM ingin ditegak di Malaysia tanpa politik. Slogan agar mahasiswa ISLAM tidak terlibat dalam politik sebenarnya amat menyenangkan golongan UMNO yang berhempas pulas inginkan kuasa politik. Fikir-fikirkan suara saya ini.

PENTINGKAN KASIH SAYANG.

Kita bertentang dari sudut ideologi. Kita bertegang urat dari sudut kefahaman. Namun ukhuwah Islamiah tidak akan terguris semata-mata perbezaan idea dan perjuangan. Saya memang tidak bersetuju dengan ISMA yang melambatkan kemenangan ISLAM. Namun adakah saya mesti mencaci ahli-ahli ISMA dan menjadikan umpatan dan mendedahkan aib peribadi mereka sebagai zikir harian saya?

Sedangkan antara muslim dengan non muslimpun kita diwajibkan untuk menjaga hak mereka sebagai manusia, apatah lagi hubungan ikatan aqidah antara sesama muslim. Ya. Saya akan terus mengecam ISMA yang melambatkan kemenangan ISLAM di Malaysia. Namun mereka tetap teman seIslam saya yang wajib saya sambungi tali kasih sayang ini.

Moga para teman semua akan mendokong kepada PAS hanya semata-mata inginkan Islam itu dimahkotakan di singgahsana kerajaan. Tinggalkanlah ideologi-ideologi yang melawan kebangkitan ISLAM seperti UMNO (maaf yer saudara Izo) atau yang melambatkan kemenangan Islam.

Kalau sayang Islam, terus menjadi tenaga buruh buat PAS yang mahu menegakkan Islam secara jelas di Malaysia.

Alah teh. Den ado kajo lain. Banyak bando den kano buek agar Islam dapet dijulang. Kalau inyo managak an Islam, taghuih mambantu. Kalau indak, lantaklah ken.

Saturday, September 26, 2009

Malam Ini Kita Berbicara, Malam Ini Kita Mencambah Idea

Cacatan: Saudara Faizal bin Sabhon tidak dapat menyertai bicara siswa malam ini atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan.

Kenyataan Rasmi YDP BKPJM Berkaitan Program ISMA-Mesir di Asrama Pelajar Johor Rabaah


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdulillahi Rabbil A'lamin, puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT yang sentiasa mengurniakan nikmat Iman dan Islam kepada kita. Selawat dan salam dipanjatkan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.

Kenyataan Rasmi ini dikeluarkan untuk memberikan penjelasan berkaitan program Sambutan Hari Raya yang dianjuarkan oleh ISMA-MESIR yang berlangsung di Asrama Pelajar Johor Rabaah.

Berhubung dengan perkara itu,program yang berlangsung di dewan bangunan Asrama Pelajar Johor Rabaah pada tarikh 5 Syawal 1430 H bersamaan 24 September 2009,dari jam 10.30 pagi hingga jam 3.30 petang itu adalah sebuah program yang TIDAK ada sebarang bentuk kerjasama daripada BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR. Ini adalah kerana Isma-Mesir tidak mengadakan sebarang perbincangan rasmi dengan pihak BKPJM bagi menganjurkan program di Asrama Pelajar Johor Rabaah.

Untuk makluman semua pihak khususnya kepada ahli BKPJM, sebarang program anjuran BKPJM akan dimaklumkan kepada ahli melalui saluran rasmi BJPJM iaitu lawan web rasmi BKPJM, iklan program, yahoo messenger BKPJM dan sistem pesanan ringkas (sms) dari Yang DiPertua BKPJM.

Dengan itu suka untuk kami mengingatkan kepada mana-mana pihak atau mana-mana persatuan agar tidak menggunakan nama BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR (BKPJM) untuk kepentingan masing-masing dan pihak kami juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya nama persatuan ini digunakan dengan tanpa keizinan daripada pihak pentadbiran BKPJM. Ini kerana BKPJM adalah sebuah persatuan rasmi yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM) dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah(JPMK) dan BKPJM juga merupakan satu-satunya persatuan rasmi yang menjaga kebajikan anak-anak Johor Di Mesir sejak dari tahun 1982 lagi.

Akhir kalam,di kesempatan ini juga kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua dan khusus kepada ahli BKPJM. Semoga dengan kehadiran Syawal pada kali ini dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan serta dapat memperkukuhkan ukhuwwah sesama kita.

Sekian,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Kaherah,25 September 2009


Salam hormat dari saya ;

BASIR BIN MOHAMED
Yang DiPertua,
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir 09/10

Sumber: http://ydpbkpjm.blogspot.com/2009/09/kenyataan-rasmi-ydp-bkpjm-berkaitan.html

Thursday, September 24, 2009

Selamat Pengantin Baru Buat Keni



Hari ini hari baik. Hari ini salah seorang teman saya yang sama-sama berkeringat dalam keluarga Badan Pengurus PMRAM melangsungkan perkahwinannya dengan insan tersayang.

Semoga Allah memberkati kehidupan kedua-dua mempelai hingga ke akhir hayat. Insyaallah anak-anak pejuang akan menyerikan lagi pentas perjuangan dalam menobatkan Islam di Malaysia nanti.

Wednesday, September 23, 2009

Terharu Buat Keluarga Di Sana

Semalam anak-anak KL buat majlis khusus sempena Idul Fitri. Namun saya tak berkesempatan untuk bersama mereka lantaran kerja-kerja persatuan yang perlu segera dibereskan. Hanya dapat menghantar isteri tercinta sebagai ahli baru dalam warga KLCC.

Rupa-rupanya ada kejutan besar yang dibuat khususnya kepada saya. Kawan-kawan KL yang pulang ke Malaysia rupa-rupanya telah meminta ucapan dari keluarga tercinta buat saya di bumi Nil ini.

Terima kasih buat teman-teman KL dari Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) yang bertungkus-lumus menjejaki keluarga saya di Malaysia.

Buat abah, umi, angah, syikin, Haris dan Naufal, abang dan akak mengucapkan Selamat Hari Raya buat kalian di Malaysia. Doakan permusafiran ilmu kami di sini. Moga bersua lagi.

http://www.youtube.com/watch?v=K-681MvVWTU

Saturday, September 19, 2009

Ramadhan Pergi Jua

Dulu saya tak terasa bila Ramadan berakhir. Yelah seronok nak raya. Tapi hari ini hati sedih bila terpaksa berpisah dengan Ramadhan. Waktu yang masih berbaki sekitar sejam lagi sebelum 1 Syawal menjelang betul-betul menghibakan. Entahlah. Masih adakah lagi Ramadhan buat saya. Atau saya selepas ini akan menyambut Ramadhan dalam pusara. Ya Allah. Hiba, sedih dan segalanya-galanya kami adu padaMu. Tuhan. Terimalah kelalaian kami dalam menerima tetamu Ramadhan yang singgah sekelumit cuma. Tuhan. Terimalah.

Friday, September 18, 2009

PAS Bukan Jamaah Islam

Baru-baru ini saya dengar beberapa perbualan orang-orang itu. Ada yang kata "PAS bukannya jamaah Islam. PAS hanyalah parti politik. Maka tidak bermasalah kalau kami tidak berintima' dan membantu serta mendokong PAS".

Aneh. Macam mana pula PAS bukan jamaah Islam sedangkan tugas jamaah Islam adalah mengembalikan kesedaran masyarakat agar kembali menghidupkan khilafah Islam yang telah terkubur sejak 85 tahun yang lalu.

Apabila Khilafah Islam terakhir diputuskan daripada terus bernyawa pada tahun 1924, umat Islam terkejut hiba apabila nasib umat Islam sudah lagi tidak mempunyai ibu yang akan menaungi dan menjaga mereka. Hari itu nasib umat Islam akan terbiar tanpa ada satu ketumbukan yang akan mempertahankan mereka.

Atas kesedaran bahawa WAJIB mendirikan Khilafah Islam secara IJMA Ulama (rujuk Fiqh al-Khilafah karangan Dr. Abdul Razak al-Sanhuri), para ulama di seluruh bumi-bumi Islam bangkit untuk menyedarkan masyarakat bahawa khilafah Islam mesti dikembalikan.

Mereka bangkit dalam wadah kumpulan-kumpulan Islam yang digelar sebagai Jamaah Islam. Al-Ikhwan al-Muslimun pada Mac 1928 bangkit di Mesir untuk menyedarkan masyarakat Mesir akan kepentingan itu. MASYUMI (Partai Majelis Syuro Muslimin Indonesia) bangkit di Indonesia pada tahun 1945 atas kesdaran itu. Hizbul Muslimin yang ditubuhkan pada 17 Mac 1948 di Gunung Semanggul di Perak ditubuhkan atas usaha itu yang akhirnya diteruskan oleh PAS (ditubuhkan pada 1951) setelah mana Hizbul Muslimin pada tahun 1948 juga telah diharamkan oleh British. Begitu juga dengan gerakan-gerakan Islam yang lain yang tumbuh atas kesedaran ini di negara-negara yang didiami oleh umat Islam.

Tugas mengembalikan Khilafah Islam adalah perjuangan utama PAS. Wasilah yang dipilih adalah menyertai politik.

Ada orang beranggapan bahawa apabila PAS adalah wadah politik, maka ini bukti bahawa PAS bukan gerakan Islam atau jemaah Islam. Bagi saya, berhasrat semata-mata untuk mendirikan Khilafah Islam tanpa mengambil cara terbaik untuk mencapai hasrat ini adalah satu idea kosong.

Kalau di Malaysia contohnya, apakah cara yang paling ideal dalam mencapai matlamat mengISLAMkan kerajaan Malaysia yang saudara fikirkan; berdakwah kepada golongan-golongan tertentu sahaja (cream of the cream atau konsep tentera Badar al-Kubra yang diwarwarkan oleh orang-orang itu), atau hanya menceritakan kepada masyarakat untuk mengislah diri dengan harapan apabila ramai yang berubah dari sudut akhlak dan imej, atau berkecimpung dalam bidang politik untuk memenangi pilihanraya lalu kuasa yang dimenangi akan dipaksa untuk tunduk kepada arahan dan kehendak Allah?

Kalau anda tidak mahu untuk terlibat dalam gelanggang politik dalam menyampaikan mesej ISLAM sebaliknya lebih selesa untuk berdakwah kepada golongan manusia terpilih itu, saya sendiri tidak tahu berapa ratus tahun lagi atau berapa ribu tahun lagi yang kita kena tunggu sehingga seluruh manusia akan kembali dan mahu untuk mendaulatkan Islam sebagai Raja dan Sultan bagi negara.

Bertawakkal kepada Allah adalah yang paling utama. Namun Allah meminta kita selepas beriman dengan ketentuan Allah untuk mencari wasilah yang paling terbaik untuk mencapai maksud yang diinginkan (al-Akhdzu Bil Asbab). Pastinya wasilah yang paling hampir untuk merealisasikan projek MENGISLAMKAN KERAJAAN adalah dengan cara politik. Maka tidak hairan apabila al-Ikhwan al-Muslimun akhirnya menyertai politik Mesir dalam usaha untuk meraih kuasa pemerintahan melalui wasilah politik.

Kalau anda memang mahu dan sungguh-sungguh mahu untuk mendaulatkan sistem pemerintahan Islam, anda mesti menggabungkan diri dan berjuang dalam pentas PAS di Malaysia. Kerana itulah tidak hairan apabila Dr. Yusuf al-Qardhawi sendiri ketika ditanya oleh Ustaz Nasaruddin Mat Isa berkenaan dengan soalan "Siapakah Jemaah Islam yang wajib disokong dan didokong oleh rakyat Malaysia" menjawab dengan jelas bahawa: Jemaah Islam yang wajib disokong dan didokong di Malaysia adalah PAS.

Kalau anda sebut, PAS tidak ada tarbiah atau PAS tidak sempurna dari sudut itu dan itu dan itu...., maka saya mengajak anda semua terutamanya teman-teman pelajar di Mesir untuk kita terjun dan menggabungkan diri dengan perjuang PAS dan kita memperbaiki segala kelompangan yang ada.

Janganlah semata-mata ada kelompangan dalam PAS sedangkan matlamat dan cita-citanya adalah Menegakkan Islam di Malaysia menyebabkan kita merasa jijik untuk bersama PAS lalu kita menyertai atau menubuhkan satu kumpulan baru yang juga bertujuan dengan matlamat PAS. Kelak anda akan bermain dengan al-Tasalsul kerana pastinya jemaah baru itu akan ada masalah lalu akan ada yang keluar dan menubuhkan jemaah kedua yang pastinya akan turut tidak sempurna lalu akan tertubuhlah pula jemaah yang keseterusnya tanpa ada kesudahan.

Bagi saya, wujudnya kumpulan-kumpulan di Malaysia yang lain selepas wujudnya PAS adalah melambatkan kemenangan Islam. Mengapa tidak? Bukankah kita akan sibuk mengira nombor-nombor jemaah-jemaah yang wujud.

Terlibat dengan PAS adalah cabaran, dugaan, pengorbanan dan air mata. Anda akan letih kerana syurga itu merehatkan. Anda akan berair mata kerana syurga itu menggembirakan. Yang pasti kalau anda mahu menegakkan Islam tetapi anda hanya mahu selesa dan takut berdepan dengan FRU dan ISA, anda sebenarnya sedang buat kelakar.

So apalagi, teruskan berazam untuk mewaqafkan diri kepada perjuangan Islam di dalam wadah PAS.