Friday, May 1, 2009

Beramallah Kerana Allah

Syukur pada Allah kerana pagi ini saya dapat pergi mendamba ilmu daripada Fadhilat al-Syaikh Dr. Yusri al-Hasani di masjid beliau di Muqattam selepas solat Subuh. Sudah hampir dua minggu saya tidak mendengar mutiara-mutiara ilmu daripada beliau disebabkan masalah pengangkutan dari Hayyu Asyir ke Muqattam selepas solat Subuh.

Sudilah saya ingin berkongsi dengan para pembaca beberapa kesimpulan ilmu yang saya dan para teman yang lain ambil daripada ulama besar ini.

Pertama: Beramallah Hanya Kerana Allah.

Beliau menuturkan kepada kami:

من عمل عملا من أجل نفسه .. متكبر . ومن عمل عملا من أجل الناس .. مُراءٍ . والمتكبر أشدُّ

yang bermaksud:

Sesiapa yang beramal kerana dirinya maka dia adalah seorang yang takabbur. Sesiapa yang beramal kerana untuk memperlihatkannya kepada manusia, maka dia adalah seorang yang riyak. Orang yang takabbur adalah lebih teruk daripada orang yang riyak.

Kedua: Rasulullah Tidak Akan Tidur Melainkan Baginda Membaca Surah Al-Isra Dan Surah Al-Zummar.

Ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmidzi dalam Jamiknya di dalam Kitab Fadhail al-Quran.

Ketiga: Sesiapa Yang Tidak Mempunyai Guru, Maka Syaitan Adalah Gurunya.

Fadhilat al-Syaikh Yusri menyatakan kepada kami bahawa maksud 'Syaitan' dalam petikan ini adalah akal dan hawa nafsu seseorang. Ini kerana sesiapa yang membaca buku-buku karangan ulama Islam sedangkan dia tidak mempunyai guru yang ahli di dalam ilmu Islam, maka orang ini akan membaca buku-buku tersebut semata-mata hanya berpandukan kefahaman dirinya dan hawa nafsunya. Akhirnya dia akan tersilap dalam memahami teks yang ingin disampaikan oleh ulama silam. Namun sekiranya dia mempunyai guru di kalangan para ulama yang muktabar, dia akan dapat membaca buku-buku karangan para ulama dengan berpandukan kefahamannya di samping pengetahuan sang guru yang beliau warisi dari para ulama yang lepas.

Keempat: Qadha' dan Qadar Allah Ada Dua Jenis; Qadha' Mubram Dan Qadha' Mu`allaq.

Qadha' Mubram adalah ketentuan Allah yang telahpun Allah putuskan semenjak azal tanpa ada sebarang perubahan walau apa cara sekalipun. Qadha' Mu`allaq pula adalah ketentuan yang Allah gantungkan keputusannya. Contohnya seperti Allah menentukan: "Sekiranya seorang hamba tertentu memberikan sedekah pada hari tententu, dia akan diselamatkan daripada kemalangan jalanraya. Sekiranya dia tidak bersedekah pada hari tersebut, dia akan ditimpa dengan kemalangan jalanraya.

وصلى الله على سيدنا وحبيبنا وقدوتنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم والحمد لله رب العالمين

6 comments:

Unknown said...

slm...
ust pe kbr?
blh terang skit x pasal beramal utk diri sendiri tu mcm mane?

Hairul Nizam Mat Husain said...

Saya akan tanya kembali pada Syeikh Yusri yer

Hairul Nizam Mat Husain said...

Saya telah meminta penjelasan daripada Syeikh Yusri sendiri. Maksud beliau adalah sesiapa yang melakukan amalan dalam keadaan dia merasakan bahawa dialah orang yang paling layak untuk amalan tersebut dalam keadaan dia memangdang dengkel kepada orang lain, maka dia adalah takabbur.

Unknown said...

jazakallah ust ats penjelasan ni.sedikit pencerahan dari sblmnya.i.ALLAH sy berhajat utk brtemu ust utk melanjutkan pertanyaan dan penjelasan berkait point ini dan beberapa perkara lain.moga ALLAH makbulkan hajat sy ini.

Neo Rantissi said...

Salam, menarik entry ni, cuma ana ada sedikit kekeliruan, mohon pencerahan drpd ustaz. Merujuk pada belajar tanpa gur bermakna belajar dgn syaitan, buku/kitab yg bagaimana yg menuntut kepada berguru. Sebab saya kira di kedai2 buku(dlm konteks di Malaysia) hari ini, sangat banyak buku2 agama sama ada karangan Ulama' Muktabar mahupun ustaz2 yg masyhur di Malaysia. Saya sendiri ada beberapa buku2 agama ni, dan agak sukar utk saya pastikan setiap buku tu bila dibaca kna berguru dgn kekangan masa sebagai student medic lagi.

Bukankah buku2 itu dikarang utk menyampaikan ilmu mereka kepada masyarakat umum melalui pembacaan. Lagipun, saya rasa kebanyakan kitab2 agama moden hari ini menggunakan bahasa yg mudah difahami oleh masyarakat umum.

Mohon pencerahan, syukran 'ala kulli hal.

Awan said...

Salam
Seperti yg ditulis
"Contohnya seperti Allah menentukan: "Sekiranya seorang hamba tertentu memberikan sedekah pada hari tententu, dia akan diselamatkan daripada kemalangan jalanraya. Sekiranya dia tidak bersedekah pada hari tersebut, dia akan ditimpa dengan kemalangan jalanraya"
Soalan saya ialah:
1. Adakah ilmu Allah tidak tahu atau belum pasti samada seorang hamba tertentu akan memberikan sedekah pada hari tententu atau tidak? Jika begitu lemahlah ilmu Allah.
2. Apakah yg akan ditulis di lauh mahfuz? Adakah ianya akan ditulis kemudian dipadam setelah confirm hamba bersedekah dan ditulis semula. Jika begitu sudah takluk pada masa dan ketika dan Ilmu Allah jadi tak pasti. Apakah ada kuasa lain yang menghalang pastinya ilmu Allah?