Wednesday, April 22, 2009

Biodata Al-Imam al-Bukhari Radhiallahu Anhu


(Pusara Al-Imam Al-Bukari)

Insan bertuah dalam sejarah Islam ini bernama Muhammad bin Isma‘il bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-Bukhari al-Ju‘fi atau turut dikenali dengan panggilan Abu ‘Abdillah. Beliau dilahirkan pada hari Jumaat, 13 Syawal 194 Hijrah di Bukhara.

Al-Imam al-Bukhari adalah seorang yang sangat cermat dalam menulis hadith-hadith Rasulullah. Beliau telah menjelaskan kepada kita berkenaan dengan proses penulisan kitab Sahih beliau dengan berkata:

خَرَّجْتُ كِتَابَ الصَّحِيْحِ مِنْ زُهَاءِ سِتِّمِائَةِ أَلْفِ حَدِيْثِ فِيْ سِتَّ عَشَرَ سَنَةً . وَمَا وَضَعْتُ فِيْهِ حَدِيْثًا إِلاَّ اغْتَسَلْتُ وَصَلَّيْتُ رَكْعَتَيْنِ .

yang bermaksud:

Saya mengeluarkan kitab al-Sahih (Sahih al-Bukhari) ini daripada kadar 600 ribu hadith dalam masa 16 tahun. Saya tidak akan meletakkan di dalam al-Sahih satu hadithpun melainkan saya akan mandi dan melaksanakan solat dua rakaat .


Para ‘ulama pada zaman al-Imam al-Bukhari sangat menghormati beliau lantaran ketinggian ilmunya dan ketakwaannya kepada Allah. Beliau sendiri telah bertemu dengan lebih 1000 orang para ‘ulama demi untuk menuntut ilmu .

Allah Taala memberikan kepada beliau kelebihan hafazan yang kuat. Apabila al-Imam al-Bukhari melihat mana-mana kitab sekali sahaja, maka beliau akan terus dapat menghafaz seluruh isi yang ada di dalam kitab tersebut hanya dengan sekali pandang sahaja .

Sekitar 100 ribu para ‘ulama telah belajar daripada beliau . Al-Imam Muslim sendiri yang merupakan salah seorang murid beliau pernah mengeluarkan satu kata-kata yang cukup menunjukkan betapa Al-Imam Muslim amat mengkagumi al-Imam al-Bukhari. Al-Imam Muslim berkata:

دَعْنِيْ أُقَبِّلُ رِجْلَيْكَ يَا طَبِيْبَ الْحَدِيْثِ فِيْ عِلَلِهِ ، وَيَا سَيِّدَ الْمُحَدِّثِيْنَ .

yang bermaksud:

Biarkanlah saya mencium kedua belah kakimu, wahai orang yang mengubati hadith daripada penyakit-penyakitnya, dan wahai ketua bagi al-Muhaddithin (para ulama hadith) .

Al-Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata:

مَا أَخْرَجَتْ خُرَاسَانُ مِثْلَ مُحَمَّدِ بْنِ إِسْمَاعِيْلَ

yang bermaksud:

[Negeri] Khurasan tidak pernah mengeluarkan seorangpun seperti Muhammad bin Isma‘il [al-Bukhari] .

Antara para ‘ulama hadith yang meriwayatkan hadith daripada beliau adalah al-Imam al-Tirmidzi dan al-Imam Ibn Khuzaymah

Al-Imam al-Bukhari adalah antara para ‘ulama yang sampai ke tahap al-Ijtihad. Ijtihad dan pandangan fiqh beliau dapat difahami berdasarkan tajuk-tajuk setiap hadith-hadith yang dimuatkan oleh beliau di dalam al-Sahih. Ini kerana beliau sendiri yang memberikan tajuk kepada setiap hadith dalam Sahih al-Bukhari. Ini berbeza dengan al-Imam Muslim yang hanya memuatkan hadith-hadith Sahih di dalam kitab Sahih beliau tanpa beliau memberikan tajuk-tajuk kepada hadith-hadith tersebut.

Al-Imam al-Nawawi menyatakan bahawa para ‘ulama seluruhnya telah bersepakat bahawa Sahih al-Bukhari dan Sahih al-Imam Muslim adalah dua kitab yang paling sahih selepas al-Qur’an al-Karim berbanding dengan kitab-kitab hadith yang lain. Walau bagaimanapun, al-Imam al-Nawawi dan kebanyakan ‘ulama berpandangan bahawa Sahih al-Imam al-Bukhari adalah kitab hadith yang paling Sahih berbanding dengan Sahih al-Imam Muslim.

Atas dasar inilah, menjadi satu kesalahan berat dari sudut ilmu Islam apabila ada individu Muslim yang mempertikaikan kesahihan hadith-hadith yang dimuatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka. Ini kerana al-Ijma‘ telahpun termetrai bahawa semua hadith yang dinyatakan di dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim benar-benar adalah hadith yang pernah diucapkan oleh baginda Rasulullah tanpa ada sebarang kesalahan sebagaimana umat Islam seluruhnya menyakini bahawa seluruh ayat-ayat al-Qur’an al-Karim adalah benar-benar kalam Allah Taala tanpa ada sebarang syak.

Sahih al-Imam al-Bukhari memuatkan sebanyak 7, 275 hadith. Sekiranya kita hanya mengira bilangan hadith-hadith tersebut tanpa mengira bilangan hadith yang berulang, bilangan hadith Rasulullah dalam Sahih al-Imam al-Bukhari adalah sebanyak 4 ribu hadith.

Al-Imam al-Bukhari meninggal dunia pada malam Sabtu iaitu malam hari raya ‘Id al-Fitr tahun 256 Hijrah di Khartank (salah satu perkampungan di Samarqand). Semoga Allah merahmati beliau dan menempatkan beliau di syurgaNya atas sumbangan beliau yang sangat hebat dan sangat bermakna kepada umat Islam khususnya. Amin.

No comments: