Monday, April 20, 2009

Sekadar Renungan Dan Tafakkur

Peperiksaan makin hampir. Dalam sekitar 20 hari lagi. Waktu yang masih berbaki sangat begitu emas buat kita. Berlatihlah untuk menjadi seorang yang mencintai ilmu. Belajarlah kerana dengan ilmu yang ditimba bakal memberikan satu kesan yang cukup positif dalam pembinaan negara yang bertunjangkan Islam.

Kalau dulu pengarang kitab Fiqh al-Khilafah iaitu Dr. Abdul Razak al-Sanhuri menyatakan bahawa pembinaan khilafah Islam sangat memerlukan tenaga para ulama pakar yang akan menjadi Ahl al-Hall wa al-Aqd (orang yang berautoriti) dalam memastikan perjalanan negara adalah bertunjangkan Syariat ataupun tidak.

Hari ini, masing-masing sekalipun mempunyai pegangan yang pelbagai berkenaan dengan gerakan Islam di Malaysia tetap boleh bersetuju bahawa kita perlu menggantikan pemerintahan sekular hari ini dengan satu negara yang diperintah dengan mana Allah dan Rasul adalah pemutusnya. Maka saya menyeru kepada seluruh mahasiswa Islam agar bersungguh-sungguh dengan agenda menuntut ilmu secara serius dan bukan bermain-main kerana untuk mengisi negara Islam yang diidam-idamkan tersebut adalah sangat memerlukan tenaga ilmu secara pakar.

Berusahalah untuk menjadi manusia cemerlang kerana kerajaan Islam itu merindui para ulama dan ilmuan Islam yang pakar dan masak dalam ilmunya.

Apa kata kita sahut bersama-sama perkara di bawah:

1- Kita mesti menghabiskan pengajian kita di Mesir sehingga kita selesai menjulang Phd.

2- Kita mesti berusaha agar keberadaan kita di Mesir adalah sekurang-kurangnya 10 tahun lamanya

3- Kita akan menumpukan sesungguh-sungguhnya waktu kita yang terhad di Mesir ini untuk kita melutut dan bersimpuh menadah kitab dan pengetahuan daripada para ulama al-Azhar al-Syarif yang begitu agung keilmuannya agar keberadaan lama kita dalam mengejar Phd akan menjadikan ilmu-ilmu yang begitu agung di luar universiti dapat diambil semaksimanya.

Bagi saya, taraf M.A dan Phd hanyalah gula-gula yang dianggap bahawa ia adalah tanda bahawa kita adalah orang berilmu. Yang paling utama dan paling penting adalah bertalaqqi dengan ulama-ulama ikhlas al-Azhar di Ruwaq al-Atraq, Zollah Fatimiyyah dan sebagainya kerana itulah sebenarnya hakikat kematangan dan kedalaman ilmu. Tinggalkanlah kegemaran membuang masa mahasiswa dengan tidur dan menonton pelbagai acara kerana permusafiran kita adalah permusafiran sang kelana yang mendamba ilmu sang Pencipta, bukan permusafiran sang pelancong dan membasuh dan mencuci matanya.

Sudahlah buat segala agenda membuang masa kerana daulah yang diharapkan memerlukan ulama yang ikhlas dan pakar dalam bidangnya. Semoga Allah memilih kita.

No comments: