Thursday, May 7, 2009

Kenapa Para Ulama Dari Golongan Ahlul Bayt Tidak Tersenarai Di Kalangan Perawi Al-Imam Al-Bukhari?



Hari ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca ilmu yang saya dapat timba daripada Fadhilat al-Syaikh Yusri al-Hasani selepas Subuh tadi di Masjid al-Asyraf di Muqattom.

Beliau mengemukakan soalan di atas kepada kami. Kenapa para ulama dari kalangan keluarga Rasulullah seperti al-Imam Jaafar al-Sodiq tidak tersenarai di kalangan para perawi hadith Rasulullah yang dimuatkan di dalam Sahih al-Bukhari contohnya?

Satu sebab yang sangat kena dengan suasana politik ketika itu.

Fadhilat al-Syaikh Yusri al-Hasani menjelaskan kepada kami bahawa para ulama dari ahli keluarga Rasulullah pada zaman Umawiyyin dan Abbasiyyin adalah hidup dalam suasana yang menyedihkan. Mereka ditangkap, tidak dibenarkan untuk mengadakan pengajian kerana pemerintah ketika itu sangat takut kepada pengaruh Ahlul Bayt. Mereka takut kerajaan yang dipegang oleh mereka akan beralih kepada ahli keluarga Rasulullah. Atas sebab itulah menjadi satu kebiasaan pada zaman itu untuk menyudahkan khutbah Jumaat dengan menghina dan mencaci ahli keluarga Rasulullah.

Namun zaman telah berubah. Hari ini kebanyakan para ulama adalah dari kalangan Ahlul Bait. Antara para ulama al-Azhar yang merupakan keturunan Sayyidul Mursalin adalah Prof Dr Sa`ad bin Sa'd Jawish al-Husaini, Dr. Ahmad Toyyib, Dr. Yusri al-Hasani, Dr. Jamal Faruq dan lain-lain.

Kata Dr. Yusri:

"Rasulullah pernah bersabda: ((Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang dengan kedua-duanya selama-lamanya; Kitab Allah dan `Itrati iaitu ahli keluargaku)). Selama hampir 600 tahun ahli keluarga Rasulullah dianiaya dan dizalimi oleh para pemerintah. Namun akhirnya ramalan Rasulullah terbukti pada hari ini apabila kebanyakan ulama hari ini adalah dari kalangan ahli keluarga Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Alihi Wasallam.

************

Syukur padaMu tuhan yang menjadikan kami di kalangan Ahl al-Sunnah yang mencintai ahli keluarga Rasulullah dan mencintai para sahabat Rasulullah seluruhnya. Ya Allah matikan kami dalam cinta ini.

3 comments:

Amermeftah said...

Ini yg jadi point FT tolak Imam Bukhari.

Hairul Nizam Mat Husain said...

FT tu apa yer...

Asqalani said...

FT tu Faisal Tehrani...inilah juga hujjah yang digunakan oleh Syiah keatas autoriti Imam Bukhari...

Mereka juga mengatakan ianya amat berlawanan dengan Imam Hassan Askari iaitu imam Syiah ketika itu.

Yang sebenarnya, bukannya Imam Bukhari menolak atau tidak menyenaraikan Perawi ahlul Bit dengan sengaja...tetapi jalan yang ditempuh dalam menerima riwayat ahlul bait ketika itu terdapat kecatatan pada susur galur mereka dengan perawi dari kalangan Syiah. Ini kerana Imam Bukhari meletakkan syarat2 yang ketat dalam pengambilan hadith...wallahua'lam...