Friday, May 1, 2009

Nabi Allah Sulaiman Alaihissalam, Raja Yang Mensyukuri Allah



Seusai kelas di Jabal Muqattom bersama-sama al-Syaikh Yusri al-Hasani, saya meneruskan perjalanan saya ke Sayyidah Zainab untuk menziarahi para teman di sana. Hari ini kami sama-sama menghayati Surah al-Naml bermula dari ayat 1 hingga ayat 33. Banyak faedah yang saya dapat kongsi daripada para teman. Moga-moga catatan ini bermanfaat buat kalian.

*******

Ayat yang kami baca ini mengisahkan sekelumit sejarah hidup dua orang Nabi Allah iaitu Nabi Allah Musa dan Nabi Allah Sulaiman. Antara yang saya tertarik untuk berkongsi dengan para pembaca adalah sikap Nabi Allah Sulaiman yang dianugerahkan oleh Allah kekuasaan, kerajaan, kekayaan, bala tentera yang ramai daripada kalangan manusia, jin, binatang dan makhluk-makhluk Allah Taala yang lain.

Walaupun baginda dalam masa yang sama memikul amanah seorang Rasul dan amanah seorang raja, keistimewaan dan kegagahan yang dimiliki oleh baginda sama sekali tidak memberi kesan ke atas jiwa baginda untuk menjadi seorang hamba Allah yang bongkak dan sombong di hadapan Allah.



Kisah Nabi Allah Sulaiman dan bala tenteranya yang melalui lembah semut cukup menunjukkan betapa merendah dirinya baginda kepada Allah. Suara seekor semut yang berteriak meminta semut-semut yang lain masuk ke dalam sarang masing-masing agar tidak diinjak dan dipijak oleh Nabi Allah Sulaiman dan bala tentera baginda rupa-rupanya difahami dan didengari oleh Nabi Allah Sulaiman yang diberikan kurnian oleh Allah sehingga dapat memahami bahasa binatang. Baginda sambil tersenyum dan ketawa mengucapkan syukur pada Allah dengan kata-kata baginda yang diabadikan oleh Allah Taala:



yang bermaksud:

Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Maha Suci Allah yang memilih para nabi dan para rasul agar kami dapat mencontohi insan-insan pilihan ini.

Kelebihan dunia, pangkat, kemewahan, sokongan makhluk Allah seluruhnya yang Allah kurniakan kepada Nabi Sulaiman sama sekali tidak menyebabkan baginda menjadi seorang yang angkuh bahkan yang berlaku adalah doa seorang hamba yang dituturkan tanda bahawa baginda hanyalah seorang hamba kepada Khaliqnya.

Betullah. Dunia itu sepatutnya berada di tangan yang kita boleh lempar bila-bila masa sahaja yang kita inginkan. Dunia tidak sepatutnya berada di dalam hati sang hamba sehingga dia begitu payah untuk menjadikan Allah segala-galanya lantaran dunia sudah berbekas di dalam atmanya.

Begitulah para nabi dan rasul. Kesenangan dan kesusahan mereka sama sekali tidak menjauhkan mereka daripada tunduk, patuh dan menyembah Allah. Nabi Musa dengan masalah dalaman Bani Israil yang beriman kepada baginda namun cukup kurang ajar terhadap Rasul mulia ini. Nabi Sulaiman dengan kegagahan dan kerajaan yang cukup besar. Nabi Ayyub dengan kesengsaraan baginda menanggung penyakit yang lama. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang mengikut perut dengan batu kerikil kerana bersabar atas kelaparan dan kemiskinan sedangkan baginda adalah kekasih tuhan.

Ya Allah. Saya belum pernah menanggung kemiskinan dan kelaparan sedemikian rupa bahkan saya menjangkakan para pembaca tidak pernah lagi menanggung keperitan lapar sehingga batu-batu kerikil menjadi pengikat perut kita. Tapi kekasih Allah, Sayyidina Muhammad redha atas kemiskinan dan kefakiran kerana baginda ingin mencari kasih tuhanNya.

Adakah wajar bagi saya untuk beralasan di hadapan Allah untuk tidak menginfaqkan jiwa ini buat Allah, RasulNya dan ummat baginda hanya semata-mata alasan dangkal bahawa saya ini orang miskin atau saya ini terlalu kaya sehingga sibuk menguruskan harta atau saya ini ditimpa kesulitan berupa penyakit lalu saya tidak sempat untuk berjuang di jalan Allah. Adakah saya masih punya alasan bila Allah menghadapkan insan-insan agung ini, Nabi Ayyub, Nabi Sulaiman dan Nabi Muhammad -Alaihim Afdhal al-Solatu wa Atamm al-Taslim-.

Ya Allah. Saya insan celaka kerana terlalu jauh dariMu.

Ya Tuhan. Ampunkan insan celaka ini agar dia diberikan cintaMu dan cinta RasulMu. Amin.

2 comments:

shiroi said...

MasyaAllah. Betul bagai apa yang dikata, jika dunia sudah melekat di hati, umur seribu tahun tak nak mati lagi. update anti virus kita agar virus 'wahn' tak mengjangkiti.

Salaam alaik ya ustaz. mohon izin untuk link blog, boleh?

Hairul Nizam Mat Husain said...

silakan