Sunday, July 13, 2008

Muqaddimah Tuan Guru Presiden Dalam Buku Beliau 'Palestin' Yang Telah Berjaya Diterjemah


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين , والعاقبة للمتقين , ولا عدوان إلا على الظالمين .

أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك , له الملك وله الحمد يحيي ويميت وهو على كل شيء قدير . وأشهد أن محمدا عبده ورسوله , الرحمة المهداة والنعمة المسداة والسراج المنير .

والصلاة والسلام على حبيبنا وشفيعنا وقدوتنا محمد , إمام المتقين , وقائد الدعاة المجاهدين , وعلى اله وأصحابه أجمعين , ومن سار على نهجه , ودعا بدعوته , وجاهد جهاده إلى يوم الدين . وبعد .

Saya bukan orang Arab. Saya juga bukan orang Palestin. Tetapi saya adalah seorang muslim. Saya membaca segala isu yang berkaitan dengan Palestin secara bacaan Islam dengan berpandukan sejarah Palestin yang bersifat Islam, geografi yang bercirikan Islam dan persaudaraan Islam yang mana ketiga-tiga ciri ini telah menjadikan seluruh bumi Islam sebagai watan yang satu dan menjadikan umat Islam seperti jasad yang satu; apabila satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh jasad akan turut merasa sakit dan berjaga malam untuk anggota tersebut.

­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­Palestin adalah bersifat Islam kerana Palestin merupakan tempat hijrah para nabi, tempat Israk Rasulullah dan tempat bermulanya Mi'raj baginda. Bumi Palestin adalah bumi Islam. Al-Quds ada di dalamnya. Al-Quds adalah kiblat yang pertama daripada dua kiblat, tanah Haram yang ketiga selepas dua tanah Haram dan salah satu masjid daripada tiga masjid yang dituntut untuk seseorang itu bersungguh-sungguh berkelana menuju kepadanya.

Warga Palestin adalah saudara kita kerana Allah dan agama. Kita bertanggungjawab terhadap Palestin untuk memelihara hak Islam, hak tanah dan hak persaudaraan. Isu Palestin adalah isu orang-orang Islam, kesedihan mereka dan urusan mereka. Sesiapa yang tidak mengambil endah terhadap urusan orang-orang Islam, maka dia bukan daripada mereka.

Isu ini adalah isu yang dipetik daripada keperitan dan kesedihan yang menimpa orang-orang Islam di dalam dunia Islam. Ia bukan semata-mata isu orang-orang Palestin dan orang-orang Arab. Bahkan isu ini adalah isu yang paling penting berbanding dengan isu-isu yang lain.

Menjadi kewajipan ke atas kita selaku orang-orang Islam seluruhnya untuk memikul isu ini dan menyelesaikannya sekalipun wujudnya perancangan-perancangan jahat antarabangsa dan setempat untuk menjadikan isu Palestin ini bukan isu utama daripada Islam atau mengeluarkan isu ini atau mencerai-beraikannya daripada Islam dengan menggunakan 'Asabiyyah perkauman, persempadanan kenegaraan dan geografi yang bercirikan politik.

Sesungguhnya perancangan-perancangan jahat ini tidak akan mampu untuk memutuskan hubungan-hubungan yang bertunjangkan kepada keimanan, ruhiyyah dan Islam yang mana Allah telahpun melorongkan kita ke arah hubungan ini dan Allah telahpun menyatukan antara hati-hati kita dengan sebab hubungan ini.

Hubungan-hubungan yang bertunjangkan kepada keimanan, ruhiyyah dan Islam ini adalah merupakan nikmat yang sempurna yang pastinya akan tetap menjadi perkara yang akan dikecewai oleh orang-orang bukan Islam. Hubungan ini tidak akan hancur sama sekali walau sehebat manapun tipu daya mereka meskipun tipu daya mereka akan menyebabkan hancurnya gunung-ganang di Afganistan, Iraq, Chechnya dan tempat-tempat lain.

Orang-orang Islam tidak akan kecewa untuk terus meyakini bahawa kemenangan itu adalah untuk Islam dan orang-orang Islam. Kemenangan ini adalah janji Allah yang tidak akan sama sekali memungkiri janji. Namun kemenangan ini mesti dipenuhi dahulu dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan, bukannya semata-mata dengan slogan-slogan kosong. Kemenangan ini akan tercapai apabila kita berada di atas jalan kita yang lurus, bukannya apabila kita berada di atas jalan-jalan lain yang akan memisahkan kita daripada jalan Allah dan bukan juga apabila kita berada di atas peta-peta yang akan menyesatkan kita daripada jalanNya.

­Ini adalah petikan-petikan yang dipetik daripada bingkisan Palestin yang dizalimi untuk menjadi peringatan buat umat agar mereka tidak akan lupa pengkhianatan terbesar yang menjadikan Palestin sebagai mangsanya, agar umat kita yang tercinta ini akan dapat melihat siapakah pemilik-pemilik peta kepada jalan dengan nama 'Para Penyeru Kepada Keamanan' supaya umat Islam ini tidak akan disengat berulang kali di dalam lubang yang satu dan agar umat Islam ini tidak akan kecewa disebabkan musibah-musibah yang menyakitkan ini kerana kemuliaan Islam akan menjadikan umat ini lebih beriman dengan kebenaran janji Allah dan RasulNya.

Kita di atas satu keyakinan bahawa darah-darah yang mengalir di atas tanah Palestin dan tanah-tanah yang lain adalah seumpama darah-darah wanita-wanita yang mengandung yang akan menzahirkan janinnya yang kuat. Keganasan yang menggila yang membunuh pemuda-pemuda kita, orang-orang tua kita dan wanita-wanita kita di semua tempat tidak lain dan tidak bukan hanyalah gerakan-gerakan musuh-musuh kita kerana kehadiran maut dan sakaratnya. Kita di atas satu keimanan bahawa sesungguhnya kemulian itu adalah untuk Allah, RasulNya dan orang-orang mukmin tetapi orang-orang munafiq tidak mengetahui.


Saudara kamu semua yang fakir kepada Allah,


Abdul Hadi Awang Muhammad,

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS).

No comments: