Friday, September 18, 2009

PAS Bukan Jamaah Islam

Baru-baru ini saya dengar beberapa perbualan orang-orang itu. Ada yang kata "PAS bukannya jamaah Islam. PAS hanyalah parti politik. Maka tidak bermasalah kalau kami tidak berintima' dan membantu serta mendokong PAS".

Aneh. Macam mana pula PAS bukan jamaah Islam sedangkan tugas jamaah Islam adalah mengembalikan kesedaran masyarakat agar kembali menghidupkan khilafah Islam yang telah terkubur sejak 85 tahun yang lalu.

Apabila Khilafah Islam terakhir diputuskan daripada terus bernyawa pada tahun 1924, umat Islam terkejut hiba apabila nasib umat Islam sudah lagi tidak mempunyai ibu yang akan menaungi dan menjaga mereka. Hari itu nasib umat Islam akan terbiar tanpa ada satu ketumbukan yang akan mempertahankan mereka.

Atas kesedaran bahawa WAJIB mendirikan Khilafah Islam secara IJMA Ulama (rujuk Fiqh al-Khilafah karangan Dr. Abdul Razak al-Sanhuri), para ulama di seluruh bumi-bumi Islam bangkit untuk menyedarkan masyarakat bahawa khilafah Islam mesti dikembalikan.

Mereka bangkit dalam wadah kumpulan-kumpulan Islam yang digelar sebagai Jamaah Islam. Al-Ikhwan al-Muslimun pada Mac 1928 bangkit di Mesir untuk menyedarkan masyarakat Mesir akan kepentingan itu. MASYUMI (Partai Majelis Syuro Muslimin Indonesia) bangkit di Indonesia pada tahun 1945 atas kesdaran itu. Hizbul Muslimin yang ditubuhkan pada 17 Mac 1948 di Gunung Semanggul di Perak ditubuhkan atas usaha itu yang akhirnya diteruskan oleh PAS (ditubuhkan pada 1951) setelah mana Hizbul Muslimin pada tahun 1948 juga telah diharamkan oleh British. Begitu juga dengan gerakan-gerakan Islam yang lain yang tumbuh atas kesedaran ini di negara-negara yang didiami oleh umat Islam.

Tugas mengembalikan Khilafah Islam adalah perjuangan utama PAS. Wasilah yang dipilih adalah menyertai politik.

Ada orang beranggapan bahawa apabila PAS adalah wadah politik, maka ini bukti bahawa PAS bukan gerakan Islam atau jemaah Islam. Bagi saya, berhasrat semata-mata untuk mendirikan Khilafah Islam tanpa mengambil cara terbaik untuk mencapai hasrat ini adalah satu idea kosong.

Kalau di Malaysia contohnya, apakah cara yang paling ideal dalam mencapai matlamat mengISLAMkan kerajaan Malaysia yang saudara fikirkan; berdakwah kepada golongan-golongan tertentu sahaja (cream of the cream atau konsep tentera Badar al-Kubra yang diwarwarkan oleh orang-orang itu), atau hanya menceritakan kepada masyarakat untuk mengislah diri dengan harapan apabila ramai yang berubah dari sudut akhlak dan imej, atau berkecimpung dalam bidang politik untuk memenangi pilihanraya lalu kuasa yang dimenangi akan dipaksa untuk tunduk kepada arahan dan kehendak Allah?

Kalau anda tidak mahu untuk terlibat dalam gelanggang politik dalam menyampaikan mesej ISLAM sebaliknya lebih selesa untuk berdakwah kepada golongan manusia terpilih itu, saya sendiri tidak tahu berapa ratus tahun lagi atau berapa ribu tahun lagi yang kita kena tunggu sehingga seluruh manusia akan kembali dan mahu untuk mendaulatkan Islam sebagai Raja dan Sultan bagi negara.

Bertawakkal kepada Allah adalah yang paling utama. Namun Allah meminta kita selepas beriman dengan ketentuan Allah untuk mencari wasilah yang paling terbaik untuk mencapai maksud yang diinginkan (al-Akhdzu Bil Asbab). Pastinya wasilah yang paling hampir untuk merealisasikan projek MENGISLAMKAN KERAJAAN adalah dengan cara politik. Maka tidak hairan apabila al-Ikhwan al-Muslimun akhirnya menyertai politik Mesir dalam usaha untuk meraih kuasa pemerintahan melalui wasilah politik.

Kalau anda memang mahu dan sungguh-sungguh mahu untuk mendaulatkan sistem pemerintahan Islam, anda mesti menggabungkan diri dan berjuang dalam pentas PAS di Malaysia. Kerana itulah tidak hairan apabila Dr. Yusuf al-Qardhawi sendiri ketika ditanya oleh Ustaz Nasaruddin Mat Isa berkenaan dengan soalan "Siapakah Jemaah Islam yang wajib disokong dan didokong oleh rakyat Malaysia" menjawab dengan jelas bahawa: Jemaah Islam yang wajib disokong dan didokong di Malaysia adalah PAS.

Kalau anda sebut, PAS tidak ada tarbiah atau PAS tidak sempurna dari sudut itu dan itu dan itu...., maka saya mengajak anda semua terutamanya teman-teman pelajar di Mesir untuk kita terjun dan menggabungkan diri dengan perjuang PAS dan kita memperbaiki segala kelompangan yang ada.

Janganlah semata-mata ada kelompangan dalam PAS sedangkan matlamat dan cita-citanya adalah Menegakkan Islam di Malaysia menyebabkan kita merasa jijik untuk bersama PAS lalu kita menyertai atau menubuhkan satu kumpulan baru yang juga bertujuan dengan matlamat PAS. Kelak anda akan bermain dengan al-Tasalsul kerana pastinya jemaah baru itu akan ada masalah lalu akan ada yang keluar dan menubuhkan jemaah kedua yang pastinya akan turut tidak sempurna lalu akan tertubuhlah pula jemaah yang keseterusnya tanpa ada kesudahan.

Bagi saya, wujudnya kumpulan-kumpulan di Malaysia yang lain selepas wujudnya PAS adalah melambatkan kemenangan Islam. Mengapa tidak? Bukankah kita akan sibuk mengira nombor-nombor jemaah-jemaah yang wujud.

Terlibat dengan PAS adalah cabaran, dugaan, pengorbanan dan air mata. Anda akan letih kerana syurga itu merehatkan. Anda akan berair mata kerana syurga itu menggembirakan. Yang pasti kalau anda mahu menegakkan Islam tetapi anda hanya mahu selesa dan takut berdepan dengan FRU dan ISA, anda sebenarnya sedang buat kelakar.

So apalagi, teruskan berazam untuk mewaqafkan diri kepada perjuangan Islam di dalam wadah PAS.

8 comments:

Abdullah Haris Zakaria at-Takeeriy said...

Alloh Akbar!!
letihkan diri kita atas dunia ini full time utk islam..insyAlloh kita akan rehat full time juga dlm syurga Alloh di akhirat kelak..ameen.

Anonymous said...

Salam.bagi pandangan diri saya yang dhaif ini,pertubuhan-pertubuhan lain yang menjadikan ISLAM sebagai tonggak bukannya tidak perlu dan perlu dibubarkan.Kita harus sedar di Malaysia bukan semua orang yang didakwah(mad'u) itu selesa atau ingin terlibat atau mengikuti program tarbiyyah yang dilakukan oleh PAS kerana masih ramai di luar sana yang masih tidak faham akan perjuangan PAS dan menganggap PAS hanya ingin meraih kuasa politik semata-mata.Ditambah lagi dengan kedajalan media-media arus perdana yang memburukkan PAS itu sendiri.Disebabkan hal ini,ramai yang cuba menjauhkan diri dengan PAS.

Menyedari fenomena ini,maka tertubuhlah pertubuhan NGO Islam seperti ABIM,ISMA,JIM dll pada hemat saya bagi mengambil peranan untuk menyampaikan dakwah kepada golongan yang saya sebutkan di atas.Pertubuhan NGO Islam yang ditubuhkan ini bukannya berniat ingin memisah2kan politik dengan Islam tetapi pertubuhan sebegini mahu mengambil jalan dakwah yang tidak menggunakan politik sebagai teras.Ianya hanya dari sudut teknikal sahaja tetapi masih sama dari segi prinsip dan pegangan akidah dan menjunjung al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber rujukan.

Satu lagi yang perlu kita faham,bahawa tidak semestinya orang yang tidak mengisi borang keahlian PAS atau kelihatan tidak bekerjasama secara langsung dengan PAS beerti tidak menyokong pejuangan menegakkan khilafah Islam secara khususnya atau negara Islam di Malaysia secara amnya kerana yang menentukan sokongnya seseorang itu kepada perjuangan yang dibawa oleh PAS ialah undi yang akan dipangkah semasa pilihanraya nanti.Apalah gunanya jika seseorang itu menjadi calon PAS dan telah berjaya pun menjadi ahli parlimen tetapi akhirnya keluar menjadi ahli parlimen bebas.Saya rasa ustaz tahu siapa yang saya maksudkan.

Jika kita lihat ramai saja tokoh di Malaysia yang menjalankan kerja dakwah tetapi tidak melibatkan diri secara langsung dengan PAS seperti Dr Mohd Asri,Ustaz Zaharuddin Abd Rahman,Dr Danial Zainal Abidin,Ustaz Hasrizal dan ramai lagi.Mereka ini setakat ini alhamdulillah walaupun tidak banyak telah dapat menyampaikan dakwah dan mesej Islam kepada masyarakat dan masyarakat dapat menerima tanpa sebarang kesangsian dan keraguan.Tetapi ini bukan beerti perjuangan PAS tidak perlu diteruskan sebaliknya perlu dilipat gandakan tanpa menafikan perjuangan2 yang dibawa oleh individu dan pertubuhan2 NGO Islam yang lain.

Kesimpulannya,janganlah kita sibuk mencari kesalahan sesama sendiri dan ingin menjatuhkan saudara seislam kita sendiri yang mana dalam masa yang sama masyarakat di Eropah telah pun mempunyai European Union(EU)/Kesatuan Eropah yang kukuh.Belajarlah untuk memahami satu sama lain dan bertolong-menolong atas dasar ketaqwaan.Jauhilah sifat ego yang didasarkan atas dasar senior atau orang lama dalam dakwah.Sama saja sama ada di Malaysia mahupun di Mesir itu sendiri.Wallahu 'alam.

Hairul Nizam Mat Husain said...

Pandangan Drmarzuki mungkin ada benarnya.

Saya menerima bahawa ramai orang tidak berminat dengan PAS kerana mereka tidak jelas kepada perjuangan PAS. Maka ketika itu penting ada NGO Islam yang memainkan peranan untuk berdakwah kepada golongan ini agar mesej Islam itu sampai seterusnya mereka mengetahui wajah sebenar PAS.

Jelasnya saya kira saudara bersetuju bahawa PAS adalah jemaah Islam yang mesti dibantu dan disokong. Saya harap orang yang faham konsep dakwah PAS seperti saudaralah yang akan bersungguh-sungguh mengerah tenaga untuk membantu PAS.

Biarlah orang-orang yang masih belum jelas dan seriau dengan PAS terlibat dengan NGO Islam yang lain sementara mereka dijelaskan dengan konsep PAS yang sebenarnya.

Namun saya juga tetap hairan. Adakah di sana usaha untuk memurnikan pemikiran ahli-ahli NGO Islam itu terhadap PAS. Maksud saya adakah ahli JIM, ABIM, UMNO (kalau UMNO pun parti Islamlah)dan ALAMI yang mungkin pada awalnya takut dan tak jelas dengan perjuangan PAS akan diusahakan agar mereka menerima PAS?

Macam tak ada.

Kalau usaha ini tidak berlaku, saya boleh simpulkan bahawa NGO2 ini tak lebih dari usaha untuk menyampaikan dakwah ke arah memperbaiki akhlak dan peribadi semata-mata. Maka tidak akan tercapailah hasrat kita semua agar masyarakat menyedari kepentingan mereka bersama dengan PAS dalam meraih kuasa politik yang akan menjadi katalis kepada pelaksanaan Syariat Islam.

Seterusnya yang lebih malang lagi adalah sikap saling merebut orang yang ingin ditarbiah (mad`u). Contohnya di Mesir sendiri ramai adik-adik yang baru tiba di Mesir tidak direstui untuk berada dalam NGO Islam yang telah lama ada di Mesir seperti PMRAM, BKAN dan PERUBATAN sendiri. Kalau betul sikap kita adalah bantu-membantu, biar sahajalah adik-adik baru ini diberikan tarbiah oleh PMRAM.

Namun yang berlaku adalah sebaliknya. Sekitar beberapa tahun yang lepas, beberapa orang pelajar baru dari Selangor diambil di lapangan terbang Kaherah dan disorok dalam rumah-rumah itu tanpa mereka dibenarkan untuk menyertai Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM). Saksi-saksi hidup basih belum lagi pulang ke Malaysia. Tahun ini sendiri ada di kalangan mahasiswa baru dari Kedah yang tiba di Mesir. Namun adik-adik ini tidak dijumpai di mana mereka sebenarnya.

Maka persoalannya adalah: Apakah konsep sebenarnya dakwah ALAMI dan rakan-rakannya? Adakah mereka merasakan bahawa tarbiah dari PMRAM, BKAN dan PERUBATAN tidak baik lalu mereka wajib menyelamatkan adik-adik baru daripada dirosakkan oleh konsep tarbiah PMRAM, BKAN dan PERUBATAN.

Kesimpulan saya adalah: kalau kita merasakan bahawa kita wajib untuk menegakkan Khilafah Islam itu sendiri, kita sepatutnya kena sedar bahawa kemenangan itu bukan percuma sebaliknya memerlukan kepada usaha dan taktik yang paling sesuai dan berkesan. Semestinya taktik untuk mendapatkan kuasa pada hari ini adalah melalui pilihanraya. Maka PAS mesti dibantu kerana PAS kekurangan tenaga. Janganlah bazirkan tenaga. Kesianlah pada PAS.

Hairul Nizam Mat Husain said...

JIM dan ALAMI contohnya mesti betul-betul menjadi NGO kepada PAS dengan maksud; mereka mesti mendedahkan kepada ahli mereka bahawa kita wajib mendokong dan membantu PAS. Mereka perlu sedar bahawa mereka adalah sekadar tempat singgah sebelum para mad`u bersama PAS. Sekadar memangkah PAS dalam pilihanraya seterusnya membiarkan PAS terkontang-kanting dan tercungap-cungap tak cukup tenaga kerja dan idea adalah satu tindakan yang tidak patut.

Lebih tidak patut apabila JIM atau ALAMI atau apa-apa sahaja pertubuhan Islam yang lain menarik pula ahli PAS untuk tidak bersama PAS sebaliknya bersama mereka. Tariklah orang-orang UMNO atau yang tidak memiliki fikrah Islam untuk mereka sedar perjuangan Islam sehingga mereka merasakan kewajipan untuk menjadi petugas PAS. Orang PAS pula, tak perlulah ditarik.

PAS juga mempunyai NGO yang berperanan untuk mendedahkan perjuangan PAS dalam wasilah bukan politik. JIM dan ABIM serta ALAMI perlu menjadi seperti itu, bukannya menarik orang untuk tidak bersama PAS.

Drmarzuki sebut pada saya konsep dan teori mengapa dan apakah peranan NGO Islam itu. Cuma saya masih ragu adakah teori dan konsep itu betul-betul berlaku ataupun ALAMI, JIM and the geng sebenarnya bukan seperti konsep yang dinyatakan.

mohdmohd said...

drmarzuki said:
Kita harus sedar di Malaysia bukan semua orang yang didakwah(mad'u) itu selesa atau ingin terlibat atau mengikuti program tarbiyyah PAS....

KOmen saya : PAS dah semakin diterima oleh masyarakat, bahkan non muslim pun dah sokong pas. Kelab Penyokong dan melebihi 10 000 orang.Jadi hampir tiba masanya Jemaah lain harus dibubarkan.

Memperbanyakkan Jemaah boleh melemahkan kekuatan dalaman umat dan menjadi talian hayat kepada musuh hidup. Saya tak pernah terbaca dalam sejarah bukti semakin banyak jemaah semakin kuat umat islam, tetapi bukti sebaliknya banyak berlaku di seluruh negara umat islam

Soalan saya : Kalau dah byk sgt Jemaah kepada siapa wala' hendak diberikan?

RajaMuhammad Suffian Ibnu Rahman said...

izin copy entry ust

RajaMuhammad Suffian Ibnu Rahman said...

salam ust,new post comment ttg entry ust di blog ana www.deriaislah.blogspot.com

tiadanama said...

Sekadar melawat blog ini dan terbaca entri ini dan komen-komennya.

Saya pernah berada dalam jemaah X ketika dalam tahun pertama dahulu. Antara silibus usrah dan daurah yang tak boleh dilupakan ialah bagaimana
1.Sesetengah ahli gerakan islam suka berdebat. Maka apabila berhadapan dengan keadaan ini, ingatkan mereka bahawa islam menganjurkan kesatuan. Dan jika mereka masih berdebat... katakan bahawa mereka tidak arif tentang apa sebenarnya yang didebatkan.
2.Sebagai golongan 'ahli badar', kita harus mengislahkan masyarakat. Lalu dilukis sebuah bulatan besar, dan sebuah bulatan kecil didalamnya. Bulatan kecil itu dilorekkan. Kita, sebagai 'ahli badar' yakni bulatan kecil (515 orang sahaja berbanding 2 ribu lebih ahli madinah) ini harus memperbaiki diri untuk mengislahkan 'Madinah'.
3. Jika langkah 2 itu berjaya, maka insyaAllah kejayaan akan diberi oleh Allah.

Retrospectively, antara sebab mengapa adik-adik baru yang mengikuti usrah mereka terus dibrainwash ialah
1. Langkah 1 diatas menjadikan mereka kurang berfikir dan lebih mengikut. Kerana khuatir jika banyak bertanya, lemah iman dll.. Maka, pandangan murabbi/ senior mereka secara automatik menjadi pandangan mereka juga. (herd-mentality)
2. Mereka merasakan diri mereka itu lebih baik dari orang lain. (self superiority)
3. Mereka merasakan dengan membaikkan diri, nusrah dari Allah akan memenangkan mereka, tanpa usaha yang 'kotor' dan 'susah' seperti pilihanraya, dakwah di kampung-kampung dan pedalaman (berbanding dakwah pada orang2 baik2) - (passivity)

Cara untuk counter-attack dan meneutralkan balik pengaruh ini?
1. Menganjurkan adik2 baru untuk BERFIKIR.
2. Memahamkan kedudukan mereka dalam dunia ini- REALITY CHECK
3. Mengalakkan mereka untuk bergerak dan menyumbang secara maksimum kepada masyarakat.

Diharapkan ini membantu pembaca yang lain. Allahu'alam. AstaghfirulLah.