Setelah saya meneliti ucapan Raja Petra Kamarudin, saya boleh mengambil beberapa kesimpulan bahawa beliau sebenarnya tak jelas berkenaan dengan Islam dan sistem peraturannya.
Perundangan Islam Sekilas Pandang.
1. Undang-undang Islam terbahagi kepada hukuman Hudud, Qisos dan Ta'zir.
- Hudud adalah jenayah-jenayah tertentu yang dinyatakan oleh Allah dan Rasul berkenaan dengan hukuman setimpal. Contohnya seperti zina yang akan membawa kepada hukuman sebat 100 kali atau rejam dengan batu sehingga mati. Begitu juga dengan jenayah minum arak, keluar daripada agama Islam dan lain-lain.
- Qisos pula adalah hukuman balas yang sama dengan jenayah yang dilakukan. Pembunuhan yang tidak dibenarkan oleh Islam akan menyebabkan si pembunuh akan dibunuh balas. Orang yang menampar seseorang akan dihukum dengan hukuman tampar juga.
- Takzir pula adalah hukuman terhadap jenayah yang tidak dinyatakan oleh Allah dan RasulNya seperti mendedahkan aurat, rasuah dan sebagainya. Dalam hukuman Takzir, para pemerintah diberikan peluang untuk memikirkan hukuman yang sesuai yang boleh mencegah jenayah tersebut.
2. Hudud dan Qisos adalah hukuman yang diwajibkan oleh Allah ke atas umat Islam. Satu perbuatan yang tidak patut sekiranya umat Islam membangkang pelaksanaan hukuman Hudud dan Qisos. Tindakan mahu memilih-milih hukum-hukum tertentu yang diminati oleh akal seseorang dan menolak hukum-hukum yang tidak digemarinya adalah salah dan bercanggah dengan etika seorang muslim. Sila lihat Surah al-Baqarah ayat 85, al-Baqarah ayat 208 dan al-Ahzab ayat 36. Akal yang perlu mengikut Allah dan Rasul bukannya Allah yang perlu mengikut akal.
3. Para ulama berbeza pandangan adakah bukan Islam turut tertakluk dengan hukuman Hudud seperti zina, arak dan sebagainya. Walau bagaimanapun, pandangan yang dipilih oleh PAS adalah Hudud hanya akan dilaksanakan ke atas individu muslim yang melakukan jenayah terbabit.
Adapun jenayah Qisos seperti pembunuhan, ini tidak khusus kepada orang Islam sahaja bahkan turut akan dikenakan kepada bukan Islam yang melakukan jenayah terbabit. Maka tidak timbul pembunuh yang bukan Islam tidak akan dihukum bunuh apabila dia membunuh seorang muslim.
4. Malaysia sudah cukup lama mengamalkan undang-undang ciptaan manusia yang tidak berkesan dalam mencegah jenayah. Maka mengapa kita tidak mencuba untuk melaksanakan undang-undang ciptaan Allah yang Maha Mengetahui perihal keperluan makhlukNya? Bahkan sikap seorang muslim sepatutnya bukanlah hanya ingin melaksanakan perundangan Islam apabila perundangan ciptaan manusia tidak menyelesaikan masalah sosial. Umat Islam sepatutnya melaksanakan undang-undang Islam kerana ini adalah arahan Allah.
Beberapa komentar terhadap ucapan Raja Petra Kamarudin
1. RPK keliru dalam membezakan antara Hudud dan Qisos. Pembunuhan bukan termasuk dalam hukuman Hudud sebaliknya termasuk dalam hukuman Qisos. Non Muslim turut dikenakan hukuman Qisos. Sila bezakan antara hudud dan qisos.
2. RPK membangkitkan beberapa contoh yang termasuk dalam hukuman hudud iaitu minum arak dan zina. Hudud menurut sebahagian ulama tidak akan dikenakan kepada non Muslim. Namun perlu disedari bahawa antara konsep Islam adalah 'Tidak boleh melakukan perbuatan yang mudarat dan tidak boleh memudaratkan'. Sekiranya non muslim yang melakukan jenayah hudud akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain, maka non muslim ini mesti dicegah.
Arak contohnya sekiranya dibiarkan diminum di tempat awam, ini akan mengakibatkan mabuk yang boleh menyebabkan kematian jalan raya. Maka atas konsep 'Tidak boleh melakukan perbuatan yang mudarat dan tidak boleh memudaratkan', tindakan mesti diambil agar seseorang non muslim itu tidak akan membahayakan orang lain.
3. RPK membangkitkan adakah non muslim akan ditangkap sekiranya tidak solat Jumaat. Saya terpegun dengan contoh ini. Takkanlah beliau tidak mengetahui bahawa hukum-hukum Islam terbahagi kepada dua; arahan yang bersifat umum kepada orang Islam dan bukan Islam, dan arahan yang hanya khusus kepada orang Islam sahaja? Satu keanehan yang nyata.
4. RPK mempertikaikan ucapan Ketua DPP yang berbunyi: "Sistem undang-undang yang ada belum berjaya, sehingga ada keperluan untuk sistem alternatif". Saya mengajak RPK selaku seorang muslim untuk sedar bahawa apabila sistem undang-undang bahkan sistem menguruskan negara tidak mengikut arahan Allah, itu adalah satu masalah kerana Allah menjadikan manusia sebagai orang yang menguruskan dunia dengan sistem yang ditetapkan oleh Allah, bukannya dengan sistem ciptaan akal manusia yang terbatas. Sekiranya sistem Inggeris dapat menyelesaikan masalah rakyat sekalipun, ia tetap bermasalah berdasarkan kaca mata Islam kerana kita tidak melaksanakan ketetapan yang diwajibkan oleh Allah. Saya menimbulkan perkara ini kerana RPK adalah seorang muslim yang sepatutnya yakin dengan keputusan dan ketetapan Allah.
5. RPK mempersoalkan bahawa adakah hudud dapat membendung jenayah sedangkan penjenayah boleh merasuah polis, peguam dan hakim. Saya tidak menyalahkan beliau kerana beliau menyangka bahawa hakim, polis dan peguam yang akan beroperasi dalam sebuah negara yang berteraskan kepada Islam adalah hakim, polis dan peguam pada hari ini.
Di dalam Islam, jenayah dibenteras dengan dua cara; nilai takutkan Allah Taala dan undang-undang yang dilaksanakan. Menjadi satu yang pincang sekiranya hanya salah satu daripada dua perkara ini sahaja yang dilaksanakan.
Hakim contohnya di dalam sistem Islam hendaklah seorang yang bersifat `Adalah. `Adalah adalah sikap seseorang yang tidak melakukan dosa besar dan tidak melazimi dosa kecil. Syarat yang sama juga perlu ada pada para menteri, para polis dan peguam. Ini bukan satu dongengan. Sejarah pemerintahan Sayyidina Umar bin al-Khattab yang luas menunjukkan tiada korup dan tiada kezaliman yang berlaku kepada orang-orang yang ditindas sama ada mereka adalah orang Islam atau bukan. Semestinya para menteri, para hakim, para peguam dan polis yang korup dan kaki rasuah akan dipecat berdasarkan konsep pemerintahan berteraskan Islam yang menafikan berlakunya kezaliman dan penindasan.
6. RPK membuat perbandingan dari sudut sejarah dengan mendatangkan kisah gereja yang korup. Adakah sama agama yang dibawa oleh gereja dengan Islam yang datang dari tuhan semesta Alam. Saya ingin pula bertanya mengapa pemerintahan Islam pada zaman Sayyidina Umar bin al-Khattab contohnya tidak berlaku kezaliman kepada orang Islam atau bukan Islam? Jawapannya adalah pelaksanaan Islam dalam segala hal dan inilah yang diperjuangkan oleh PAS.
7. RPK sebut: "In fact, God’s laws were actually the problem because it was so easy to manipulate the so-called Word of God and no one dared question the injustice lest they be accused of being anti-God."
Saya langsung tidak bersetuju dalam hal ini. Ini kerana huraian berkenaan Firman Allah dan sabda Rasulullah sudahpun dimudahkan untuk generasi hari ini. Para ulama silam yang pakar dalam selok belok Islam sudah menjelaskan berkenaan dengan hukum-hukum Islam secara cermat dan teliti. Kalaulah ada orang yang cuba untuk memutarbelitkan firman Allah dan hadith Rasulullah, dia akan mendapat masalah besar kerana fakta-fakta Islam sudahpun direkodkan dan pastinya ulama Islam dari seluruh dunia akan menyelar dan membetulkan fakta yang sepatutnya. Mudahnya tiada rahsia di dalam selok belok Islam.
Sebaiknya RPK terus merujuk para ulama apabila isu yang ditimbulkan membabitkan hal ehwal Islam. Adalah satu perkara yang memalukan sekiranya RPK membincangkan berkenaan hudud sedangkan beliau sendiri tidak tahu untuk membezakan antara Hudud dan Qisos.
Saya tidak terasa hairan sangat sekiranya bukan Islam menolak sistem Islam tapi kalau yang mempertikaikannya adalah seorang Muslim, ini satu masalah yang menunjukkan Islam sendiri tidak difahami oleh penganutnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Menarik :) terima kasih atas perkongsian~
Post a Comment