Thursday, April 30, 2009

Gerakan Islam Perlu Bersatu



Sumber: http://malaysianchronicle.blogspot.com/2009/04/gerakan-islam-perlu-waspada-musuh.html

PAS sangat mengimpikan kerajaan Islam di Malaysia. Sejarah parti itu juga dilakar sebagai cabang dari pelopor gerakan dakwah terbesar di dunia, Ikhwan Muslimin di Mesir, yang diasaskan oleh Assyahid Imam Hasan Albana.

PAS meletakkan dasar perjuangan parti bersandarkan hujah-hujah Islam iaitu Quran, Sunnah, ijmak Ulama dan Qias.

PAS percaya, dengan mengamalkan hukum-hukum Islam dalam negara, bahkan seantero dunia, boleh menyelamatkan manusia dan alam dari segala kerosakan dan kezaliman.

Ini berikutan, Islam bukan sekadar amalan ritual semata-mata tetapi mencakupi segala aspek dalam kehidupan dari bab ibadah sehinggalah kepada siasah.

Malah segala persoalan dalam kehidupan mampu dijawab dengan hujah-hujah Islam.

Pada zaman ketamadunan Islam pula, semua asas keilmuan dihasilkan oleh tokoh-tokoh Islam.

Antaranya ahli matematik terkenal-Abu Abdullah Mohammad Ibn Musa al-Khawarizmi, ahli astronomi-Abul Wafa Muhammad Al-Buzjani, ahli saintis- Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina dan Abu Bakar Muhammad bin Zakaria al-Razi, pakar perubatan- Ibnu Sina, ahli falsafah, Fakhruddin al-Razi, sasterawan-Khojeh Shamsuddin Muhammad Hafez Shirazi dan Hamzah Fansuri.

Bukan sahaja PAS, tetapi seluruh gerakan Islam di dunia mengimpikan perkara yang sama, iaitu menghidupkan semula pemerintahan berasaskan khalifah yang telah hilang, terakhirnya di Turki di bawah Daulah Uthmaniyyah.

Kuasa imperial dan kolonial Anglo Amerika sangat risau jika impian seluruh umat Islam ini tercapai. Mereka mendakwa kehidupan akan lebih mundur di bawah pemerintahan Islam, bersifat teokrasi semata-mata, tiada kebebasan dan menyekat kebebasan beragama dan gender.

Justeru, impian mereka untuk melaksanakan agenda 'new world' akan tersekat dek kuasa baru dari timur tengah ini.

Para kapitalis adalah golongan yang amat risau sekali. Di bawah pemerintahan Islam, ekonomi berasaskan riba gawat justeru menyekat kuasa monopoli yang sebelum ini amat menguntungkan.

Malah, kebergantungan sesuatu perniagaan adalah bersandarkan kepada dinar emas sebagai komoditi. Instrumen ini dijadikan perantara dalam penentuan kadar/nilai perdagangan bersama negara-negara lain.

Lalu bertambah risaulah para pencipta wang kertas, tambahan hasil bumi yang banyak hanya terdapat dalam negara-negara Islam sahaja. Maka sumber alam itu dianggap sebagai talian hayat bagi membolehkan sesebuah negara bernafas sampai masa akan datang.

Maka tercetuslah peperangan. Berperang untuk merebut asas kehidupan iaitu punca-punca ekonomi seperti petroleum, gas, bijih timah, perladangan dan sebagainya.

Kapitalisma dan peperangan mempunyai hubungan yang sangat rapat.

Kapitalisma baru ini telah mengembangkan sebuah perlumbaan senjata sejak ia bermula selepas hujung Perang Dingin.

Negara-negara Islam juga, malah diperbataskan melalui persempadanan geografi. Dari sebuah tanah Islam yang besar, hinggalah pecah kepada beberapa negara seperti Mesir, Jordan, Syria, Iraq dan Arab Saudi.

Akibatnya, pemimpin-pemimpin negara timur tengah itu hanya menjaga negara dan rakyat mereka sahaja.

Dengan dakyah koloni iaitu pecah dan perintah, umat Islam diajak berebutkan pemerintahan atas nama manjanya, demokrasi.

Kuasa memerintah hanya diserahkan kepada pemimpin tempatan yang boleh menjaga kepentingan penjajah sahaja. Kuasa memilihnya adalah rakyat. Biarpun raja atas carta tertinggi namun kuasa imuniti dihilangkan sebagai menghalang kuasa pemutus.

Bagi rakyat kebanyakan, media dikawal selia oleh pemerintah. Kehendak sosial seperti hiburan, sukan, program realiti dipersembahkan bagi melalaikan mereka dari isu yang paling utama.

Wartawan dan pembuat dokumentari, John Pilger, seorang penerbit rancangan television (The New Rulers of The World) mendakwa 'pemerintah baru dunia' ialah sebuah junta ekonomi yang terdiri daripada perusahaan-perusahaan multinasional dan kuasa-kuasa imperial, khususnya Amerika Syarikat.

"Walaupun projek ini memang lama, bermula lebih 500 tahun dahulu, keadaan era moden telah berubah dengan pesat sekali. Perusahaan-perusahaan multinasional bukan sahaja telah mengambil-alih, malah kerajaan Amerika Syarikat tidak pernah lebih berkuasa daripada sekarang.

Tetapi ia merupakan sebuah gabungan, sebuah integrasi di antara kuasa kerajaan dengan perusahaan multinasional yang merupai badan diktator," tegasnya.

Antara kekuatan dan kekuasaan kolonial adalah melalui bahasa. Ya, bahasa melambangkan bangsa.

Di Malaysia sendiri, bahasa Melayu sukar bernafas berbanding bahasa Inggeris yang disanjung tinggi. Malahan, bagi rakyat yang tidak tahu berbahasa Inggeris akan berasa rendah diri.

Para pelajar pula terpaksa mempelajari bahasa Inggeris bagi mencapai keperluan antarabangsa. Ini kerana, setiap ilmu kepada asas kehidupan yang pada asalnya dipelopori oleh tokoh-tokoh Islam sudah beralih kepada barat.

Maka, keperluan memahami dan mempelajari bahasa tersebut adalah penting bagi memiliki semula khazanah yang telah dirampas dahulu.

Mahu tidak mahu, bagi menewaskan penjajahan bentuk baru itu, gerakan-gerakan Islam yang tumbuh dalam negara, yang berhadapan serangan halus berupa era demokrasi moden, perlu bertanding dalam pilihan raya sebagai pra syarat memerintah negara.

Walaupun boleh memilih jalan yang paling singkat iaitu peperangan, namun ia bukanlah jalan terbaik mengikut hak asasi manusia. Tambahan melanggar undang-undang antarabangsa, pencerobohan tersebut hanya memburukkan imej Islam di persada global.

Lalu, memilih gerakan Islam sebagai wadah perjuangan adalah kewajipan kepada penganut beragama Islam sendiri, bagi menghidupkan semula ketamadunan Islam yang telah hilang dahulu.

Apapun masalah yang berlaku kepada pimpinan dalam gerakan Islam, ia adalah masalah individu itu sendiri. Sedikitpun kecacatan tersebut bukan disebabkan oleh peraturan yang selalu digunakan oleh pejuang-pejuang agama, dahulukala.

Bergabung di bawah satu panji adalah penting untuk mempercepatkan kemenangan Islam. Apakah masalahnya untuk tidak menyatakan sedemikian justeru mewujudkan pelbagai kumpulan tetapi atas matlamat yang sama?

Sekiranya hal tersebut berterusan, secara tidak sedar, umat Islam yang mendakwa dirinya sebagai pejuang agama, sudah terpedaya dengan penjajahan bentuk baru yang diamalkan penjajah; iaitu memecah-belahkan sesama umat kepada beberapa kumpulan.

Akibatnya, mereka berselisih dalam perkara cabang agama, mereka bergaduh hanya disebabkan perbezaan uslub dakwah, mereka juga menyalahkan antara satu sama lain, tanpa menyedari musuh yang sebenar sedang ketawa memerhatikan mereka dan menunggu masa untuk menikam mereka dari belakang!

2 comments:

Dzuu Haniin said...

salam tuan guru..
ana ada tgk satu dokumentari (zetgeist)ttg bagaimana junta2 ekonomi mnguasai dunia..rupanya lagi byk dikeluarkan duit,mnunujukkan lebih banyak negara berhutang dgn bank negara sendiri..mmg pelik sistem kafir..
apa2pun moga kita semua bersatu dibwh satu payung..

Colgate said...

Kenapa perlu bergopoh-gapah dalam mencapai kemenangan?? bukankah binaan yg dibina dgn gopoh tidaklah begitu kukuh?