Saturday, March 10, 2012
Lama Betul Tidak Menulis
Thursday, June 23, 2011
Ada Orang Kata Tak Boleh Lawan UMNO Sebab Kita Kena Taat Pada Para Pemimpin???
Buku karangan beliau yang pada asalnya ditulis dalam bahasa Perancis adalah membincangkan konsep kerajaan menurut kaca mata Islam. Antara yang menarik di dalam buku ini adalah seperti berikut:
- Sesebuah kerajaan tidak akan dianggap sebagai kerajaan Islam melainkan apabila kuasa penetapan dasar (al-Sultoh al-Tasyri`iyyah) adalah diserahkan bulat-bulat kepada ketetapan Allah dan RasulNya, bukan kepada pandangan ahli parlimen.
- Kerajaan Islam terbahagi kepada dua; al-Khilafah al-Rashidah (kerajaan yang sempurna) dan al-Khilafah al-Naqisoh (kerajaan yang berlaku kekurangan). Menurut beliau, al-Khilafah al-Rashidah hanya akan berlaku apabila sistem perlantikan seseorang khalifah adalah dengan pemilihan daripada rakyat. Sekiranya sistem yang diamalkan adalah sistem beraja, maka kerajaan tersebut adalah al-Khilafah al-Naqisoh.
- Dari sudut sejarah, al-Khilafah al-Rashidah hanya berlaku bermula daripada pemerintahan Sayyidina Abu Bakar dan berakhir pada pemerintahan Sayyidina Ali bin Abi Tolib. Selepas itu sehinggalah jatuh Khilafah Islamiyyah pada tahun 1924, Khilafah adalah Khilafah yang tempang kerana perlantikan Khalifah adalah dengan cara kekeluargaan.
- Apabila khilafah adalah khilafah yang tempang (al-Khilafah al-Naqisoh), maka sekiranya umat Islam dapat menjatuhkan khilafah ini dan dapat menggantikannya kepada al-Khilafah al-Rashidah, maka umat Islam hendaklah menjatuhkan sebuah Khilafah Islamiah yang tempang.
- Sekiranya umat Islam tidak mampu untuk menggantikan al-Khilafah al-Naqisoh kepada al-Khilafah al-Rashidah, maka bersabar dengan kezaliman al-Khilafah al-Naqisoh adalah lebih baik daripada hidup di dalam zaman tiadanya Khilafah langsung.
- Antara usaha yang perlu dimainkan bagi mendirikan Khilafah Islamiah buat masa hadapan adalah mewujudkan institusi ilmu yang mampu mengeluarkan orang-orang yang pakar dalam bidang fiqah (al-Mujtahidun).
Saya membuat satu kesimpulan:
Sekiranya sebuah Khilafah Islamiah yang melaksanakan hukum-hukum Islam dan menjadikan kuasa pemutus dasar tertingginya adalah Syarak pun boleh dijatuhkan oleh rakyat apabila cara perlantikan Khalifah bukan dengan cara suara rakyat, maka apa sangatlah dengan kerajaan BN yang memerintah Malaysia pada hari ini yang sememangnya bukan negara Islam bahkan sanggup pula mengenepikan aturan-aturan Syarak.
Rasanya Kerajaan BN hari ini sangat-sangat layak untuk diruntuhkan oleh rakyat yang cintakan Islam dan cintakan kesejahteraan sejagat.
Wednesday, June 15, 2011
Perkara-Perkara Yang Terlintas Di Benak Saya Yang Berhubung Kait Dengan Gerhana Bulan:
3) Gerhana bulan memperlihatkan peristiwa-peristiwa berikut; bulan tidak muncul pada siang hari, muncul pada waktu malam, mula malap dan akhirnya terus hilang daripada pandangan kemudian muncul semula. Fasa-fasa ini begitu mirip dengan kehidupan manusia; pada asalnya tidak wujud, kemudian diwujudkan oleh Allah, akhirnya mula lemah dan akhirnya mati, kemudian dimunculkan semula di Akhirat nanti untuk mendapat rahmat dan keadilan daripada Allah.
4) Kalaulah bulan yang begitu besar dapat dilenyapkan oleh Allah, maka adakah menjadi terlalu sukar untuk Allah menghancurkan manusia dan kerajaan yang menyeleweng daripada arahan dan perintahNya?
Semoga BULAN yang gerhana dan akhirnya muncul semula akan terus indah dan terus bercahaya kepada para mukmin yang cinta dan rindu untuk menghambakan diri kepada tuhannya dan terlalu rindu untuk menjadikan pemerintahan adalah makmum kepada Allah dan RasulNya. Saya akan terus menjadi pungguk yang merindui BULAN dalam pilihanraya akan datang. Insyaallah..
Tuesday, June 14, 2011
Keputusan Majlis Fuqahak Amerika Terhadap Hukum Demonstrasi Aman
Bagi menjawab isu berkenaan dengan hukum berdemonstrasi secara aman, saya datangkan keputusan seminar Majlis Fuqahak Amerika yang bersidang di Kaherah, Mesir pada 28 Julai - 2 Ogos 2006 yang membincangkan berkenaan dengan tajuk "Keterlibatan Dalam Politik". Antara keputusan yang diambil adalah seperti berikut:
ثالثا: التظاهر ومدى مشروعيته:
التظاهر هو إعلان رأي أو إظهار عاطفة في صورة مسيرة جماعية، وهو وسيلة معاصرة من وسائل التعبير عن الرأي، وتوجيه القرار السياسي في المجتمعات الديموقراطية.
ويتمتع التظاهر في المجتمعات الغربية بالشرعية والحماية القانونية، وتنظم القوانين ممارسته حتى لا يتحول إلى وسيلة من وسائل الفوضى أو التخريب للممتلكات والمرافق العامة.
وهو في الإطار الذي تقرره له المجتمعات الغربية يمكن أن يكون وسيلة من وسائل الاحتساب وتحقيق الصالح العام، ولا سيما إذا تعين في بعض المواقع أو في بعض المواقف وسيلة إلى تحقيق هذا المقصود مع ضرورة الاجتهاد في تقليل مفاسده قدر الوسع والطاقة.
Terjemahan kepada ketetapan ini lbih kurangnnya adalah seperti berikut:Demonstrasi Dan Sejauh Mana Keharusannya Dari Sudut Syarak:
- Demonstrasi adalah tindakan menyatakan pandangan atau tindakan menzahirkan emosi dalam bentuk berkumpulan. Demonstrasi adalah salah satu cara moden dalam menyatakan pandangan dan ketetapan yang bersifat politik dalam sesebuah masyarakat yang mengamalkan demokrasi.
- Demonstrasi dalam kehidupan masyarakat barat adalah dibenarkan dan mendapat perlindungan dari sudut undang-undang. Undang-undang bertanggungjawab mengawal demonstrasi agar ia tidak berubah menjadi satu mekanisma yang membawa kepada kerosakan dan kehancuran harta benda milik peribadi dan harta awam.
- Demonstrasi sebagaimana yang diamalkan oleh sistem di barat boleh menjadi salah satu cara untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran di samping boleh merealisasikan kebaikan yang dinikmati oleh umum lebih-lebih lagi apabila demonstrasi di beberapa tempat dan beberapa suasana mampu untuk mencapai maksud yang diinginkan tersebut. Para peserta demonstrasi hendaklah berusaha untuk mengurangkan perkara-perkara yang bersifat negatif semampu yang boleh.
Monday, June 13, 2011
Berapa ramai pelajar Azhar yang......
Sedang beliau ceramah, beliau sebut pada seluruh para jemaah seraya memandang kepada saya lebih kurangnya berbunyi: "Berapa ramai mahasiswa al-Azhar yang balik dari Mesir tapi tak langsung mahu terlibat membantu PAS".
Saya termanggu sendiri. Memang ramai kawan-kawan dari Mesir yang terlibat dalam PAS secara aktif. Tapi sekiranya nak dibandingkan antara nisbah yang aktif dengan nisbah yang Ghaib, pastinya terlalu banyak mahasiswa Mesir yang Ghaib dan tak sudi nak aktif dengan PAS dengan sejuta satu alasan. Kerja la, itu lah, inilah.
Saya terus termanggu sendiri. lantaklah kalau orang lain tak nak terlibat, pasallah (pinjam ucapan Ustaz Wan Rashidi, SUK DUPP). Saya tetap nak terlibat sepenuh masa dengan PAS.
Friday, March 25, 2011
Tak ada salahnya Bible diterjemahkan ke Bahasa Melayu
Huh.. susah tu.. dalam Bible ada sebut tentang Malaikat Jibril.. adakah akan ditukar ke Pari-pari Jibril? Macam-macam..
Bila saya belek al-Quran, Allah turut menyatakan bahawa Yahudi dan Kristian telahpun menggunakan kalimah Allah. Lihat contohnya firman Allah:
ﭽ ﭧ ﭨ ﭩ ﭪ ﭫ ﭬ ﭭ ﭮ ﭯ ﭰ ﭱ ﭲ ﭳ ﭴ ﭵﭶ ﭷ ﭸ ﭹ ﭺ ﭻ ﭼ ﭽ ﭾ ﭿ ﮀ ﭼ البقرة: ٧٩
ﭽ ﭑ ﭒ ﭓ ﭔ ﭕ ﭖ ﭗﭘ ﭙ ﭚ ﭛ ﭜﭝ ﭞ ﭟ ﭠ ﭡ ﭢﭣ ﭤ ﭥ ﭦ ﭧ ﭨ ﭩﭪ ﭫ ﭬ ﭭ ﭮ ﭯ ﭰﭱ ﭲ ﭳ ﭴ ﭼ المائدة: ١٨
ﭽ ﮛ ﮜ ﮝ ﮞ ﮟ ﮠ ﮡ ﮢ ﮣ ﮤﮥ ﮦ ﮧ ﮨﮩ ﮪ ﮫ ﮬ ﮭ ﮮ ﮯﮰ ﮱ ﯓﯔ ﯕ ﯖ ﯗ ﭼ التوبة: ٣٠
Ayat-ayat ini jelas menunjukkan penggunaan nama Allah di sisi masyarakat Yahudi dan Kristian semenjak pada zaman Nabi lagi..
Walaupun kita bersetuju Bible boleh diterjemahkan dalam bahasa Melayu, ini tidaklah bermakna kita bersetuju penyebaran Kristian dalam masyarakat Islam..
Sunday, March 20, 2011
Kawin dalam masjid pun tak boleh??
Ada orang yang berfikir, asal Nabi tak buat, maka haram. Bila nabi tak kahwinkan orang dalam Masjid, so kawin dalam masjid menyimpang daripada ajaran Islam. Huh
Sambil2 terjemah hadith-hadith dalam sunan Abi Dawud, saya terjumpa petikan yang dimuatkan di dalam kitab Mughni al-Muhtaj 4/216 karangan al-Khatib al-Sharbini yang berbunyi:
وَلَا أَصْلَ لِلْمُصَافَحَةِ بَعْدَ صَلَاتَيِ الصُّبْحِ وَالْعَصْرِ وَلَكِنْ لَا بَأْسَ بِهَا ؛ فَإِنَّهَا مِنْ جُمْلَةِ الْمُصَافَحَةِ وَقَدْ حَثَّ الشَّارِعُ عَلَيْهَا
yang bermaksud lebih kurangnya:
"Tiada sebarang dalil yang menunjukkan pengkhususan bersalaman tangan selepas solat Subuh dan solat Asar. Namun bersalaman selepas dua solat tersebut tiada ada salahnya kerana sesungguhnya bersalaman selepas dua solat tersebut termasuk di dalam makna 'bersalaman tangan'. Sesungguhnya Syarak telahpun menggalakkan bersalaman tangan".
Maknanya yang saya faham, dalam minda para ulama dahulu, sesuatu perkara itu tidak akan dihukumkan sebagai bercanggah dengan Islam hanya semata-mata kerana Nabi tidak melaksanakannya.
Saya ketawa sendiri..
Tuesday, December 28, 2010
Jabatan Agama Islam Di Malaysia Kena Buat Tindakan Pada Golongan Gay
Pengakuan berani ini bagi saya adalah satu percubaan untuk melihat sejauh mana aksi dan sikap Malaysia terhadap gay. Kalau orang Malaysia senyap, ini satu petanda baik untuk golongan Gay terus meluas dan semakin membiak.
Kita dah lihat dengan jelas percubaan demi percubaan golongan gay untuk mendapat hak yang mereka inginkan untuk hidup sebagai gay di Malaysia. Dalam friendster, facebook dah bersepah seorang demi seorang budak Melayu yang selamba menggaykan diri mereka secara terbuka.
Saya sangat mencadangkan agar mimbar khutbah mula menjelaskan kepada masyarakat akan pengharaman homoseksual di dalam Islam. Sepanjang saya hidup di dunia ini, belum pernah lagi saya bertemu dengan mana-mana khatib di Malaysia yang membincangkan isu ngeri ini di pentas mimbar.
Kerajaan UMNO kena bertanggungjawab dalam gejala rosak ini. Sesuatu tindakan tegas harus dibuat untuk basmi kerosakan melampau ini. Jabatan Agama Islam juga mesti berperanan untuk mengenalpasti remaja dan orang tua yang terlibat dalam dunia songsang ini seterusnya mengambil tindakan keras. Cukup dengan facebook sahaja untuk kenal diorang ni.
Itulah padahnya kalau hukum Islam ta nak dibuat di Malaysia. Moga UMNO hancur dalam pilihanraya ini demi kesejahteraan anak bangsa di dunia hingga akhirat. PAS FOR ALL.
Monday, October 25, 2010
Fathul Bari Yang Ngeri
Sumber: Dewan Ulama PAS Pusat
Ulamak Pelapis PAS melahirkan kekesalan apabila tindakan Datin Seri Rosmah Mansur yang menghadiri Festival Busana Islam (IFF) didokong dan dibela oleh saudara Fathul Bari bin Mat Jahya.
Ulamak Pelapis PAS kesal apabila tindakan rakyat yang bangkit berdemonstrasi dalam membantah penglibatan Datin Seri Rosmah Mansur Festival Busana Islam (IFF) turut dikecam dan dianggap sebagai tersasar daripada konsep Islam.
Bagi Ulamak Pelapis PAS, tindakan saudara Fathul Bari bin Mat Jahya yang membela kesilapan Datin Seri Rosmah Mansur mencalarkan imejnya sebagai seorang yang berlatarbelakangkan pendidikan Islam.
Hujah Bahawa Datin Seri Rosmah Mansur Hanya Penaung Bukan Penganjur
Fathul Bari bin Mat Jahya mempertikaikan sikap PAS yang dianggap salah kerana menurut beliau, Datin Seri Rosmah Mansur bukanlah penganjur sebaliknya hanyalah penaung kepada majlis IFF tersebut.
Namun bagi Ulamak Pelapis PAS, Fathul Bari selaku seorang yang berpendidikan agama sepatutnya jelas mengenai sikap yang perlu diambil oleh seseorang muslim apabila terlibat dengan program-program maksiat sebagaimana yang telah berlaku dalam IFF.
Pakaian menjolok mata dengan tidak mengendahkan arahan Allah agar wanita muslimah menutup aurat ditambah dengan penghinaan nama Nabi Muhammad yang ditulis secara terbalik dan ditonjolkan di bahagian dada wanita yang memperagakan fesyen tersebut sangat jelas untuk dihukumkan sebagai satu majlis maksiat dan menghina Islam.
Menerusi firman Allah Taala di dalam Surah al-Nisa' ayat 140, Allah menegaskan larangan untuk orang Islam bersama-sama di dalam majlis yang menghina ayat-ayat Allah. Umat Islam disuruh untuk menegur maksiat yang berlaku di dalam mana-mana majlis. Sekiranya mereka tidak mempunyai kemampuan, maka mereka wajib untuk meninggalkan majlis maksiat kerana kebersamaan di dalam majlis berunsur maksiat adalah satu maksiat. Ini jelas terpampang dalam kenyataan para ulama tafsir sewaktu mereka menghuraikan ayat 140 daripada Surah al-Nisa'.
Adakah boleh diterima secara waras bahawa Datin Seri Rosmah Mansur selaku seorang muslimah sebenarnya tidak mengetahui bahawa majlis seperti itu adalah satu majlis maksiat? Adakah beliau boleh dianggap sebagai seorang yang tidak mengetahui sama sekali bahawa pakaian-pakaian yang dipamerkan dalam majlis tersebut adalah pakaian yang menyongsang daripada kehendak agama Islam?
Ulamak Pelapis PAS beranggapan bahawa Datin Seri Rosmah Mansur menyedari bahawa IFF adalah bercanggah dengan tuntutan Islam yang sebenar. Sekiranya Fathul Bari beranggapan sebaliknya, ini bermakna Datin Seri Rosmah Mansur begitu sangat jahil dalam memahami kehendak Islam dan ini adalah sangat-sangat malang sekiranya berlaku kepada seorang wanita Islam apatah lagi kepada isteri kepada seorang Perdana Menteri.
Sekiranya Fathul Bari mempertikaikan PAS kerana menyelar keterlibatan Datin Seri Rosmah Mansur dalam satu program maksiat, maka Ulamak Pelapis PAS ingin bertanya di manakah suara orang-orang berpendidikan Islam di dalam UMNO seperti Fathul Bari dalam membantras maksiat sebagaimana yang berlaku dalam IFF dan konsert Adam Lambert yang diizinkan oleh kerajaan UMNO untuk dibuat di Malaysia? Ulamak Pelapis PAS kesal dengan sikap orang-orang berpendidikan agama di dalam UMNO yang membisu dalam membantras gejala maksiat di dalam negara sebaliknya begitu lantang mengecap tindakan rakyat yang bangkit menyuarakan isi hati mereka yang tidak berpuas hati apabila agama dipersenda.
Hujah Bahawa Nasihat Kepada Pemimpin Tidak Boleh Secara Terang-Terangan
Ulamak Pelapis PAS ingin menjelaskan kepada umum bahawa para ulama Islam telah menyatakan bahawa apabila maksiat yang dibuat secara terang-terangan, maka tidak menjadi satu kesalahan untuk umat Islam memprotes maksiat tersebut secara terang-terangan.
Sekalipun ada hadith Rasulullah yang meminta supaya nasihat diberikan secara senyap-senyap dan bukan secara terang-terangan, hadith ini sebenarnya ditujukan kepada kesilapan yang dibuat secara senyap-senyap. Ini kerana apabila seseorang itu melakukan dosa dan maksiat secara sembunyi-sembunyi tanpa diketahui oleh orang lain, maka orang yang mengetahui kesalahan tersebut tidak boleh sama sekali menghebahkan kesilapan si pelaku kerana Islam meminta umatnya agar menutup keaiban manusia.
Namun sekiranya dosa dan maksiat yang dilakukan adalah secara terang-terangan sebagaimana yang berlaku dalam majlis IFF, maka mendedahkan kepada umum berkenaan dengan perlanggaran Syariat yang berlaku adalah dibolehkan oleh Islam agar umat Islam mengetahui bahawa majlis yang dibuat secara terbuka tersebut adalah bercanggah dengan Islam.
Al-Imam Al-Nawawi mendedahkan enam keadaan yang mana seseorang itu dibenarkan oleh Islam untuk mengumpat dan menyatakan kejahatan atau keburukan orang lain:
1.Orang yang dizalimi membuat aduan kepada pihak pemerintah ataupun pihak yang berautoriti agar kezaliman dapat dibanteras.
2.Perbuatan mengumpat dan mendedahkan kesalahan adalah bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran: "Si Fulan melakukan kemungkaran. Maka cegahlah ia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.
3.Meminta fatwa daripada seorang mufti yang mana orang yang bertanya terpaksa menggunakan umpatan bagi menjelaskan masalahnya kepada sang mufti. Contohnya si penanya bertanya "Ayah saya menzalimi saya kerana sebab begini dan begini. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?"
4.Memberikan peringatan kepada para muslim terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya.
5.Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran yang dilakukannya secara terang-terangan. Maka ketika itu tidak mengapa seandainya kita menghebahkan kepada masyarakat tentang kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telahpun menzahirkan kejahatannya secara terang-terang.
6.Mengumpat dengan tujuan mengenali seseorang. Apabila seseorang individu dikenali dengan sesuatu aib yang ada pada dirinya maka kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini dibolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran aib yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai.
Sejarah Islam Bukti Bahawa Kesalahan Pemimpin Yang Dibuat Secara Terangan Ditegur Secara Terangan
Sejarah Islam sendiri telahpun mendedahkan kepada kita berkenaan dengan sikap umat Islam dahulu yang berani menyatakan kesilapan para pemerintah secara terang-terangan sekalipun mereka diancam dengan kematian.
Apabila Marwan bin al-Hakam yang merupakan pemerintah Bani Umayyah ketika itu cuba untuk membaca khutbah terlebih dahulu sebelum solat hari raya, tindakan beliau telah ditegur secara terang-terangan oleh seorang sahabat Rasulullah yang bernama Abu Said al-Khudri. Apabila Marwan bin Hakam tetap mahu berkhutbah dahulu sebelum solat hari raya, Abu Said al-Khudri telah merentap baju pemerintah tersebut agar dia tidak meneruskan niatnya untuk membaca khutbah sebelum solat. Dalam masa yang sama, seorang lelaki lain yang turut berada di situ telah menegur Marwan secara keras dengan berkata:
"Wahai Marwan. Engkau telah menyalahi Sunnah Nabi. Engkau telah mengeluarkan mimbar pada hari raya sedangkan sebelum ini mimbar tidak pernah dikeluarkan pada hari raya. Engkau telah mulakan dengan khutbah sebelum solat hari raya".
Lantas Abu Said al-Khudri bertanya kepada orang ramai siapakah lelaki berkenaan. Selepas mana hadirin memberi tahu nama lelaki tersebut kepada Abu Said al-Khudri, Abu Said telah berkata:
Adapun orang ini, dia telahpun menunaikan kewajipannya. Saya telah mendengar Rasulullah bersabda:
"Sesiapa yang melihat kemungkaran dan dia mampu untuk mengubah kemungkaran itu dengan tangannya, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dengan hatinya dan itulah selemah-lemah Iman".
(Lihat kisah ini dalam Sahih Muslim: Hadith ke-9 daripada Kitab Solat al-`Idayn. Lihat juga Sunan Abi Daud Kitab al-Solat Bab al-Khutbah Yawm al-`Id).
Antara contoh lain adalah Sultan al-`Ulama Izzuddin bin Abd al-Salam dan Ibnu al-Hajib al-Maliki. Dua tokoh ulama kurun ke-6 ini begitu berani mendedahkan kesilapan Raja Syria ketika itu di atas pentas mimbar Jumaat. Mereka berdua begitu lantang dalam khutbah mereka mendedahkan kepada umum berkenaan dengan dosa Raja Syria yang bersubahat dengan tentera Salib dalam menyerang Mesir sehingga raja tersebut tergamak membenarkan tentera Salib masuk ke kota Damsyik bagi tujuan membeli peralatan senjata daripada umat Islam. Al-Imam Izzuddin yang merupakan ulama besar dalam mazhab Syafi`e akhirnya telah dibuang negeri dan beliau akhirnya berhijrah ke Mesir dan tinggal di sana sehingga beliau meninggal dunia.
Ini adalah beberapa contoh kecil yang ada di dalam lipatan sejarah Islam. Maka apabila tindakan PAS mendedahkan kepada umum tentang kesilapan para pemimpin UMNO dipertikai oleh Fathul Bari, Ulamak Pelapis PAS sebenarnya sangsi dengan tahap keilmuan Islam yang dimiliki oleh beliau. Adakah Fathul Bari tidak pernah mengetahui perbahasan seperti ini ataupun beliau sebenarnya sengaja menidakkan fakta ini demi menjaga kepentingan peribadi beliau di dalam UMNO.
Ulamak Pelapis PAS meminta agar orang-orang yang berpendidikan agama di dalam UMNO menginsafi dan bertaubat kepada Allah S.W.T. serta bersikap tidak mengkhianati ilmu Islam yang dipelajari hanya semata-mata kepentingan keduniaan.
LAJNAH KEAHLIAN DAN ULAMAK PELAPIS
Dewan Ulamak PAS Pusat
Kuala Lumpur
Monday, October 11, 2010
Web Penyebaran Video Pengajian Oleh Para Ulama Al-Azhar, Kami Perlu Sumbangan
Setidak-tidaknya para pelajar yang tidak berkesempatan untuk mengikuti pengajian-pengajian ilmiah ini secara langsung dapat mengikutinya melalui web ini. Rakaman pengajian tersebut akan dapat dimuatturunkan oleh para pelayar web ini.
Web ini bukan berunsurkan keuntungan. Ia hanyalah usaha sukarela dalam menyebarkan mutiara ilmu Islam dari bumi al-Azhar.
Makanya pihak pengurusan web memerlukan sumbangan material dalam menjayakan usaha ini. Diharap para pembaca prihatin dalam menjayakan usaha murni ini. Sumbangan boleh disalurkan pada akaun Maybank bernombor: 5540 5320 3615. Nama akaun adalah AZHAR SHARIF MEDIA CENTRE.
Berikut adalah kertas kerja berkenaan dengan projek penjelmaan web ini. Sila klik
Thursday, September 30, 2010
Raja Petra Sebenarnya Tidak Jelas Dengan Hukuman Jenayah Islam
Perundangan Islam Sekilas Pandang.
1. Undang-undang Islam terbahagi kepada hukuman Hudud, Qisos dan Ta'zir.
- Hudud adalah jenayah-jenayah tertentu yang dinyatakan oleh Allah dan Rasul berkenaan dengan hukuman setimpal. Contohnya seperti zina yang akan membawa kepada hukuman sebat 100 kali atau rejam dengan batu sehingga mati. Begitu juga dengan jenayah minum arak, keluar daripada agama Islam dan lain-lain.
- Qisos pula adalah hukuman balas yang sama dengan jenayah yang dilakukan. Pembunuhan yang tidak dibenarkan oleh Islam akan menyebabkan si pembunuh akan dibunuh balas. Orang yang menampar seseorang akan dihukum dengan hukuman tampar juga.
- Takzir pula adalah hukuman terhadap jenayah yang tidak dinyatakan oleh Allah dan RasulNya seperti mendedahkan aurat, rasuah dan sebagainya. Dalam hukuman Takzir, para pemerintah diberikan peluang untuk memikirkan hukuman yang sesuai yang boleh mencegah jenayah tersebut.
2. Hudud dan Qisos adalah hukuman yang diwajibkan oleh Allah ke atas umat Islam. Satu perbuatan yang tidak patut sekiranya umat Islam membangkang pelaksanaan hukuman Hudud dan Qisos. Tindakan mahu memilih-milih hukum-hukum tertentu yang diminati oleh akal seseorang dan menolak hukum-hukum yang tidak digemarinya adalah salah dan bercanggah dengan etika seorang muslim. Sila lihat Surah al-Baqarah ayat 85, al-Baqarah ayat 208 dan al-Ahzab ayat 36. Akal yang perlu mengikut Allah dan Rasul bukannya Allah yang perlu mengikut akal.
3. Para ulama berbeza pandangan adakah bukan Islam turut tertakluk dengan hukuman Hudud seperti zina, arak dan sebagainya. Walau bagaimanapun, pandangan yang dipilih oleh PAS adalah Hudud hanya akan dilaksanakan ke atas individu muslim yang melakukan jenayah terbabit.
Adapun jenayah Qisos seperti pembunuhan, ini tidak khusus kepada orang Islam sahaja bahkan turut akan dikenakan kepada bukan Islam yang melakukan jenayah terbabit. Maka tidak timbul pembunuh yang bukan Islam tidak akan dihukum bunuh apabila dia membunuh seorang muslim.
4. Malaysia sudah cukup lama mengamalkan undang-undang ciptaan manusia yang tidak berkesan dalam mencegah jenayah. Maka mengapa kita tidak mencuba untuk melaksanakan undang-undang ciptaan Allah yang Maha Mengetahui perihal keperluan makhlukNya? Bahkan sikap seorang muslim sepatutnya bukanlah hanya ingin melaksanakan perundangan Islam apabila perundangan ciptaan manusia tidak menyelesaikan masalah sosial. Umat Islam sepatutnya melaksanakan undang-undang Islam kerana ini adalah arahan Allah.
Beberapa komentar terhadap ucapan Raja Petra Kamarudin
1. RPK keliru dalam membezakan antara Hudud dan Qisos. Pembunuhan bukan termasuk dalam hukuman Hudud sebaliknya termasuk dalam hukuman Qisos. Non Muslim turut dikenakan hukuman Qisos. Sila bezakan antara hudud dan qisos.
2. RPK membangkitkan beberapa contoh yang termasuk dalam hukuman hudud iaitu minum arak dan zina. Hudud menurut sebahagian ulama tidak akan dikenakan kepada non Muslim. Namun perlu disedari bahawa antara konsep Islam adalah 'Tidak boleh melakukan perbuatan yang mudarat dan tidak boleh memudaratkan'. Sekiranya non muslim yang melakukan jenayah hudud akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain, maka non muslim ini mesti dicegah.
Arak contohnya sekiranya dibiarkan diminum di tempat awam, ini akan mengakibatkan mabuk yang boleh menyebabkan kematian jalan raya. Maka atas konsep 'Tidak boleh melakukan perbuatan yang mudarat dan tidak boleh memudaratkan', tindakan mesti diambil agar seseorang non muslim itu tidak akan membahayakan orang lain.
3. RPK membangkitkan adakah non muslim akan ditangkap sekiranya tidak solat Jumaat. Saya terpegun dengan contoh ini. Takkanlah beliau tidak mengetahui bahawa hukum-hukum Islam terbahagi kepada dua; arahan yang bersifat umum kepada orang Islam dan bukan Islam, dan arahan yang hanya khusus kepada orang Islam sahaja? Satu keanehan yang nyata.
4. RPK mempertikaikan ucapan Ketua DPP yang berbunyi: "Sistem undang-undang yang ada belum berjaya, sehingga ada keperluan untuk sistem alternatif". Saya mengajak RPK selaku seorang muslim untuk sedar bahawa apabila sistem undang-undang bahkan sistem menguruskan negara tidak mengikut arahan Allah, itu adalah satu masalah kerana Allah menjadikan manusia sebagai orang yang menguruskan dunia dengan sistem yang ditetapkan oleh Allah, bukannya dengan sistem ciptaan akal manusia yang terbatas. Sekiranya sistem Inggeris dapat menyelesaikan masalah rakyat sekalipun, ia tetap bermasalah berdasarkan kaca mata Islam kerana kita tidak melaksanakan ketetapan yang diwajibkan oleh Allah. Saya menimbulkan perkara ini kerana RPK adalah seorang muslim yang sepatutnya yakin dengan keputusan dan ketetapan Allah.
5. RPK mempersoalkan bahawa adakah hudud dapat membendung jenayah sedangkan penjenayah boleh merasuah polis, peguam dan hakim. Saya tidak menyalahkan beliau kerana beliau menyangka bahawa hakim, polis dan peguam yang akan beroperasi dalam sebuah negara yang berteraskan kepada Islam adalah hakim, polis dan peguam pada hari ini.
Di dalam Islam, jenayah dibenteras dengan dua cara; nilai takutkan Allah Taala dan undang-undang yang dilaksanakan. Menjadi satu yang pincang sekiranya hanya salah satu daripada dua perkara ini sahaja yang dilaksanakan.
Hakim contohnya di dalam sistem Islam hendaklah seorang yang bersifat `Adalah. `Adalah adalah sikap seseorang yang tidak melakukan dosa besar dan tidak melazimi dosa kecil. Syarat yang sama juga perlu ada pada para menteri, para polis dan peguam. Ini bukan satu dongengan. Sejarah pemerintahan Sayyidina Umar bin al-Khattab yang luas menunjukkan tiada korup dan tiada kezaliman yang berlaku kepada orang-orang yang ditindas sama ada mereka adalah orang Islam atau bukan. Semestinya para menteri, para hakim, para peguam dan polis yang korup dan kaki rasuah akan dipecat berdasarkan konsep pemerintahan berteraskan Islam yang menafikan berlakunya kezaliman dan penindasan.
6. RPK membuat perbandingan dari sudut sejarah dengan mendatangkan kisah gereja yang korup. Adakah sama agama yang dibawa oleh gereja dengan Islam yang datang dari tuhan semesta Alam. Saya ingin pula bertanya mengapa pemerintahan Islam pada zaman Sayyidina Umar bin al-Khattab contohnya tidak berlaku kezaliman kepada orang Islam atau bukan Islam? Jawapannya adalah pelaksanaan Islam dalam segala hal dan inilah yang diperjuangkan oleh PAS.
7. RPK sebut: "In fact, God’s laws were actually the problem because it was so easy to manipulate the so-called Word of God and no one dared question the injustice lest they be accused of being anti-God."
Saya langsung tidak bersetuju dalam hal ini. Ini kerana huraian berkenaan Firman Allah dan sabda Rasulullah sudahpun dimudahkan untuk generasi hari ini. Para ulama silam yang pakar dalam selok belok Islam sudah menjelaskan berkenaan dengan hukum-hukum Islam secara cermat dan teliti. Kalaulah ada orang yang cuba untuk memutarbelitkan firman Allah dan hadith Rasulullah, dia akan mendapat masalah besar kerana fakta-fakta Islam sudahpun direkodkan dan pastinya ulama Islam dari seluruh dunia akan menyelar dan membetulkan fakta yang sepatutnya. Mudahnya tiada rahsia di dalam selok belok Islam.
Sebaiknya RPK terus merujuk para ulama apabila isu yang ditimbulkan membabitkan hal ehwal Islam. Adalah satu perkara yang memalukan sekiranya RPK membincangkan berkenaan hudud sedangkan beliau sendiri tidak tahu untuk membezakan antara Hudud dan Qisos.
Saya tidak terasa hairan sangat sekiranya bukan Islam menolak sistem Islam tapi kalau yang mempertikaikannya adalah seorang Muslim, ini satu masalah yang menunjukkan Islam sendiri tidak difahami oleh penganutnya.
Tuesday, September 21, 2010
Non Muslim Kenapa Dijauhkan Daripada Masjid?
a) Non Muslim masuk masjid
b) Isu buang bayi
c) Gereja Gay di Malaysia
Saya kali ni nak komen pasal bukan Islam masuk masjid. Kami di al-Azhar, Mesir tiap-tiap hari lihat pelancong bukan Islam masuk ke Masjid al-Azhar sehingga ke ruang solat. Ulama al-Azhar sikit pun tak kisah bahkan ada pelancong yang masuk Islam apabila masuk ke dalam masjid dan menjumpai ketenangan yang dicarinya selama ini.
Hanya segelintir kecil sahaja ulama silam yang tidak membenarkan bukan Islam masuk ke dalam masjid.
Isu ini hanya dimainkan oleh UMNO untuk tarik simpati umat Melayu. Tapi setiap kali mereka cuba nak menonjolkan kononnya mereka begitu prihatin dengan kesucian Islam, maka setiap kali itulah mereka akan terlopong bila mereka dihujani dengan hujah-hujah ilmiah yang mematahkan segala isu yang mereka bawa. Kesian UMNO.
Saya ada kumpul sikit hujah secara ringkas berkenaan isu ini. Mungkin dah basi,, huhu.. rumah tak ada internet. Ini pun menumpang kasih dengan wireless rumah mak mertua.
Semoga bermanfaat. Klik
Sunday, September 12, 2010
No Telefon Saya Di Malaysia
Friday, July 23, 2010
Kenapa Tak Ada Khutbah Jumaat Pasal GAY?
Mahu apa cakap lagi? Malaysia tercinta yang penuh dengan pelbagai maksiat. Mungkin jarang orang nak ulas isu ini. Isu Gay.
Sedar tidak sedar, rakyat muslim Malaysia banyak yang terlibat dengan kelakuan luar tabi`e ini. Tapi ramai yang tidak cuba untuk menyelesaikan dan membicarakan masalah yang kian membarah ini.
Asrama antara yang menyumbang.
Adakah masalah ini antara puncanya kerana ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak lelaki mereka untuk berkahwin awal? Mungkinkah kerana ingin berkahwin secara halal dihalang oleh ibu bapa lalu budak-budak lelaki yang tengah bergelora ini mencari jalan mudah untuk melempiaskan nafsu mereka tanpa ada syak wasangka daripada masyarakat sekeliling, iaitu dengan cara homoseksual?
Saya tidak pernah dengar lagi sebarang khutbah Jumaat yang cerita berkenaan dengan GAY sedangkan budak-budak lelaki Muslim dah banyak terlibat dengan keruntuhan ini.
Sesuatu mesti dilakukan untuk menyelamatkan mereka dan membimbing mereka ke jalan Islam.
p/s: Dalam mengkaji tak rasmi masalah ini, negeri-negeri yang begitu menggerunkan dalam masalah GAY adalah Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.
Friday, July 16, 2010
Akhirnya Siap Kerja Saya
Ya. Selesai untuk kali ini. Kitab asal Bahrul Mazi berjumlah 22 juzuk yang dicetak dalam 11 jilid. Kami baru menyemak dan mengulas terhadap 100 muka surat pertama daripada juzuk yang pertama daripada kitab ini. Ini bermakna masih banyak lagi proses semakan dan ulasan untuk jilid-jilid yang keseterusnya. Saya jangkakan kalaulah Allah mengizinkan, kitab Bahrul Mazi yang disertakan ulasan terbitan PMRAM akan berjumlah 44 JILID. Baru satu siap. ada lagi 43 JILID. Ya Allah. Mudahkanlah.

Usaha untuk mentahqiq (menyemak dan mengulas) kitab ini bermula dalam satu mensyuarat Badan Pengurus PMRAM tahun 2006. Idea ini bermula daripada ugutan untuk menyekat bantuan dan zakat dari beberapa buah negeri terhadap mahasiswa al-Azhar hanya kerana mereka membantu dan mendokong PMRAM. Akhirnya timbullah idea daripada Badan Pengurus PMRAM ketika itu untuk membiakkan dana khusus bagi dihabiskan untuk membantu pelajar-pelajar Melayu di Mesir yang mengalami masalah ekonomi. Lalu bermulalah usaha untuk mencetak semula kitab bahrul mazi dengan disertakan ulasan yang membantu pembaca dalam memahami kehendak pengarang.
Hasil jualan Bahrul Mazi akan dijadikan sebagai aset utama untuk dihabiskan bagi membantu meringankan masalah ekonomi pelajar yang kesempitan. Walau bagaimanapun, untuk setakat ini, penjualan kitab Bahrul Mazi akan ditumpukan dulu untuk mencapai misi Dana Apartmen PMRAM yang sehingga kini masih belum berjaya sepenuhnya.
Saya rasa puas kerana jilid pertama kitab ini catakan PMRAM akan diterbitkan tidak lama lagi. Masih perlu keringat yang lebih untuk menyiapkan sekitar 43 jilid lagi. Ya, saya dan rakan-rakan pentahqiq mesti kerja lebih kuat lagi. Lebih kuat lagi. Moga Allah berkati..Amin.
Tuesday, May 18, 2010
Saya Dipanggil Pegawai Perak. Huh
Time bincang, Muhaimin bangkitkan mengapa saya sebut masalah yang berlaku dalam blog. Jelas saya nyatakan kepada pegawai Perak ini bahawa saya tak setuju dengan tindakan dia yang ugut pelajar Perak untuk dipotong zakat dan dihantar pulang ke Malaysia. Mana boleh duit zakat dijadikan sebagai bahan ugutan. Semoga ucapan terus yang saya nyatakan kepada Muhaimin akan menjadi satu kejernihan akan datang. Kalau pihak pegawai masih terus untuk menakutkan pelajar Perak dengan ugutan tarik zakat dan ugut untuk hantar pulang pelajar ke Malaysia, saya tak akan diam. Mana boleh zakat yang merupakan milik Allah dimainkan oleh individu. Harap tak akan berlaku di Perak.
Menurut saudara Muhaimin, dia sebenarnya tidak naik pada malam Jumaat tersebut sekitar dua pagi untuk mencari YDP KPIPM. Dia kata kebetulan sahaja dia naik ke atas lalu bertemu dengan dua orang yang terbabit. Inilah fakta yang dia kata kat saya.
Sempat juga saya bertemu dengan sahabat yang telah memukul seorang pelajar sebelum ini. Dia menyatakan bahawa dia ketika itu sangat tertekan dengan fitnah yang dilemparkan kepada dia sampai tak dapat nak kawal perasaan. Dia kata dia menyesal buat macam tu. Saya sebut kat dia: Walau apa keadaan sekalipun, kalau orang fitnah kita, tak betul kalau kita ambill tindakan pukul orang. Harap tak ada lagi isu kekasaran. Kalau ada, kita akan bawa ke atas.
*********************************
Dalam berbincang tu, ada seorang yang hadir tak dapat kawal perasaan. Terus naik suara dan naik angin. Terkejut juga. Saya sebut pada Muhaimin bahawa saya datang untuk berbincang, bukan nak dengar orang mengamuk-ngamuk. Bila keadaan terus tak terkawal, saya beredar terus. Salam dengan semua yang hadir dalam pertemuan itu dan keluar terus.
***********************************
Saya boleh buat kesimpulan bahawa pegawai Perak perlu berhati-hati dalam isu zakat. Kalau ada yang terus ugut pelajar dengan tarik zakat, saya tak akan diam. Pedulilah nak jadi apa. Ugut bukan budaya mahasiswa.
Saya rasa dia juga kena pastikan stile nak tinggi-tinggi suara kena dibasmi. Saya rasa akhir pertemuan tersebut agak tegang bila ada yang mula naik angin.
Pada kawan-kawan Perak khususnya, kalau ada selepas ni kes pelajar digertak, diganggu tengah malam dan dipukul -moga tidak berlaku-, harap dapat maklum terus kepada pihak HISBAH untuk diambil tindakan. Kita mahasiswa bukan orang yang boleh digertak, ditakut-takutkan dan diugut. Ni bukan sekolah menengah.
Mana boleh takut nak pertahankan hak mahasiswa. Pedulilah. Dulu saya pernah diugut oleh pegawai JPMK untuk dimasukkan ke dalam ISA dan dihantar pulang hanya kerana saya bertegas tidak mahu menurunkan tandatangan untuk menyatakan persetujuan saya bagi mendaftarkan PMRAM di bawah Kedutaan. Sekadar nak tunjuk ganas, cakap tinggi-tinggi suara, saya tak takut kot. Sorry. Tak dapat nak takut dengan gertakan. Boringlah dengan stile nak mengamuk-ngamuk ni.
Monday, May 17, 2010
Angin Samseng Dari Bumi Perak Di Mesir

Semua sedia maklum, kerajaan UMNO yang merampas kerajaan Perak daripda pakatan rakyat adalah kerajaan ala lanun. Memerintah tetapi takut untuk menghadapi kenyataan dan rakyat. Gaya mereka gaya lanun, tarik jubah speaker, tangkap orang dan macam-macam lagi. Itulah kerajaan Lanun Baru Perak yang takut untuk menyerahkan mandat pemerintahan sekali lagi kepada rakyat Perak. Takut untuk membiarkan Dun Perak dibubar dan diserahkan sepenuhnya kepada rakyat dalam menentukan siapakah pilihan mereka. Samseng.
Siapa sangka, angin samseng itu rupanya singgah sebentar di rumah Perak di Mesir. Sebelum ini anak-anak Perak tenang di wisma penempatan mereka tanpa ada pegawai rumah negeri yang mentadbir. Baru-baru ini pegawai untuk rumah Perak akhirnya datang.
Saya bukanlah anti pegawai. Cuma selalunya para pelajar akan sedikit tegang apabila beberapa pegawai anak negeri sebelum ini akan memberikan tekanan, ancaman dan ugutan potong zakat kepada persatuan dan ahli.
Malam Jumaat lepas (13 Mei 2010) selepas sahaja pulang dari pengajian di Masjid al-Azhar al-Sharif, saya singgah sebentar ke Rumah Perak untuk menjemput isteri yang menghadiri majlis dialog yang menampilkan pegawai baru dan Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM). Walau bagaimanapun, pegawai berumur 24 tahun ini tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Sedang saya dan kawan-kawan menjamu selera selepas majlis tamat, kami dikejutkan dengan kedatangan pegawai baru ini yang datang dalam keadaan marah dan terus meminta seorang pelajar Perak yang ada di situ untuk terus bertemu dengan dia dalam bilik pegawai. Semua terkejut. Datang dalam gaya marah-marah. Rupa-rupanya ada kawan-kawan yang tak ada kerja telah menghantar laporan penuh secara segera kepada pegawai berkenaan secara sukarela. Terima kasih buat budak-budak tak ada kerja itu.
Dari malam itu bermulalah gaya lanun dan gangster di Rumah Perak. Malam itu juga sekitar jam dua pagi, pintu rumah YDP KPIPM diketuk bertalu-talu oleh pegawai dan dua rakannya dalam keadaan lagaknya seperti gangster. Alamak. Macam stile duduk asrama masa time sekolah menengah dulu la. Stail panggil orang tengah-tengah malam.
Apa ini! Mau jadi gangster ker? Rumah Perak diserang gangster ker? Dengarnya dah ada dah budak Perak yang membelasah pelajar Buuth dalam asrama. Waw. Menarik. Nak buat cara budak tak matang. Nak belasah-belasah orang pula. Saya rasa pegawai kena ambil tindakan dengan gangster kampong dusun ini. Mana boleh biar ada orang belasah dan pukul orang lain. Ini bukan budaya budak-budak Mesir. Budak budaya pelajar agama! AMBIL TINDAKAN!!!! Saya cadang YDP laporkan kes pukul ini kepada ibu bapa pelajar yang dipukul. Hampeh. Ingat dia seorang sahaja yang ada penumbuk.
Lepas tu mulalah Muhaimin ini yang sedang mendapatkan hitam putih secara rasmi sebagai pegawai ugut kawan-kawan Perak bahawa mereka akan disekat zakat.
Ugut sekat Zakat? Saya memang pantang bila ada orang yang main-main dalam masalah Zakat. Dulu saya dan kawan-kawan Selangor pernah menerima ancaman bodoh macam ni. “Kalau awak tak nak ikut saya, awak akan kena potong zakat”. Inilah slogan yang pernah dimainkan oleh pihak penguasa dulu time UMNO memerintah Selangor. Ada pelajar Selangor yang dipotong zakatnya hanya semata-mata ikut PMRAM. Ingat zakat tu mak bapak dia punya yang sampai boleh main-main nak sekat zakat kawan-kawan pelajar?!!
Paling saya kesal, ada juga dua tiga ketul budak-budak Perak yang seakan suka bila ada kawan-kawan yang lain diugut dipotong zakat. Ada yang tulis dalam status YM masing-masing yang menggambarkan kegembiraan mereka bila ada yang kena dipotong zakat. “Kita tengok lepas ini siapa yang kena potong zakat” dan macam-macam lagi status hampeh yang dibuat. Ada juga spesis manusia yang bergembira apabila ada kawan-kawan diancam dengan ugutan seperti ini!!
Saya seru pada kawan-kawan Perak untuk bersabar dengan tekanan di musim peperiksaan ini. Kepada YDP sendiri, saya harap anda tabah melayan tekanan tidak matang ini. Teruskan study dan kawal emosi. Kalau ada orang yang nak minta suruh jumpa jam itu jam ini, sebut sikit: “Saya nak periksa”.
Semua kena sedar, zakat milik Allah. Jangan khianati hak Allah. Kepada yang suka sangat nak ugut orang dengan potong zakat; “Kalau zakat mak bapak korang punya, tak kesahlah. Tapi kalau zakat itu milik Allah, agak-agak kalau nak kena sumpah dan doa orang yang dizalimi oleh anda dan nak try rasa hidup dimurkai Allah, silakan.”
Perangai ugut zakat ni memang perangai budak UMNO. Hampeh.
Sunday, March 28, 2010
Selamat Datang Anak-Anak Luar Nikah Dari Mesir
Setelah lama tidak menulis, saya ingin mengucapkan: Ahlan Wasahlan.
Ahlan Wasahlan buat kalian yang bakal hadir kalau masalah gejala couple yang makin menakutkan di Mesir terus dipandang sepi.
Ahlan Wasahlan buat anak-anak gampang yang tidak berdosa kiranya pihak-pihak agen yang mengaut teman-teman pelajar dari Malaysia terus membutakan mata daripada keruntuhan akhlak yang berlaku di hadapan mata kepala mereka.
Welcome buat anak-anak yang bakal lahir kiranya seluruh pihak terus tidak mengambil perduli dengan hubungan lelaki dan wanita yang tidak dibatasi Syarak.
Welcome untuk bakal anak-anak itu kiranya kita yang mengetahui kesedudukan antara pria dan dara yang tengah mengelamun cinta gila tanpa takutkan murka Allah terus membiarkan mereka gila dirasuk syaitan yang sedang ketawa.
Ya. Seakan kita semua di Mesir sedang berlatih untuk mengucapkan ucapan selamat datang itu.
Sabtu lepas, saya hampir gila dalam mesyuarat Hisbah PMRAM Pusat apabila mendengar laporan hisbah setiap peringkat bermula sekitar jam 2 petang hingga 4 petang yang rata-ratanya melaporkan berita mual gelagat mahasiswa Islam Malaysia yang menuntut ilmu di Mesir. “Pelajar perubatan lelaki perempuan berdua-duaan di dalam bilik”, “Pelajar perempuan itu berpakaian menunjukkan lurahnya”, “Pelajar itu dan kekasihnya memasuki kelab malam”, “Pelajar lelaki itu di rumahnya ada pakaian wanita”, “Pelajar itu di rumahnya ada arak” dan ……………………………
Gila. Memang gila. Mana boleh kita biarkan maksiat demi maksiat terus melampau-lampau berlaku di Mesir.
“Woi bodoh! Kau nak tuduh budak-budak yang dating dan lepas satu rumah tu berzina ke? Mana saksi kau?!!”.
Saya jawab: Aku tak kata diorang berzina, tapi kalau kita masih selamba biarkan tindakan berpeleseran jantan betina tanpa dibatasi syarak itu terus berlaku tanpa sekatan, tindakan dari semua pihak, maka kita sebenarnya sedang menanti keputusan yang sama.
Semua pihak mesti bertanggungjawab. Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, agen-agen yang mengadakan program pengajian perubatan di Mesir, Hisbah PMRAM Pusat beserta hisbah-hisbah di setiap cawangan mesti buat satu tindakan segera sebelum semuanya terlambat.
Kalau budak buat maksiat tak rasa malu bahkan rasa berani untuk tekan budak-budak yang nak menegur, budak-budak hisbah PMRAM tak boleh rasa takut untuk membantu budak-budak ini agar kembali mentaati Allah yang Maha Perkasa.
Thursday, February 4, 2010
Khatam Kitab Tuhfat Al-Ahwazi Dan Kitab Al-`Ilal Yang Dikarang Oleh Al-Imam Al-Tirmidzi
Kitab Tuhfat Al-Ahwazi yang mempunyai 9 jilid ini telah dibaca secara konsisten oleh Fadhilat Al-Syeikh Dr. Yusri bin Rusydi Bin Jabr bin Al-Sayyid al-Hasani selama 4 tahun setiap hari selepas solat Subuh di masjid beliau, Masjid Al-Asyraf.
Ulama berdarah Sayyidina Hasan Ibni Sayyidah Fatimah binti Sayyidina Muhammad s.a.w ini telah mula membaca kitab tersebut pada 12 Februari 2006 dan berjaya mengkhatamkan seluruh hadith Rasulullah yang dihuraikan di dalam kitab tersebut pada hari Jumaat dua minggu lepas (22 Januari 2010). Keesokannya, beliau meneruskan pula membaca kitab Syifa' al-Ghalal Fi Syarh Kitab al-`Ilal dan akhirnya khatam pada hari ini bersamaan 4 Februari 2010.
Insyaallah, esok (5 Februari 2010), beliau akan mula membaca Sunan Abi Daud di masjid beliau seusai solat Subuh dan kelas akan berjalan setiap pagi.
Moga Allah memberkati guru kami yang mulia ini yang tidak lelah dalam mencari cinta di balik kalam-kalam mulia milik Sayyid al-Mursalin Sayyidina Muhammad bin Abdillah.
Teringat saya pada bait syair yang saya temui dalam salah satu manuskrip hadith yang berbunyi:
أَهْلُ الْحَدِيْثِ هُمُ أَهْلُ النَّبِيِّ وَإِنْ
لَمْ يَصْحَبُوْا نَفْسَهُ أَنْفَاسَهُ صَحبُوا
yang bermaksud:
"Ulama Hadith itu adalah ahli keluarga Nabi. Sekalipun mereka tidak bersahabat dengan batang tubuh Nabi, namun mereka bersahabat dengan nafas-nafas Nabi".
.........................
Syeikh Yusri sebelum ini telah membaca keseluruhan kitab Musnad Al-Imam Ahmad selama 11 tahun dan telah membaca keseluruhan kitab Syarh al-Nawawi `Ala Sohih Muslim.
Wednesday, January 20, 2010
Hari Ketujuh Buat Fatimah Al-Nabawiyyah Yang Menggembirakan
Alhamdulillah, pagi ini seusai solat subuh, saya dan saudara Azlan membawa Fatimah al-Nabawiyyah ke Masjid Al-Asyraf untuk bertemu dengan Fadhilat al-Syeikh Yusri al-Hasani untuk Fatimah al-Nabawiyyah ditahnik oleh guru mulia ini.
Seminggu berlalu dan saya tidak berkesempatan untuk mengikuti hadith-hadith Jami'al-Tirmidzi yang dibaca oleh beliau. Selesai beliau membaca mutiara hadith Rasulullah yang ditutupi dengan bacaan al-Quran, seingat saya beliau terus bersuara dengan lantang "Keberkatan Buat Fatimah Al-Nabawyyah".
Ya. Memang saya bertanya pada beliau sebelum Fatimah dilahirkan, saya sendiri bertanya pada beliau adakah boleh saya namakan putri saya dengan nama Fatimah yang digandingkan dengan sifat "al-Nabawiyyah". Yelah. Saya bukannya daripada titihan Rasulullah Sallallahu Àlaihi Wa Alihi Wasallam. Begitu mudah beliau menjawab "Silakan".
Alhamdulillah, pagi ini anak saya Fatimah al-Nabawiyyah telahpun ditahnik oleh Fadhilat al-Syeikh Yusri yang berdarah Rasulullah ini. Semoga bait-bait doa beliau memberkati puteri kami.
Fatimah. Cepat besar yer. Boleh jadi wakaf buat perjuangan Islam.
Ya Ilahi. Kalaulah di sisi IlmuMu bahawa kami menamai puteri kami ini hanya semata-mata kerana mencintai RasulMu, maka sampaikanlah salam kasih kami buat baginda agar kami bisa tersenyum gembira dengan hadiah senyuman dari wajah baginda yang mulia. Tuhan, kurniakanlah kami kasihMu dan kasih RasulMu sebagai bekal kami dari dunia hingga ke alam sana.
Kepada keluarga di Malaysia, bolehlah download majlis ringkas tahnik Fatimah al-Nabawiyyah di link di bawah:
http://www.youtube.com/watch?v=j8SMV_c636A
atau
http://www.megaupload.com/?d=PK74R959